title
stringlengths 26
159
| content
stringlengths 414
63.9k
|
|---|---|
Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa
|
Kita tahu bahawa Proton merupakan jenama automotif pertama dari Malaysia, ditubuhkan pada 7 Mei 1983. Dan dua tahun selepas itu, Proton muncul dengan produk pertamanya untuk dijual dalam pasaran iaitu Proton Saga, dirasmikan oleh Perdana Menteri ke-4 (yang juga pengasas Proton) Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 9 Julai 1985.
Sehingga kini, Saga merupakan model nasional paling lama pernah dijual. Penghasilannya tidak pernah dihentikan – ia berterusan sehingga kini dan sudahpun masuk ke generasi keempat versi facelift kedua (MC2) yang boleh ditemui di bilik-bilik pameran Proton sama ada di Malaysia dan juga pelbagai pasaran eksport.
Proton telah merekodkan jualan melebihi 1.9 juta unit untuk Saga sehingga tahun lalu, di mana 1.2 juta unit daripadanya adalah Saga generasi pertama yang dijual sejak 1985 sehingga awal 2008. Dengan tempoh jualan lebih 27 tahun dan jumlahnya di atas jalan raya yang begitu banyak, sudah tentu kebanyakkan rakyat Malaysia ada cerita-cerita nostalgik bersama Saga generasi pertama ini kan?
Begitu juga dengan pemilik Saga generasi pertama yang kami tampilkan kali ini – kenangan yang begitu indah bersama kereta tersebut telah ‘membakar semangat’ sehingga ianya dapat direstorasi sepenuhnya, dan kondisinya kini adalah jauh lebih baik dari keadaannya ketika meninggalkan kilang Proton di Hicom Shah Alam kira-kira 33 tahun yang lalu!
Ini merupakan Proton Saga generasi pertama keluaran 1990, dan ia adalah dari varian 1.5S yang menggunakan enjin Megavalve 4G15 1.5 liter 12-injap dengan suapan sistem karburator, dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual. Kereta ini dibeli baru oleh bapa mertua pemilik sedia ada dan digunakan sebagai pengangkutan harian keluarga.
‘Ikatan’ pemilik sedia ada bersama Saga ini bermula selepas dia mengenali isterinya (ketika itu masih lagi teman wanita). Menurutnya, apabila hubungan mereka semakin rapat, dia kerap ke Kulim, Kedah untuk berjumpa bakal mertuanya itu – walaupun ketika itu dia sudah pun memandu kereta buatan Eropah, dia tetap akan bersiar-siar sehingga ke Pulau Pinang dengan memandu Saga ini.
Jadi kenangan ketika bercinta kekal pada Proton Saga berwarna Gerimis Grey berkenaan. Dan bagi membolehkan kenangan itu kekal berpanjangan, Saga ini perlu direstorasi sehingga ia boleh diwarisi oleh anak-anak mereka kelak. Dan segala kerja-kerja berkenaan diserahkan kepada pakar restorasi Proton iaitu Dream Street Restoration (DSR) yang kini bertapak di Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor.
Pada asalnya Saga ini mahu di bawa pulang ke Kuala Lumpur ketika semua ahli keluarga berkenaan berpindah dari Kedah ke Ibu Negara, namun segala perancangan tidak menjadi apabila virus Covid-19 mula melanda negara. Jadi Saga ini terpaksa ditinggalkan di rumah jiran (yang juga ahli keluarga terdekat) di Kulim, dan syukur ia dijaga dan enjinnya dihidupkan sekali sekala bagi memastikan ia tidak ‘mereput’ kerana ditinggalkan.
Setelah badai Covid mula reda, kereta ini terus diangkut dari Kulim menggunakan trak flat bed terus ke Kuala Lumpur pada 31 Disember 2021. Saga ini hanya dapat dihantar ke DSR pada Februari 2022 (ketika itu DSR masih lagi berkongsi tempat dengan Sterling Automotive juga di Subang Jaya) kerana mengikut giliran yang sudahpun ditetapkan.
Kerja-kerja restorasi dimulakan dengan membaraikan semua panel badan Saga ini. DSR turut membina dolly stand khas untuk meletakkan kerangka kosong Saga berkenaan bukan sahaja bagi memudahkan ia dialih ke sana ke sini, malah ia juga penting bagi memastikan semua bahagian yang perlu diperbaiki dapat diakses.
Hampir kesemua panel badan Saga ini adalah baharu – bonet hadapan, penutup but belakang, keempat-empat pintu (dari Saga LMST), bumbung kesemua cermin adalah antara komponen baharu yang dapat dijumpai bagi menggantikan panel-panel asal Saga ini.
Malah ketika kerangka badan Saga ini dalam keadaan ‘bogel’, DSR turut melakukan pelbagai kerja memperbaiki struktur badan, termasuk menggunakan produk anti-kakisan dari Roberlo bagi memastikan ‘tulang-tulang’ utama dalam badan Saga ini tahan lebih lama.
Satu lagi permintaan pemilik Saga ini kepada DSR adalah untuk memadankan set tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang. Ini kerana undang-undang yang mewajibkan semua kereta baharu wajib mempunyai tali pinggang keledar belakang hanya bermula pada 1 Januari 1995, dan Saga ini memang tidak mempunyai set tali pinggang keledar belakang ketika baharu dulu.
Untuk memadankan set tali pinggang tersebut, DSR bukan hanya sekadar menebuk tiang-C sebelah dalam, tetapi keseluruhan panel tersebut telah dipotong dan digantikan dengan panel dari model Saga Iswara yang sememangnya diberikan lubang skru untuk memasang tali pinggang keledar berkenaan.
Selepas panel-panel badan dipadankan kembali, badan Saga ini disudahkan dengan warna aslinya kembali iaitu Gerimis Grey.
Walaupun Saga ini tidak mensasarkan sebarang tingkat taraf kuasa, DSR masih melakukan proses blueprinted pada enjin dan juga kotak gear, bagi memastikan ia boleh dipandu dengan lebih lancar selepas siap nanti. Jadi enjin 4G15 yang telah dikeluarkan dari perut, kemudian dibaraikan komponennya satu persatu.
Apa yang dijumpai, laluan air (water jacket) pada blok enjin tersebut telah tersumbat dengan karat. Minyak pelincir pada enjin berkenaan juga sudah lama tidak ditukar (kerana PKP ketika pendemik) telah menyebabkan dinding pada silinder omboh, aci engkol dan juga galas pada rod penghubung omboh telah calar.
Oleh itu, proses blueprinted pada enjin 4G15 ini turut melibatkan proses rebore pada silinder dan omboh ditukar kepada unit yang berdiameter lebih besar untuk disesuaikan dengan silinder lebih besar. Menurut DSR, segala komponen dalaman enjin yang perlu ditukar termasuk omboh, kit gasket, kit rombak rawat karburator dan sebagainya berjaya diperolehi baru dari Jepun.
Proses blueprinted juga turut meliputi sistem transmisi, di mana semua komponen dalam kotak gear dikeluarkan dan diperiksa, sementara semua galas bebola telah diganti baharu.
Setelah siap, unit rangkaian kuasa tersebut dimasukkan semula ke ruang enjin Saga ini. Seperti yang anda boleh tengok, ruang enjin berkenaan kini nampak seperti baru keluar kilang; buka sahaja enjin dan kotak gear dalam keadaan berkilat, malah segala skru cagak serta komponen logam telah disadur anod semula, dan komponen lain seperti tangki air tambahan dan tangki pencuci cermin, radiator, kipas elektrik dan pelbagai lagi telah diganti baru.
Kalau anda perasan, pelekat-pelekat spesifikasi pada ruang enjin ini juga nampak seperti baru bukan? Ini kerana semua pelekat berkenaan telah direka dan dicetak semula, dan DSR turut mengemaskini maklumat berkenaan selari dengan spesifikasi semasa, contohnya jenis minyak brek yang telah ditukar kepada DOT4 (berbanding DOT3 sebelum ini) dan juga spesifikasi minyak enjin yang digunakan.
Bukan hanya pelekat pada ruang enjin ini sahaja telah dicetak semula, malah pelekat ‘anti karat’ dan spesifikasi angin tayar pada pintu, pelakat spesifikasi RON minima pada penutup pengisi petrol serta simbol-simbol pada tuil pelaras tempat duduk hadapan turut mendapat sentuhan yang sama.
Dalam sesi penggambaran yang dibuat di Putrajaya ini, penulis turut berpeluang memandu Saga ini. Terus terang, ini adalah Saga generasi pertama paling baik pernah dipandu oleh penulis. Dengan proses blueprinted yang telah dibuat pada enjin, anda akan terasa gegaran yang sangat minimal walaupun memandu dalam kelajuan rendah tetapi dengan gear tinggi.
Malah bunyi knocking ikonik pada enjin Megavalve setiap kali ia dipandu mendaki bukit turut tidak kedengaran pada Saga ini – bukan sahaja kerana proses blueprinted yang dibuat, malah sejak ianya siap, tangki minyak Saga ini tidak pernah dituang dengan petrol RON95 dan hanya diisi dengan petrol RON97.
Casis Saga yang telah diperbaiki sepenuhnya ini turut digantikan dengan sistem suspensi yang dibina semula. Segala getah-getah bushing, penyambungan dan juga lengan-lengan telah diganti. Manakala sistem torsion beam belakang turut dibuka dan segala komponen haus dan lusuh di dalamnya telah diganti baru, kemudian ia dicat semula untuk kelihatan seperti baru.
Penyerap hentak Saga ini mungkin nampak standard, namun ia juga sebenarnya telah mendapat sentuhan bekas pakar pengendalian Proton R3 iaitu Faidzil Alang dari Fawster Motorsport. Manakala sistem stereng kini telah dipertingkat dengan pemadanan rak stereng yang mempunyai bantuan kuasa hidraulik.
Pada sebelah luar, Saga ini kelihatan hampir ‘standard kilang’, cuma cermin sisinya sahaja telah ditukar dengan komponen dari kembarnya di Jepun iaitu Mitsubishi Lancer Fiore. Ada komponen asli yang tidak dapat dibeli baru telah direstorasi semula oleh DSR sehingga ke tahap kelihatan hampir baru, contohnya logo Proton hadapan yang kini bernyala semula.
Begitu juga dengan kesemua penutup rim besi pada keempat-empat roda – ia tidak dapat dibeli baru, yang dapat cuma set terpakai yang kemudian direstorasi semula. Penutup rim yang tidak lagi rata berkenaan terpaksa dipanaskan untuk ‘diluruskan’ kembali, kemudian ia disembur dengan cat berwarna perak, sementara tulisan ala-jawi ‘Proton’ pada penutup tersebut dibuat semula dengan airbrush.
Kerja-kerja pembaikkan turut dibuat pada sebelah dalam kabin. Seperti yang anda boleh lihat, papan pemuka, panel pintu, roda stereng, panel meter, panel suis-suis kawalan semuanya telah dibersihkan semula dan direstorasi sehingga kelihatan seperti ia dipelihara dalam muzium.
Manakala pelapik bumbung telah dibalut semula dengan material lebih moden dan ia kini berwarna hitam. Apa yang menarik, kesemua tempat duduk Saga ini telah dibalut dengan pembalut aksesori ketika ia masih baru dahulu, dan ia terpelihara di bawah pembalut berkenaan sehingga kini.
Jadi selain menjimatkan masa dan wang untuk merestorasi semula tempat duduk tersebut, ia juga menyajikan ‘aroma’ bau sabut di dalam kusyen berkenaan, iaitu bau kabin yang sama ketika Saga ini diambil dari bilik pameran dahulu!
DSR turut mengambil berat berkenaan faktor NVH dalam merestorasi Saga ini. Oleh itu, sebelum segala komponen kereta ini dipasang, kerangka Saga ini sebenarnya telah dipasang dengan bahan penebat pada bahagian lantai, bumbung sehingga ke ruang but belakang. Anda turut boleh lihat bahan penebat berkenaan turut dipasang pada penutup hud enjin hadapan dan penutup but belakang.
Walaupun kabin Saga ini nampak standard, DSR sebenarnya telah memberikan sistem audio yang cukup padu. Pemain kaset utama Blaupunkt Phoenix asli pada papan pemuka Saga ini telah direstorasi untuk kelihatan dan berfungsi semula seperti baru.
Namun tak cukup dengan itu, ada satu lagi pemain utama dari Kenwood yang lebih moden disorokkan dalam glovebox bagi membolehkan pelbagai sumber media lain seperti USB, Bluetooth dan sebagainya dapat dimainkan. Kedua-dua pemain utama ini disambungkan pada pemproses bunyi bagi mendapatkan bunyi lebih baik, dan pemandu boleh menukar sama ada untuk menggunakan pemain klasik Blaupunkt atau Kenwood hanya dengan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.
Bunyi-bunyian tersebut disalurkan kepada empat pembesar suara Infinity Kappa dari Harman, dan disokong oleh subwoofer juga dari Harman yang disorokkan di bawah tempat duduk hadapan. Jadi jangan tertipu dengan rupa standard kabin Saga ini, kerana bunyi audio yang dihasilkan adalah lebih baik dari kereta yang diberikan subwoofer ‘kedai abang’ sebesar peti ais di dalam but belakang.
Menurut pengasas bersama DSR, Suriya Sankaran, proses restorasi Saga ini merupakan antara projek paling sukar dan mengambil masa paling lama yang pernah dibuat oleh syarikatnya kerana faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan alat ganti yang benar-benar asli dan sebagainya.
Projek ini bermula pada Februari 2022, dan ia hanya siap pada bulan Jun tahun ini, iaitu hampir setahun setengah untuk disiapkan. Suriya menjelaskan dalam tempoh sedemikian, syarikatnya mampu untuk menyudahkan dua projek restorasi penuh Proton Satria GTi, tetapi hanya sebuah Saga siap dalam tempoh yang sama!
GALERI: Proses restorasi Proton Saga 1.5S 1990 oleh Dream Street Restoration
|
BMW i7 xDrive60 2023 kini di Malaysia — jarak EV sehingga 615 km, 544 PS/795 Nm, skrin 31.1-inci
|
Susulan pengenalan BMW 7 Series generasi ketujuh Mei lalu, BMW Malaysia kini memperkenalkan versi elektrik sepenuhnya sedan mewah berkenaan untuk pasaran tempatan, model i7. Ditawarkan dalam satu varian tunggal xDrive60 M Sport, i7 ini dijual pada harga RM729,800 atas jalan, tidak termasuk insuran — dan termasuk lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis.
Dengan ini, i7 dijual lebih mahal berbanding model plug-in hybrid 750e xDrive yang datang dalam dua versi; Pure Excellence pada harga RM649,800, dan M Sport dengan harga anggaran RM700,000. Ini kerana, versi EV datang dengan lebih banyak kuasa, dengan bantuan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar — yang memberikan janaan keseluruhan 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan 795 Nm tork.
Angka ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.7 saat dan laju maksimum dihadkan secara elekronik pada 240 km/j. Jarak perjalanan pula ialah 615 km dengan kitaran WLTP, serta bateri yang terletak di bahagian lantai kenderaan membekalkan kapasiti 105.7 kWh (101.7 kWh bersih).
Untuk pengecasan, i7 datang dengan Combine Charging Unit (CCU) yang membenarkan pengecasan AC pada kadar sehingga 22 kW melalui sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh dalam masa 5.5 jam. Untuk pengecasan pantas DC pula, kadarnya sehingga 195 kW dengan sambungan CCS2, yang membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 34 minit sahaja. Ia juga datang dengan Integral Active Steering (stereng roda belakang) sebagai ciri standard.
Kelengkapan lain, i7 ini hadir dengan pakej luaran M Sport dengan bampar yang lebih agresif, rim 21-inci M Aerodynamic Style 909 dalam penyudah Jet Black. Ada juga kemasan luaran Chromeline, penutupan pintu perlahan automatik, bumbung kaca panoramik Sky Lounge serta pencahayaan Iconic Glow di “kidnye grille” dan lampu kristalnya — serta ciri HBA untuk lampu depan juga.
Bahagian dalaman lengkap dengan balutan kulit BMW Individual Merino dalam warna Amarone serta perincin kayu Fineline hitam dan kemasan kesan logam berkilat M, ciri kristal Crafted Clarity, BMW Interaction Bar, stereng M balutan kulit dan kerusi Executive Lounge berserta konsol khusus di belakang.
Bagi infotainmen, i7 menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan paparan melengkung (kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh di tengah bersaiz 14.9-inci) dan BMW Operating System 8. Sistem ini terdiri daripada Connected Package Professional, My Modes dan IconicSounds Electric sebagai tambahan kepada ciri media dan sambungan lainnya.
Sistem audio adalah daripada Bowers & Wilkins, ada juga Rear-seat Entertainment Professional (dengan skrin BMW Theatre Screen 31.3-inch), pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin empat-zon, lampu suasana komprehensif, pelindung matahari boleh laras dan kerusi balutan kulit Veganza (dengan liang udara) juga tersedia untuk dinikmati. Setiap i7 juga datang dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.
|
Vespa Disney Mickey Mouse Edition 2023 diperkenal
|
Kita sudah melihat banyak model Vespa keluaran istimewa yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai jenama terkenal dan ini adalah yang terbaru, dipanggil sebagai Vespa Disney Mickey Mouse Edition. Ia dibuat bersempena dengan sambutan ulang tahun Disney yang ke-100.
Menggunakan model Primavera sebagai asas, Vespa Disney Mickey Mouse Edition ini menggunakan kombinasi warna pada kuning, hitam dan merah pada badannya, sementara beberapa bahagian seperti kemasan keliling lampu hadapan, pemegang belakang dan kemasan panel tepi masih kekal berwarna krom.
Menjadikannya lebih istimewa adalah grafik watak kartun popular Mickey Mouse pada bahagian panel depan serta tepi. Kemudiannya pada tempat duduk, terdapat cop tanda tangan Mickey Mouse pada kain pembalut.
“Kolaborasi antara Vespa dan Disney ini melambangkan sambutan untuk dua syarikat bersejarah yang mempunyai impian sama: untuk membenarkan semua orang meluahkan imaginasi mereka secara bebas,” kata ketua eksekutif bahagian strategi, produk, pemasaran dan inovasi global Piaggio Group, Michele Colaninno.
“Sama seperti Mickey Mouse, Vespa juga adalah satu lambang budaya, meletakkan rasa seronok dan mahu menjelajah, dan bersama-sama, mereka membentuk satu kombinasi yang menarik, mengembangkan lagi kisah penceritaan kami,” kata timbalan presiden kanan produk Disney, Claire Terry.
|
Tiada perancangan beri rebat pelepasan cukai untuk OKU B40 dan M40 yang beli kenderaan – MoF
|
Kerajaan tidak bercadang untuk memberikan rebat pelepasan cukai kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori B40 dan M40 bagi pembelian kenderaan bermotor buat masa ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. Beliau turut berkata cadangan tersebut perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh, laporan Bernama.
“Kerajaan telah menyediakan pengecualian sepenuhnya ke atas duti eksais kenderaan untuk semua individu OKU dan cacat fizikal yang berkeupayaan memandu dengan syarat-syarat seperti pemohon berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memiliki lesen memandu sah, kenderaan tidak boleh dijual atau ditukar milik sehingga lima tahun, pengecualian dengan kebenaran MoF dan pengecualian dibenarkan untuk sebuah kenderaan setiap lima tahun,” katamya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Isaiah Jacob mengenai cadangan kerajaan untuk memberikan rebat pelepasan cukai bagi pembelian kenderaan bermotor di bawah harga RM45,000 untuk golongan sasaran OKU berkategori B40 dan M40.
Menurut Steven Sim, layanan cukai sedia ada dilihat memadai bagi meringankan beban golongan OKU bagi kategori B40 dan M40.
“Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan menambah baik dasar percukaian sedia ada dari semasa ke semasa seiring dengan persekitaran ekonomi,” katanya.
|
Toyota GR Supra 45th Anniversary Edition diperkenal untuk pasaran AS – keluaran terhad 900 unit
|
Di Amerika Syarikat (AS), Toyota memperkenalkan GR Supra 45th Anniversary Edition, yang dikatakan memberi penghormatan kepada Supra Mk4. Terhad hanya 900 unit, model ini ditawarkan dalam dua warna, iaitu Mikan Blast (oren) dan Absolute Zero (putih).
Menggunakan asas daripada GR Supra varian 3.0 Premium, bahagian mekanikal model keluaran khas ini masih dikekalkan, bermula dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo berkuasa 387 hp dan tork 500 Nm, dan pilihan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.
Walaubagaimanapun, ia dijadikan lebih istimewa dengan beberapa kelengkapan, seperti spoiler belakang lebih besar, yang terletak tiga inci atas penutup but. Bukan sekadar satu barang estetik, spoiler ini juga boleh dilaras untuk mendapatkan daya tolakan ke bawah (downforce) yang dimahukan.
Selain spoiler, rim 19 inci pada model ini juga dicat dengan warna hitam matte, sementara angkup brek di hadapan pula mempunyai logo GR. Di bahagian tepi kenderaan juga kelihatan terdapat pelekat dengan logo Supra, manakala di bahagian ruang enjin terdapat strut tower brace yang dicat warna oren.
Melengkapkan eksklusiviti model sambutan ulang tahun ini, di bahagian tepi papan pemukanya terdapat plat khas yang menyatakan nombor keluaran. GR Supra 45th Anniversary Edition menyertai beberapa lagi model sports keluaran khas yang dipasarkan di AS seperti edisi Launch, A91, A91-Carbon Fibre, and A91-MT
|
JPJ kendali siri ujian penggunaan kamera badan
|
Kementerian Pengangkutan (MoT) mengesahkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai penggunaan kamera badan oleh kakitangan lapangannya, dan kini sedang menjalankan satu siri ujian bukti konsep atau proof of concept (POC) mengenai perkara ini.
Menurut Timbalan Menteri MoT Datuk Hasbi Habibollah, ujian POC ini akan menilai keupayaan kamera badan dan keberkesanannya dalam meningkatkan integriti anggota lapangan semasa aktiviti penguatkuasaan. Kajian itu juga akan mendalami aspek perundangan dan kewangan mengenai penggunaan kamera badan oleh jabatan, laporan Bernama.
Beliau turut berkata, setakat ini terdapat tiga syarikat yang menawarkan ujian POC untuk JPJ. “Ujian telah dijalankan secara berperingkat di pejabat negeri serta cawangan terpilih dan dijangka berakhir pada 20 September, sebelum laporan penuh disediakan dan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan,” katanya di parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Aziz Ariffin, yang ingin tahu bila kementerian akan mewajibkan pegawai JPJ menggunakan kamera badan bagi meningkatkan integriti agensi penguatkuasaan itu.
Rancangan untuk JPJ menggunakan kamera badan ini adalah susulan langkah yang diperkenalkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bakal menggunakan alat tersebut bagi kegunaan anggota PDRM ketika bertugas. Pada Disember tahun lalu, dilaporkan kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk pembelian kamera badan untuk PDRM.
|
Pos Malaysia jalin kerjasama strategik dengan Yinson GreenTech pasang pengecas DC di pejabat pos
|
Pos Malaysia telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Yinson GreenTech (YGT) untuk stesen pengecas EV di beberapa cawangan pejabar pos. Buat masa ini, cawangan yang terlibat ialah di
Shah Alam, Ipoh, Melaka, Seremban, Alor Setar dan Johor Bahru, stesen pengecas EV yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam ini dikuasakan oleh ChargEV, pengendali rangkaian pengecas EV terbesar di negara ini.
Menurut pembekal perkhidmatan pos dan bungkusan Malaysia ini, setiap cawangan akan ditempatkan satu unit pengecas pantas DC dengan dua muncung jenis CCS2 (pengecasan pantas) dengan kuasa 40kW. Pos Malaysia berkata pihaknya akan menambah jumlah stesen pengecasan secara berperingkat, dengan rancangan untuk memperluaskan liputannya ke Pejabat Pos yang lain, memastikan akses yang lebih mudah untuk pemilik EV serta menyokong peningkatan jumlah EV di negara ini.
Selari dengan perkembangan matlamat sifar bersih, Pos Malaysia baru-baru ini menggunakan lebih 40 e-Bike untuk menghantar mel dan bungkusan di seluruh Lembah Klang tanpa melepaskan karbon. Menjelang akhir 2023, Pos Malaysia menyasarkan untuk mempunyai gabungan lebih 200 e-Bike dan 140 e-Van, di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Dengan kerjasama rakan kongsi seperti Yinson, kami boleh memacu perubahan positif dalam bidang pengangkutan yang lestari dan mengurangkan kebimbangan jarak bagi pengguna EV melalui pemasangan stesen pengecas EV di Pejabat Pos Malaysia (PO) kami.
“Ini menunjukkan komitmen kami yang teguh untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memajukan masa hadapan yang lebih hijau untuk Malaysia, dan ia dilengkapi melalui inisiatif kelestarian yang lebih besar termasuk matlamat sifar bersih kami,” kata CEO Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewe.
CEO YGT, Eirik Barclay, pula berkata berkata berdasarkan aspirasi untuk membantu perniagaan beralih ke arah kelestarian, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Pos Malaysia dalam melancarkan stesen chargEV di seluruh lokasi terpilih.
“Ia bukan saja memperluaskan rangkaian pengecasan komprehensifnya yang menawarkan pengguna EV dengan pengalaman yang mudah dan lancar semasa mereka menjalani kehidupan seharian. Malah, katanya, ia memberi manfaat kepada Pos Malaysia dengan mengurangkan jejak karbon mereka, justeru mengambil langkah pertama dalam memainkan peranan bagi mempercepatkan masa depan sifar bersih.”
|
Brixton Cromwell 1200 dilancar di Malaysia – harga dari RM56k, enjin 1,222 cc, ABS, ESC, cruise control
|
Brixton hari ini melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Cromwell 1200. Model ini pertama kali didedahkan pada penghujung tahun 2021 dan sekarang terletak paling atas dalam barisan model jenama itu. Hanya satu versi ditawarkan untuk pasaran kita (di luar negara terdapat Cromwell 1200 X), dan ia dijual pada harga RM55,888 tidak termasuk insurans. Ini bagaimanapun adalah harga pengenalan untuk 100 pelanggan pertama, sebelum dinaikkan kepada RM58,888.
Cromwell 1200 adalah sebuah model yang menggunakan bentuk klasik, seperti Triumph Speed Twin dan dipacu oleh enjin dua silinder selari 1,222 cc penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan klac anti-hopping, mampu menghasilkan kuasa sehingga 83 PS pada 6,550 rpm dan tork 108 Nm pada 3,100 rpm.
Meskipun mempunyai rupa klasik, Cromwell 1200 diterapkan dengan teknologi moden antaranya termasuk panel paparan TFT (dua mod paparan), dua mod tunggangan, cruise control serta lampu LED. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS serta kawalan cengkaman (boleh ditutup jika mahu).
Suspensi juga menggunakan unit daripada pengeluar ternama, iaitu Kayaba, dengan di hadapan terdapat fork 41 mm yang dilindungi dengan gegelung getah (jarak gerak 120 mm) serta dua penyerap dengan pelarasan pra beban di belakang (jarak gerak 87 mm).
Rim jejari (spoked) Cromwell 1200 datang dalam saiz yang berbeza iaitu 18 inci dibalut tayar 100/90 di hadapan, dan 17 inci dibalut tayar 150/70 di belakang. Brek pula menggunakan unit daripada Nissin, dengan set cakera berkembar 310 mm di hadapan dan cakera tunggal 260 mm di belakang.
Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 16 liter, pengecas USB, tuil klac jenis kabel serta ekzos yang keluar pada setiap sisi. Tinggi tempat duduk Cromwell 1200 adalah 800 mm manakala berat keseluruhannya adalah 235 kg.
Dengan harga yang disebutkan di atas, MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Brixton Motorcycles di Malaysia juga akan memberikan terus beberapa aksesori termasuk beg tepi kalis air berkapasiti 10 liter, pad tepi tangki serta pelindung bawah enjin aluminium. Jaminan motosikal ini adalah selama dua tahun atau 20,000 km manakala pilihan warna yang disediakan adalah Backstage Black atau Cargo Green.
|
Mazda 2 2023 facelift diperkenal di Thailand — sedan dan hatchback, 1.3L petrol/1.5L diesel, 10 varian
|
Mula ditunjuk pada Januari lalu, Mazda 2 facelift 2023 kini telah dilancarkan di Thailand dengan penawaran rekabentuk sedan dan hatchback: versi sedan pertama kali dilihat di sini melalui foto-foto ehsan Headlight Magazine. Ini merupakan kemaskini kedua Mazda 2, yang telah berada dalam pasaran sejak 2014, selepas facelift pertama pada 2019.
Seperti yang dapat dilihat, perubahan yang terlibat lebih cenderung kepada hal-hal kosmetik sahaja, dengan yang paling ketara ialah rekaan bahagian wajah depannnya. Panel depannya kini tampil tertutup seperti kenderaan EV, dengan rekaan gril yang berbeza, serta perincian honeycomb mesh yang menyuntik sentuhan sporty. Kedua-dua kini tampil dengan kemasan hitam baru di kelilingnya, serta bukaan udara yang condong ke bawah.
Gril depan juga ada perincian warna, begitu juga dengan bahagian bampar belakang untuk model hatchback untuk lebih elemen kontras. Untuk sedan pula hanya ada kemasan warna di depannya sahaja. Rekaan rim juga berbeza, dengan sembilan pilihan warna badan ditawarkan di sana — dengan dua warna metalik baru Aero Grey dan Airstream Blue.
Model hatchback menerima dua tambahan edisi khas: Rookie Drive dan Clap Pop yang diserikan pakej dengan tema khusus untuk kelainannya, melibatkan pelikat hiasan lain, elemen kontras serta pilihan perumah rim berbeza.
Di dalam, papan pemuka kekal dengan rekaan hampir sama, walaupun kini dengan warna lebih cerah untuk disesuaikan dengan warna luaran. Skrin apungnya juga lebih besar menjadi lapan-inci, dengan perisian sistem infotainmen Mazda Connect yang sama.
Di Thailand, ada dua pilihan enjin untuk Mazda 2 ini. Pertama, unit Skyactiv-G 1.3 liter NA petrol, yang menjana sebanyak 93 PS pada 5,800 rpm dan 123 Nm tork pada 4,000 rpm. Kedua, unit 1.5 liter turbocas diesel yang menghasilkan 105 PS (103 hp atau 77 kW) pada 4,000 rpm dan 250 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Kedua-duanya digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
Semua sekali ada lima varian ditawarkan, dengan tiga versi petrol dan dua versi diesel untuk setiap satu model. Untuk sedan, model petrolnya terdiri daripada 1.3 C, 1.3 S dan 1.3 SP, sementara versi diesel pula 1.5 XD dan 1.5 XDL. Semua varian yang sama ini turut diberikan untuk model hatchback, dengan tanda nama Sport untuk membezakannya. Edisi Rookie Sport dan Clap Pop pula menggunakan versi 1.3 C petrol hatchback.
Kelengkapan yang ada antaranya lampu utama dan DRL LED, sistem tanpa kunci dengan butang Push serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Saiz rim pula ialah 15-inci bagi model petrol, dan saiz 16-inci untuk model diesel.
Harga Mazda 2 2023 di sama bermula dari 599,000 baht (RM79,850) bagi varian 1.3 C sedan/1.3 C Sports, dengan maksimum sehingga 830,000 baht (RM110,630) bagi 1.5 XDL sedan/1.5 XDL Sports.
Mazda 2 2023 facelift 1.3 C Clap Pop Sports
Mazda 2 2023 facelift 1.3 C Rookie Drive Sports
Mazda 2 2023 facelift 1.3 C Sedan
Mazda 2 2023 facelift 1.3 S Sports
Mazda 2 2023 facelift 1.3 S Sedan
Mazda 2 2023 facelift 1.3 SP Sports
Mazda 2 2023 facelift 1.3 SP Sedan
Mazda 2 2023 facelift 1.5 XD Sports
Mazda 2 2023 facelift 1.5 XD Sedan
Mazda 2 2023 facelift 1.5 XDL Sports Aero Grey
Mazda 2 2023 facelift 1.5 XDL Sports Airstream Blue
|
CFMoto XO Papio dilancarkan di Malaysia – RM8,888
|
CFMoto hari ini di acara Malaysia Autoshow 2023 telah melancarkan sebuah motosikal mini yang dinamakan sebagai XO Papio. Ia dijual pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu Nebula White, Fiery Red dan Moss Green.
XO Papio yang bersaiz seperti Honda MSX125/Grom dan Kawasaki KSR110 ini digerakkan oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api, 126 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,500 rpm dan tork 8.3 Nm pada 6,500 rpm.
Rim 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang pada XO Papio ini disambungkan kepada badan motosikal melalui fork USD (jarak gerak 96 mm) di hadapan dan monoshock di belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduknya menjadi 760 mm.
Meskipun cuma merupakan sebuah motosikal mini, XO Papio datang dengan brek cakera hadapan dan belakang, terdiri daripada unit 210 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 190 mm dengan angkup satu piston di belakang. Menjadikannya lebih baik, sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.
Perincian lain XO Papio adalah semua lampu jenis LED, tangki bahan api tujuh liter dan berat keseluruhan 114 kg. Motosikal ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
|
Hyundai Ioniq 5 N – video teaser baharu dedahkan bunyi enjin, rev limiter dan bunyi tukar gear palsu
|
Model elektrik penuh (EV) pertama yang akan menerima lencana prestasi divisi prestasi tinggi Hyundai N iaitu Ioniq 5 N sebelum ini sudah dilaporkan bakal menerima bunyi enjin palsu dan juga bunyi tukaran gear palsu bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan berbanding EV lain. Macam mana bunyi berkenaan? Ianya sudah pun didedahkan dalam video teaser terbaharu hot-hatch N EV ini.
Seperti yang anda boleh dengar dalam video teaser baharu di bawah, bunyi tersebut terhasil seakan bunyi kapal angkasa – bagi penulis, bunyi ini adalah hampir sama seperti bunyi pada supercar EV Porsche Taycan. Namun apa yang menarik, bunyi palsu Ioniq 5 N ini juga menghasilkan bunyi seakan ‘letupan’ ketika kelajuan enjin dihadkan oleh rev limiter.
Anda juga dapat lihat pemandu ada menekan pedal penukar gear yang terletak pada bahagian belakang roda stereng. Ini bukanlah bermaksud Ioniq 5 N ini diberikan kotak gear, tetapi ia sebenarnya adalah pedal untuk memberikan kadar pemulihan tenaga yang lebih besar untuk mengecas semula bateri menerusi sistem regenerative braking, yang memberikan rasa seakan engine braking ketika gear diturunkan pada enjin petrol – sistem ini sudahpun diberikan pada Ioniq 5 biasa dan juga Kona EV.
Sebelum ini Hyundai telah pun menyiarkan satu lagi video teaser menunjukkan Ioniq 5 berkenaan ‘menari’ di atas permukaan salji bersama jentera WRC sebenar Hyundai i20 N Rally1, menunjukkan kebolehan sistem agihan tork pada model prestasi ini memberikan kebolehan yang hampir sama seperti kereta rali sebenar tersebut.
Sehingga kini Hyundai masih belum mendedahkan angka prestasi sebenar bagi Ioniq 5 ini. Namun ketika sekumpulan media dari Australia dijemput untuk mencuba model berkenaan, ia didakwa lebih berkuasa dari Kia EV6 GT yang dibekalkan dengan kuasa 585 PS/ 740 Nm, diberikan bateri lebih besar sekitar 80 kWj, serta menerima perincian seperti penyerap hentak adaptif, e-LSD, kawalan tork bervariasi dan juga mod Drift.
https://paultan.org/image/2023/05/hyundai-n-teaser.mp4
|
JPJ eBid: Siri nombor DET dan BRL dibuka bidaan
|
Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan dan Selangor bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DET, bakal boleh dibida mulai esok, 6 Mei 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 10 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 11 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRL, bakal dibuka bidaan mulai 10 Mei 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 14 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 Mei 2023.
Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
|
MyEG diberi lanjutan kontrak tiga tahun untuk urusan berkaitan JPJ, tapi bukan lagi penyedia eksklusif
|
Kerajaan telah mengumumkan bahawa kontrak MyEG Services telah dilanjutkan untuk membolehkannya terus menyediakan perkhidmatan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tempoh tiga tahun lagi. Kontrak semasa sepatutnya berakhir pada 22 Mei ini.
Ini bermaksud, pengguna masih boleh memperbaharui lesen pemandu dan cukai jalan serta pembayaran saman trafik melalui platform berkenaan hingga tahun 2026 nanti. Bagaimanapun, MyEG tidak lagi akan menjadi penyedia perkhidmatan itu secara eksklusif, kerana kerajaan akan membuka peluang itu kepada penyedia perkhidmatan lain juga, lapor The Edge.
Mengumumkan pelanjutan kontrak itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata walaupun kerajaan melanjutkan khidmat MyEG, ia kini bukan lagi diberikan secara eksklusif kepada hanya mereka.
“Mereka hanya satu daripada penyedia perkhidmatan kepada kerajaan. Kami izinkan mereka untuk menjadi laluan kepada kerajaan sebagai pilihan kepada pengguna untuk memperbaharui lesen, cukai jalan dan lain-lain. Jika ada penyedia perkhidmatan e-kerajaan lain yang ingin menyediakan perkhidmatan sama, kami akan pertimbangkan,” jelasnya.
Ini selari dengan pengumuman yang dibuat pada Mac lalu bahawa Puspakom tidak lagi akan menjadi monopoli dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermula September tahun lalu. Sama seperti MyEG, kerajaan memaklumkan mereka akan membuka peluang itu kepada penyedia perkhidmatan lain yang layak juga.
Langkah untuk mengakhiri kontrak eksklusif ini bukan baru. Pada 2019, dilaporkan kerajaan sedang menjadi jalan untuk memecahkan monopoli perniagaan dalam usaha untuk merancakkan persaingan dan mengurangkan kos sara hidup, dan MyEG serta Puspakom memang menjadi syarikat yang dijangkakan untuk itu.
|
Perodua Axia E akan diproduksi semula, bakal dijual pada harga lebih murah dari RM24k tidak lama lagi?
|
Ketika merasmikan Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS, Serdang tempoh hari, menteri pelaburan, perdangangan dan industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sempat berkongsi bahawa Perodua dijangka bakal memperkenalkan harga baharu yang lebih rendah bagi salah satu model sedia adanya tidak lama lagi.
“Saya diberitahu bahawa Perodua akan merendahkan harga salah satu modelnya tidak lama lagi, menjadikan kereta yang sudah sedia murah itu lebih murah! Satu lagi pembayang, ia juga merupakan model EEV. Model yang mana? Anda hanya perlu tunggu sehingga ia diumumkan,” kata Zafrul dalam ucapannya.
Mengambil beberapa petunjuk dalam ucapan Tengku Zafrul berkenaan, ada kemungkinan ia adalah Perodua Axia E generasi terdahulu dengan kotak gear manual, yang diumumkan oleh Perodua sebelum ini bahawa ia bakal diproduksi semula dan dijual sekali bersama model generasi baharu.
Axia ‘spec kosong’ dengan rim besi serta tanpa radio berkenaan merupakan salah satu model Perodua yang menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), serta merupakan model yang paling murah dijual oleh Perodua sebelum ini. Harga terakhir ditawarkan untuk Axia E manual berkenaan adalah RM24,090, mungkin untuk kemaskini harga baharu lebih rendah nanti ia akan dijual pada harga sekitar RM20k?
Apa pun, seperti yang disebut oleh Tengku Zafrul, kita tunggu dulu pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh Perodua tidak lama lagi. Apa pendapat anda? Adakah dengan langkah menjual kembali model lama dengan harga lebih rendah ini akan memberikan kelegaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan di saat kos sara hidup yang semakin meningkat selepas musim pandemik ini?
|
Mercedes-AMG GT63S E Performance kini di Malaysia – PHEV V8 843 hp/1,400 Nm; dari RM2.1 juta
|
Elektrifikasi semakin diterima di kebanyakan pasaran automotif dunia, dan juga semakin banyak model baharu bagi kenderaan elektrik dilancarkan. Mercedes-Benz antara jenama yang giat memperhebatkan barisan kenderaan elektriknya (EV) dan ingin memperkukuhkan lagi pasaran bagi model EV ini di Malaysia.
Mengambil peluang memperkenalkannya menerusi acaran Malaysia Autoshow 2023 yang telah membuka tirainya mulai semalam hingga 7 Mei in, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan plug-in hybrid pertama dari barisan model prestasi tinggi Mercedes-AMG.
Termasuk dalam barisan GT 4-Door Coupé, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance ini menampilkan enjin 4.0 liter biturbo petrol plug-in hybrid, yang mampu menghamburkan kuasa keseluruhan 843 hp dan tork 1,400 Nm. Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan pada harga atas jalan dari RM2,088,888 tanpa insurans.
Enjin pembakaran mampu menghasilkan sebanyak 639 hp dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork 900 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik dengan kuasa 204 PS dan tork 320 Nm yang menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi LSD elektronik dan transmisi dua-kelajuan. Pada kelajuan 140 km/j, transmisi itu akan masuk ke gear kedua ke gandar hadapan menyalurkan AWD untuk membolehkan ia terus memberi kuasa pada kelajuan tinggi.
Satu lagi propshaft membenarkan sedikit tork dihantar ke roda hadapan, menjadikan ia sebuah kereta pacuan semua roda. Motor elektrik juga ada lagi satu, tetapi adalah unit pacuan starter-generator 10 kW (14 PS), yang diletakkan di antara enjin dan transmisi automatik Speedshift MCT 9G sembilan kelajuannya, dan memberikan kuasa kepada aksesori lain sekiranya bateri utama lemah.
Hasil daripada semua sumber ini, GT 63 S E Performance dapat menghasilkan 843 PS dan 1,470 Nm tork, menjadikan ia sebagai model AMG produksi bersiri yang paling berkuasa setakat ini. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.9 saat, sebelum mencapai 200 km/j dalam masa 10 saat dan mencecah kelajuan maksimum 316 km/j.
Untuk pasaran Malaysia, GT 63 S E Performance menerima pakej AMG Aerodynamics , AMG Exterior carbon-fibre Package II, AMG Exterior Night Package, AMG Night Package II, roda tempaan lima-jejari-berkembar AMG 21-inci, paparan pencahayaan AMG, lampu utama Multibeam LED, Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan AMG indoor car cover.
Untuk memantapkan lagi enjin pembakaran dalamannya, GT 63 S E Performance dilengkapi dengan sistem ekzos AMG Performance, sementara untuk casis pula termasuk sistem brek komposit-seramik prestasi-tinggi AMG, AMG Ride Control+, AMG Dynamic Select dan stereng roda belakang.
Untuk pengecasan, jentera ini turut didatangkan dengan kabel pengecasan sepanjang lima meter untuk sambungan soket domestik, juga dengan pengecas dengan fungsi trickle charging. Jarak gerak elektrik untuk GT 63 S ini cuma 12 km (pada kelajuan sehingga 130 km/j), dan bateri lithium-ion 6.1 kWh ini cuma mempunyai berat 89 kg. Tempoh masa mengecas masih belum diberitahu, tetapi kereta ini boleh menerima kuasa AC sehingga 3.7 kW melalu pengecas on-board padanya.
Di dalamnya, GT 63 S E Performance ini menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dengan fungsi suhu, pakej tempat duduk pelbaga-kontur dan pakej memori. Ia juga diberikan pencahayaan ambien serta kemasan gentian-karbon AMG, termasuk roda stereng AMG Performance dalam balutan Nappa dan gentian mikro Microcut, serta pilihan warna dan kemasan material untuk roof liner.
Selain itu, ia juga diberikan ciri Keyless Go dan Hands-Free Access, pakej Air Balance, MBUX Interior Assistant, kawalan suhu automati Thermotronic, Easy-Pack tailgate dan pad pengecasan tanpa wayar untuk penumpang hadapan dan belakang.
Untuk infotainmen, ia dinerikan sistem multimedia MBUX dengan kokpit skrin lebar dan paparan utama, pakej ketersambungan navigasi, navigasi berasaskan cekera-keras, intergrasi telefon pintar, pra-pemasangan untuk MBUX Entertainment dan sistem bunyi sekeliling Burmester. Manakala data berpaksikan prestasi boleh dilihat menerusi AMG Track Pace.
Bagi sistem keselamatan dan bantuan pula, GT 63 S E Performance dilengkapi Driving Assistance Package merangkumi Active Distance Assist, Active Steering Assist, sementara pek Guard 360 Vehicle Protection Plus terdiri daripada bunyi anti-kecurian dan sistem pemantauan dalaman.
Ia turut diberikan Parking Package yang mengandungi Active Parking Assist dengan Parktronic dan sistem kamera 360-darjah bersama fungsi kelam-sendiri dan cermin sisi boleh-lipat elektrikal. Untuk keselamatan pasif, ia dilengkapi set beg udara termasuk bahagian sisi penumpang belakang serta beg udara bahagian lutut.
Di Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance boleh didapati dengan warna Manufaktur Kalahari Gold seperti dalam foto ini, bersama AMG Green Hell Magno. Selain itu, ia juga menawarkan pilihan warna Classic Grey Uni, Olive Metallic dan Copper Orange Magno matte, yang kesemuanya boleh dipadankan dengan pilihan warna dalaman.
|
Kawasaki Z900 SE dipertonton di Malaysia – CKD, guna monoshock Ohlins S46, brek Brembo M4.32
|
Selain melancarkan Z H2 SE dan KX250 di acara Malaysia Autoshow 2023, Kawasaki Malaysia turut melakukan pra tonton sebuah model baru yang akan memasuki pasaran sekitar bulan Jun/Julai tahun ini, iaitu Z900 SE. Model ini pertama kali ditunjuk kepada dunia pada September 2021.
Keistimewaan Z900 SE adalah ia diberikan naik taraf pada bahagian suspensi dan brek, dengan menggunakan monoshock Ohlins S46 (dengan tombol larasan pra beban) di belakang, serta angkup brek Brembo M4.32 bersama hos steel braided dan cakera 300 mm di hadapan.
Bahagian lain motosikal ini masih sama seperti Z900 yang diberi peningkatan pada tahun 2019, tetapi penampilannya dijadikan lebih istimewa dengan kelongsong fork 41 mm berwarna emas, rim dengan jalur hijau serta warna badan gabungan Metallic Spark Black dan Candy Lime Green.
Z900 SE dipacu oleh enjin empat silinder 948 cc bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 125 PS pada 9,500 rpm dan 98 Nm tork pada 7,700 rpm. Semua lampu motosikal ini menggunakan LED kecuali lampu penunjuk arah.
Perincian lain Z900 SE adalah termasuklah skrin TFT 4.3 inci berwarna yang boleh disambung kepada telefon pintar dan aplikasi Rideology, empat mod tunggangan, tiga tahap kawalan cengkaman KTRC, berat 213 kg, tangki bahan api 17 liter dan tinggi tempat duduk 820 mm.
Walaupun sebelum ini semasa lawatan kami ke kilang Modenas di Gurun EMOS menyatakan bahawa model yang dipasang di dalam negara (CKD) hanyalah model berkapasiti bawah 650 cc, kami mendapat maklumat bahawa Z900 SE ini juga adalah model CKD, berkemungkinan kerana ia adalah sebuah model popular dan disasarkan dengan jumlah jualan yang lebih tinggi. Harapnya harga model ini juga boleh jadi lebih menarik apabila dilancarkan secara rasmi nanti.
|
Bas percuma untuk Hari Terbuka Parlimen minggu ini
|
Untuk yang ingin merasai pengalaman ke Parlimen, anda berpeluang berbuat demikian pada 6-7 Mei ini. Pada tarikh berkenaan, Hari Terbuka Parlimen bakal diadakan, memberi peluang untuk orang ramai berkunjung ke bangunan Parlimen yang penuh bersejarah itu.
Seperti biasa, Rapid Kl bakal menyediakan perkhidmatan ‘Bas Parlimen’ untuk acara berkenaan. Laluan T851 akan bermula dari balai berlepas ERL di KL Sentral dan menghala ke parkir bertingkat Taman Botani Perdana sebelum menuju ke Parlimen. Kawasan parkir di Lake Garden merupakan fasiliti parkir yang paling terhampir dengan Parlimen. Kekerapan bagi perkhidmatan ini adalah setiap 30 minit, dan beroperasi dari 7 pagi hingga 8 malam. Klik imej di atas untuk makluman lanjut.
Merupakan inisiatif dari Kementerian Pengangkutan, perkhidmatan Bas Parlimen ini adalah secara percuma. Ia diperkenalkan pada Februari lalu bagi menyelesaikan isu kekurangan masalah parkir di Parlimen, namun ia dihentikan pada April selepas sesi parlimen berakhir.
|
Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia
|
Chery secara rasminya telah kembali ke pasaran Malaysia minggu ini dengan memperkenalkan dua model baharunya iaitu Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 di Malaysia Autoshow 2023 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang. Bukan itu sahaja, jenama dari China berkenaan turut telah memuktamadkan kerjasamanya dengan syarikat automotif tempatan, Inokom untuk memproduksi model-model Chery secara pemasangan tempatan (CKD) di sini.
SUV tujuh-tempat duduk Chery Tiggo 8 Pro dan juga SUV segmen-B Chery Omoda 5 yang didedahkan berkenaan menampilkan spesifikasi sebenar untuk pasaran Malaysia dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), dan kedua-duanya merupakan model pertama Chery yang akan diproduksi oleh Inokom menerusi fasiliti seluas 200-ekar yang terletak di Kulim, Kedah.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Inokom. Dengan pengalaman hampir tiga dekad dalam memasang kenderaan pelbagai jenama terkenal dunia, Inokom ialah rakan kongsi yang ideal untuk Chery dalam misi kami bagi bertapak di Malaysia dan menawarkan kenderaan berteknologi dan berkualiti tinggi serta rekaan yang mendahului zaman kepada pengguna Malaysia,” kata pengarah Chery Malaysia Leo Chen.
Selain Malaysia, Chery turut memasang model-modelnya di Indonesia. Namun Chen mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia akan menjadi hab pemasangannya di ASEAN, di mana unit-unit yang dipasang di Kulim akan dieksport ke Thailand, Singapura, Brunei, Vietnam dan juga Australia – kesemua ini merupakan versi RHD kecuali Vietnam.
Bukan itu sahaja, Chen juga mendedahkan bahawa Chery merancang untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk produk-produk RHD di Malaysia, yang merangkumi perkara seperti ujian serantau, latihan dan juga pengedaran komponen.
Model-model awalan yang akan dipasang di Malaysia merupakan kenderaan-kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, namun Chery turut merancang untuk memasang model-model dengan teknologi elektrifikasi termasuk plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik penuh (EV) di sini selepas ini.
“Seperti yang telah kami lakukan dengan jayanya di banyak pasaran lain, Chery berazam untuk menempatkan operasinya di Malaysia sejauh mungkin. Kami percaya ini akan membawa kami lebih dekat dengan pengguna Malaysia untuk memahami sepenuhnya keperluan dan kehendak mereka, apatah lagi menyumbang secara ekonomi kepada negara melalui pemindahan teknologi serta penciptaan peluang pekerjaan dan strategik,” kata Chen.
“Kami juga mempercepatkan semua aspek lain dalam strategi lokalisasi kami, termasuk merekrut bakat terbaik Malaysia dalam bidang seperti produk, jualan, selepas jualan, penjenamaan dan pemasaran, dan sudah tentu melalui rangkaian pengedar kami – kami sasarkan untuk membuka tidak kurang daripada 30 pengedar meliputi semua bandar utama di seluruh negara,” tambahnya lagi.
Jika anda masih terbayang-bayang akan model-model Chery terdahulu yang dijual di pasaran tempatan, anda mungkin terkejut dengan produk-produk terbaharu jenama berkenaan yang dibawa ke sini. Spesifikasi dan imej berkenaan Chery Tiggo 8 Pro boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan Omoda 5 pula pada PAUTAN INI.
Harga bagi kedua-duanya masih belum diumumkan, dan keduanya-duanya akan dilancarkan secara rasmi menjelang akhir Jun atau awal Julai tahun ini. Model elektrik penuh Omoda 5 pula dijangka akan tiba di sini pada akhir 2023, manakala versi PHEV dirancang untuk diperkenalkan dalam pasaran tempatan pada awal tahun hadapan.
GALERI: Chery Tiggo 8 Pro di Malaysia
GALERI: Chery Omoda 5 di Malaysia
|
Perodua sasar isu penapis minyak enjin bocor selesai pertengahan tahun ini; 40k unit kenderaan terlibat
|
Perodua mensasarkan untuk menyelesaikan isu penapis minyak pelincir yang kerap bocor pada model-modelnya menjelang pertengahan tahun ini. Perkara ini dinyatakan oleh CEO dan Presiden Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad ketika ditanya oleh pihak media pada Malaysia Autoshow 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang hari ini.
Menurut Zainal lagi, semua kenderaan yang terjejas ini adalah unit-unit yang diservis di pusat servis bertauliah Perodua yang menggunakan alat ganti asli Perodua. Walau bagaimanapun, ia tidak melibatkan kenderaan-kenderaan baharu yang keluar dari kilang kerana ia dibekalkan oleh vendor yang berbeza.
Buat masa sekarang Perodua mengesahkan bahawa sekitar 40,000 unit kenderaan dari keseluruhan 4.5 juta kenderaan Perodua yang masih berada di atas jalan raya terjejas dengan masalah ini, dan ia terdiri dari model-model termasuk Axia, Myvi, Alza dan Ativa. Perodua Aruz pula disahkan tidak terlibat dengan isu penapis minyak pelincir enjin yang bocor ini.
Zainal turut menyatakan bahawa mana-mana pelanggan yang terjejas dengan masalah ini perlu membawa kenderaan mereka ke pusat servis Perodua – pihaknya bukan hanya akan menukar penapis minyak berkenaan, malah turut akan menukar sekali minyak enjin secara percuma, tanpa sebarang caj.
Beliau turut menyatakan tuntutan trend waranti berkenaan dilihat telah menurun bermula pada bulan Februari lalu apabila kebanyakkan kenderaan yang terjejas telah menerima unit penapis minyak yang telah dikemaskini.
|
Honda akui tertinggal dalam segmen EV berbanding jenama China; ada rancangan untuk melawan semula
|
Dengan kebanjiran pelbagai kenderaan elektrik (EV) jenama tempatan dalam acara Auto Shanghai 2023 yang berlangsung bulan lalu, jenama automotif Jepun, Honda mengakui bahawa ia kini ketinggalan dalam segmen berkenaan berbanding pesaing-pesaingnya dari China.
CEO Honda Toshihiro Mibe terkejut dengan perkembangan yang dilihat berlaku dalam acara berkenaan, namun syarikatnya mempunyai rancangan bagi mempercepatkan halatuju elektrifikasi Honda bagi bersaing dengan jenama-jenama dari China tersebut.
“Mereka di hadapan kami, lebih dari apa yang dijangka. Kami sedang mencari jalan untuk melawan semula. Jika tidak, kami akan tewas dalam persaingan ini. Kami menyedari bahawa kami agak ketinggalan di belakang, dan kami bertekad untuk memutar semula keadaan ini,” kata Mibe dalam sesi penerangan perniagaan tahunan Honda bulan lalu, lapor Automotive News.
Menurutnya lagi, eksekutif-eksekutif Honda tidak menjangka untuk melihat banyak jenama-jenama tempatan China membanjiri dewan-dewan pameran di Auto Shanghai 2023 dengan pelbagai jenis EV menampilkan teknologi termaju. Honda hadir ke acara tersebut dengan mendedahkan tiga SUV EV iaitu prototaip e:NS2 dan e:NP2 yang akan mula dijual di China pada awal 2024, serta model konsep e:N SUV yang dijangka akan diperkenal dalam versi produksi pada akhir 2024.
Mibe turut menyatakan bahawa jenama-jenama automotif China ini telah melangkah jauh ketika dunia dikekang oleh pandemik Covid-19, di mana perjalanan untuk masuk ke negara tersebut terhalang serta sukar menerusi pelbagai kaedah kuarantin yang diperlukan.
COO Honda, Shinji Aoyama turut senada dengan apa yang dikatakan oleh Mibe. “Kami ketinggalan berbanding China,” katanya.
Sebagai respon kepada situasi ini, Honda akan melancarkan beberapa model EV baharu di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun – kebanyakan pelancaran ini akan belangsung bermula 2025. Honda turut mengulangi sasarannya untuk menghasilkan lebih daripada dua juta EV setiap tahun menjelang 2030.
Model EV pertama Honda di AS adalah Honda Prologue dan Acura ZDX, di mana kedua-duanya dihasilkan berasaskan platform Ultium dari General Motors, bakal dilancarkan pada tahun 2024. Manakala model-model EV bersaiz sederhana hingga besar yang dihasilkan dari platform EV Honda sendiri akan mula dijual di pasaran tersebut menjelang 2025.
Honda turut menyatakan bahawa kerjasamanya dengan GM akan terus dikukuhkan bagi membangunkan bersama siri kenderaan elektrik mampu milik yang akan mula dijual pada 2027 dan seterusnya serta terus meneroka pelbagai kerjasama lain.
Di Jepun, model EV yang berasaskan Honda N-One akan mula dijual bermula 2025, bersama dua lagi model EV bersaiz kecil termasuk sebuah SUV EV yang akan masuk ke pasaran menjelang 2026. Manakala untuk tiga model yang hanya akan dijual di China yang disebut sebelum ini, ia akan menjadi antara 10 model EV baharu yang akan diperkenalkan ke pasaran menjelang 2027.
Honda turut merancang untuk meningkatkan aktiviti berkaitan bateri EV. Dalam masa terdekat, usaha berkenaan akan turut membabitkan bagi mendapatkan bekalan bateri dari GM untuk model-model pasaran AS, CATL untuk model-model pasaran China dan Envision AESC untuk model-model yang dijual di pasaran domestik Jepun.
Bukan sekadar mendapatkan bekalan, malah Honda juga kini aktif mengambil bahagian dalam penyelidikan pembangunan bateri. Ini termasuk melabur dan membangunkan bersama bateri semi-solid-state bersama SES AI Corporation dan bekerjasa dengan GS Yuasa untuk pembangunan bateri lithium-ion cecair berkuasa tinggi.
Difahamkan rancangan untuk mewujudkan barisan pengeluaran bagi mendemonstarikan produksi bateri solid-state sepenuhnya akan berjalan pada 2024, dan ia akan diperkenalkan dalam pasaran pada separa kedua dekad ini.
Honda juga kini sedang bekerjasama dengan syarikat perdagangan Hanwa bagi memastikan perolehan stabil unsur-unsur penting seperti nikel dan kobalt dalam jangka sederhana hingga panjang, serta sedang meneroka cara untuk menggunakan sumber bateri kitar semula pada masa hadapan.
Perisian dan elektronik juga akan menjadi bidang tumpuan Honda dalam usaha di mana ia kini sedang membangunkan sistem pengendalian kenderaannya sendiri yang disasarkan akan diguna bermula dari EV bersaiz sederhana hingga besar untuk pasaran AS pada 2025, serta mengembangkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pemanduan automatik/sistem bantuan pemanduan dan juga servis-servis terhubung.
|
Salah laku ujian keselamatan Daihatsu – MIROS mahu nilai Axia walaupun Perodua dakwa tiada masalah
|
Susulan pengakuan Daihatsu yang melakukan manipulasi keputusan ujian pelanggaran di Jepun yang turut melibatkan Perodua Axia minggu lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menegaskan bahawa pihaknya akan membuat penilaian tahap keselamatan model berkenaan walaupun tiada aduan diterima dari orang ramai dan pihak Perodua sendiri memberi jaminan bahawa produk berkenaan masih selamat digunakan di atas jalan raya.
“Kami tidak menerima sebarang aduan, namun kami akan meneliti dakwaan Perodua,” kata pengerusi MIROS, Wong Shaw Voon kepada FMT semalam dan menjelaskan bahawa penilaian terhadap Axia 2023 akan dibuat demi menjamin tahap keselamatannya.
Manakala dalam laporan Malaysiakini, Wong berkata bahawa MIROS akan berjumpa dengan Perodua dan akan membuat penilaian sewajarnya serta meneliti dakwaan syarikat itu terhadap tahap keselamatan Axia.
Minggu lalu Daihatsu telah mengesahkan bahawa ia telah melakukan “salah laku” dalam ujian pelanggaran yang dilakukan bagi permohonan kelulusan peraturan untuk empat model iaitu Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dengan lencana Yaris Ativ di Thailand dan pasaran lain), Toyota Agya dan sebuah lagi model yang akan dilancarkan.
Daihatsu mengaku di atas perbuatan tersebut dalam sebuah kenyataan, dan menambah lebih 88,000 unit dari model yang terkesan itu telah dijual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Mexico setakat ini. Penghantaran stok baru juga telah digantung.
“Kami memohon maaf yang tak terhingga kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan kami serta pihak berkepentingan lain dan kerana telah menyebabkan situasi ini,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Daihatsu sebelum ini.
Syarikat induk Daihatsu iaitu Toyota telah mengeluarkan kenyataan yang dihebahkan berasingan dan datang dengan nada lebih keras.
“Kesalahan Daihatsu itu berkaitan keselematan, yang menjadi aspek paling utama sesebuah kenderaan. Kami menganggap hal ini sebagai langsung tidak boleh diterima dan mengkhianati kepercayaan pelanggan. Oleh kerana masalah ini berlaku melihatkan kereta penumpang jenama Toyota, kami percaya masalahnya tidak hanya terhad kepada Daihatsu sahaja,” jelas Pengerusi Lembaga Toyota, Akio Toyoda.
“Kami akan mulakan dengan menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul fakta berkaitan untuk memahami situasi ini, menentukan penyebab sebenarnya dan bekerja sehabis daya untuk mengelakkannya daripada berulang. Kami juga memaklumkan kepada umum dalam waktu yang sama berkenaan fakta yang telah dikenal pasti melalui siatatan itu,” tambah beliau.
Apa yang berlaku adalah dalam ujian berkenaan Daihatsu telah mengubah suai struktur bahagian dalam panel pintu hadapan. Menurut laporan Reuters, ubahsuai tersebut dibuat bagi meminimumkan risiko panel plastik dalaman pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan – namun ia hanya untuk unit-unit yang diuji, dan tidak ada pada model produksi sebenar yang dijual.
Sebelum ini Perodua dan UMW Toyota masing-masing telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan pendirian yang sama iaitu Axia dan Vios memenuhi pensijilan UN-R95, membolehkan kedua-dua model tersebut dijamin selamat digunakan di atas jalan raya.
Oleh itu tiada sebarang panggilan semula akan dibuat oleh Perodua dan UMWT terhadap Axia dan Vios, dan penghantaran kepada pelanggan akan dibuat seperti biasa.
|
Jualan Toyota Vios 2023 akan diteruskan susulan kes salah laku ujian Daihatsu, tiada recall — UMWT
|
Susulan daripada kes salah laku dalam ujian keselamatan Daihatsu, UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan yang jualan bagi model Toyota Vios serba baru akan diteruskan memandangkan tiada sebarang masalah dengan standard keselamatan atau kualiti kenderaan terbabit.
Presidennya, Datuk Ravindran K. berkata; “Bagi pelanggan yang telah membuat tempahan Toyota Vios serba baru atau berminat untuk membelinya, kami ingin meyakinkan anda bahawa Toyota Vios serba baru memenuhi semua peraturan keselamatan yang ditetapkan dan tiada perkara yang mempertaruhkan kualiti kenderaan terbabit.”
Ini juga berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Daihatsu Co Ltd. pada 28 April 2023 yang mendedahkan berlakunya kepincangan prosedur terhadap ujian empat modelnya, yang termasuk sekali Toyota Vios serba baru. Ujian susulan telah mengesahkan yang kenderaan itu memenuhi pensijilan UN-R95 dan tiada keperluan untuk Toyota Vios dipanggil semula dan jualan kenderaan itu diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf di atas keresahan yang mungkin telah ditimbulkan kepada pelanggan berikutan hal ini, dan ingin menekankan bahawa keselamatan dan kualiti kenderaan kami sentiasa terjamin. Komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan selalu menjadi keutamaan dan akan sentiasa kekal begitu,” tambah beliau.
Terdahulu, Perodua juga mengeluarkan kenyataan rasmi dengan pendirian yang sama.
|
Salah laku ujian keselamatan Daihatsu: tiada recall untuk Axia, penghantaran diteruskan – CEO Perodua
|
Susulan pengakuan Daihatsu yang melakukan manipulasi keputusan ujian pelanggaran yang turut melibatkan Perodua Axia baru-baru ini, hari ini presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi.
Menurut beliau, Perodua bersama dengan Daihatsu ketika menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia serba baharu di Jepun, dan ia turut disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk penilaian masing-masing.
“Memandangkan kami menerima berita tentang penyelewengan prosedur oleh Daihatsu ini, kami segera menghubungi badan-badan ini untuk menentukan sama ada standard keselamatan Perodua Axia telah terjejas. Kami diberi jaminan bahawa walaupun pendedahan oleh Daihatsu, pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia adalah utuh,” kata Zainal.
“Ini bermakna Perodua Axia selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat dan juga Perodua tidak akan menghentikan penghantaran model baharu ini kepada pelanggan kami yang dihargai,” tambahnya.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan kami berkenaan perkara ini dan kami ingin memastikan maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kami disahkan oleh badan profesional. Kami akan terus memantau keadaan ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkara ini apabila ada perkembangan.
“Kami mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan kami lebih dari segala-galanya dan kami akan terus melakukannya sebagai sebahagian daripada amalan kami untuk ‘Melangkaui’ apa yang dijangka”, tulis kenyataan itu lagi.
Semalam Daihatsu telah mengesahkan bahawa ia telah melakukan “salah laku” dalam ujian pelanggaran yang dilakukan bagi permohonan kelulusan peraturan untuk empat model iaitu Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dengan lencana Yaris Ativ di Thailand dan pasaran lain), Toyota Agya dan sebuah lagi model yang akan dilancarkan.
Daihatsu mengaku di atas perbuatan tersebut dalam sebuah kenyataan, dan menambah lebih 88,000 unit dari model yang terkesan itu telah dijual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Mexico setakat ini. Penghantaran stok baru juga telah digantung.
“Kami memohon maaf yang tak terhingga kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan kami serta pihak berkepentingan lain dan kerana telah menyebabkan situasi ini,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Daihatsu sebelum ini.
Syarikat induk Daihatsu iaitu Toyota telah mengeluarkan kenyataan yang dihebahkan berasingan dan datang dengan nada lebih keras.
“Kesalahan Daihatsu itu berkaitan keselematan, yang menjadi aspek paling utama sesebuah kenderaan. Kami menganggap hal ini sebagai langsung tidak boleh diterima dan mengkhianati kepercayaan pelanggan. Oleh kerana masalah ini berlaku melihatkan kereta penumpang jenama Toyota, kami percaya masalahnya tidak hanya terhad kepada Daihatsu sahaja,” jelas Pengerusi Lembaga Toyota, Akio Toyoda.
“Kami akan mulakan dengan menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul fakta berkaitan untuk memahami situasi ini, menentukan penyebab sebenarnya dan bekerja sehabis daya untuk mengelakkannya daripada berulang. Kami juga memaklumkan kepada umum dalam waktu yang sama berkenaan fakta yang telah dikenal pasti melalui siatatan itu,” tambah beliau.
Apa yang berlaku adalah dalam ujian berkenaan Daihatsu telah mengubah suai struktur bahagian dalam panel pintu hadapan. Menurut laporan Reuters, ubahsuai tersebut dibuat bagi meminimumkan risiko panel plastik dalaman pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan – namun ia hanya untuk unit-unit yang diuji, dan tidak ada pada model produksi sebenar yang dijual.
|
Daihatsu mengaku lakukan kesalahan dalam ujian keselamatan bagi Perodua Axia 2023, Toyota Vios
|
Daihatsu telah mengesahkan bahawa syarikat itu telah melakukan “kesalahan” dalam ujian kemalangan yang dilakukan bagi permohonan kelulusan peraturan untuk empat model. Ini termasuk Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dengan lencana Yaris Ativ di Thailand dan pasaran lain), Toyota Agya dan sebuah lagi model yang akan dilancarkan.
Anak syarikat Toyota itu mengaku di atas perbuatan tersebut dalam sebuah kenyataan, dan menambah lebih 88,000 unit dari model yang terkesan itu telah dijual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Mexico setakat ini. Penghantaran stok baru juga telah digantung.
“Kami memohon maaf yang tak terhingga kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan kami serta pihak berkepentingan lain dan kerana telah menyebabkan situasi ini,” jelas kenyataan Daihatsu itu. Kenyataan Toyota yang dihebahkan berasingan pula datang dengan nada lebih keras.
“Kesalahan Daihatsu itu berkaitan keselematan, yang menjadi aspek paling utama sesebuah kenderaan. Kami menganggap hal ini sebagai langsung tidak boleh diterima dan mengkhianati kepercayaan pelanggan. Oleh kerana masalah ini berlaku melihatkan kereta penumpang jenama Toyota, kami percaya masalahnya tidak hanya terhad kepada Daihatsu sahaja,” jelas Pengerusi Lembaga Toyota, Akio Toyoda.
“Kami akan mulakan dengan menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul fakta berkaitan untuk memahami situasi ini, menentukan penyebab sebenarnya dan bekerja sehabis daya untuk mengelakkannya daripada berulang. Kami juga memaklumkan kepada umum dalam waktu yang sama berkenaan fakta yang telah dikenal pasti melalui siatatan itu,” tambah beliau.
Daihatsu menyebut bahawa “lapisan dalam pintu tempat duduk depan telah diubah suai secara tidak betul, dan berlakunya salah laku terhadap prosedur ujian perlanggaran sisi dan kaedah yang ditetapkan oleh peraturan.”
Menurut Reuters, kemasan pintu pada kenderaan yang terkesan telah diubah suai dengan sebuah “takik” (notch) untuk meminimumkan risiko yang panel pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan. Ubah suai berkenaan bagaimanapun tiada pada kenderaan yang dikeluarkan.
Dengan penghantaran baru yang sudah digantung, Daihatsu, bersama dengan Toyota, akan “menguji semula (ujian perlanggaran sisi) dengan kehadiran pihak berkuasa pemeriksa dan pensijilan, dan sekiranya disahkan prestasi impak isi berkenaan mematuhi peraturan, kami akan menyambung semula penghantaran.”
Bagaimanapun, Daihatsu telah memastikan yang “ketika ini, pelanggan yang menggunakan model-model tersebut tidak perlu mengambil sebarang tindakan untuk penggunaan berterusan.”
|
Hyundai Malaysia tayang 3 model baharu untuk 2023 – Tucson serba baharu, Santa Fe facelift, Ioniq 6 EV
|
Selepas melancarkan SUV segmen-B Creta pagi tadi, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah menayang imej teaser bagi model yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Dengan tajuk “2023, we’re coming”, ia memaparkan dua model yang telah pun berada di pasaran Malaysia iaitu Creta dan Palisade facelift bersama tiga lagi model yang ‘masih berada dalam samar bayangan’.
Apakah tiga model yang bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia tahun ini? Tekaan kami ialah SUV Tucson generasi-keempat serba baharu, Santa Fe facelift dan Ioniq 6 EV.
Tucson merupakan SUV segmen-C yang menjadi pesaing model Honda CR-V dan Mazda CX-5. Ia ditawarkan dalam dua versi jarak roda pendek dan juga jarak roda panjang mengikut pasaran. Dan menerusi imej yang pernah kami terima sebelum ini, nampaknya Malaysia bakal menerima Tucson dalam versi jarak roda panjang seperti model pasaran Amerika Syarikat.
Manakala Santa Fe facelift pula, model generasi keempat ini menggunakan platform “Integrated Architecture” berbanding model sebelumnya, menjadikannya model SUV Hyundai pertama di peringkat global yang menggunakan platform berkenaan.
Bagi Ioniq 6 EV pula, ia tampil dengan rekaan yang lebih halus dan beralun, berbeza dengan rekaan kotak pada Ioniq 5. Rekaan alun ini membolehkan sedan berkenaan mempunyai bacaan aerodinamik drag coefficient pada tahap 0.21, dengan kadar penggunaan tenaga 13.9 kWh/100 km — antara yangt terendah dalam industri ketika ini menurut Hyundai — dengan jarak perjalanan 614 km mengikut kitaran WLTP.
|
Continental Comfort Contact CC7 dilancar di Malaysia
|
Susulan kepada pengenalan tayar UltraContact UC7 sebelum ini, Continental Tyres kini memperkenalkan pula tayar baru ComfortContact CC7 untuk pasaran Asia Pasifik, termasuk Malaysia. Tayar CC7 ini merupakan yang terbaru bagi barisan tayar generasi ketujuh, dan dibangun menggunakan Comfort+ Technology jenama itu, dengan penerapan konsep “ZEN”.
Pendekatan ini dapat dilihat di bahagian dinding tayar CC7, yang menampilkan corak khusus dengan lebih terperinci. Selain perubahan luaran, CC7 juga ada penambahbaikan berbanding model CC6 yang digantikannya dengan memberikan pengendalian, prestasi brek dalam keadaan basah dan kering serta penjimatan minyak yang lebih baik.
Z dalam nama tersebut merujuk kepada Zero Shock Pattern, bertujuan untuk mengurangkan hentakan melalui rekaan corak unik struktur rusuk. E pula merujuk kepada EverFlex Compound, yang dibangunkan supaya lembut dan anjal untuk memberikan maklumbalas lebih baik di permukaan kasar dan menjadikannya lebih senyap.
Sementara N pula bermaksud Noise Muter yang meliputi Noise Breaker 3.0 — corak alun tayar yang bertindak memecahkan gelombang bunyi menjadi lebih kecil dan merendahkan frekuensi bunyi menggunakan prinsip resonator Helmholtz sebelum bunyi tersebut keluar.
Pembangunan teknologi ZEN ini melibatkan pasukan 30 jurutera dan pakar yang telah menghabiskan sebanyak 7,500 jam untuk mereka, simulasi, membangunkan serta menguji prototaipnya. Pembangunan tayar yang siap selepas tujuh tahun CC6 diperkenalkan pada 2016 ini turut menyaksikan 500 ujian telah dijalankan di atas pelbagai permukaan jalan dan makmal, merangkumi jarak yang bersamaan tujuh kali keliling bumi.
CC7 ditawarkan dalam saiz dari 13 hingga 16 inci, dengan kelebaran tayar antara 165 hingga 215 mm, serta profil antara 50 hingga 70. Tayar ini dikilangkan di kilang Continental Alor Setar, Malaysia dan di Rayong, Thailand. Senarai saiz dan harga CC7 boleh dirujuk di sini.
|
Hyundai Creta kini di M’sia – 1.5L N/A, SmartSense, Apple Car Play, Android Auto tanpa wayar; RM150k
|
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar jenama Hyundai di Malaysia telah pun melancarkan Hyundai Creta yang hadir dengan varian tunggal 1.5 Plus. SUV segmen-B lima-tempat duduk ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM149,888 tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia. Creta untuk pasaran Malaysia merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Indonesia.
Untuk pasaran Malaysia, Creta diberikan enjin 1.5 liter naturally-aspirated petrol MPI empat-silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa hingga 115 PS pada 6,300 rpm dan tork 144 Nm pada 4,500 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi Smartstream IVT CVT. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 12 saat dan kelajuan maksimumnya cecah 170 km/j. Ia juga menampilkan empat pilihan mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Smart) untuk memperbanyakkan lagi karakter Creta.
Creta diasaskan dari platform yang sama dengan SUV segmen-B Kia Seltos, dengan dimensi 4,315 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,630 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Walaupun ia masih dikelaskan dalam model segmen-B, Creta berada satu anak tangga di bawah Kona kerana dihasilkan untuk pasaran seperti ASEAN dan India berbanding Kona yang disasarkan untuk pasaran Eropah.
Namun dari segi saiz, Creta masih dilihat sedikit lebih besar kerana Kona hanya menampilkan ukuran 4,215 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm. Untuk pasaran Malaysia, Creta mampu memberikan persaingan dengan Perodua Ativa dan satu lagi SUV segmen-B yang bakal dibawa masuk oleh Honda iaitu WR-V.
Walau bagaimana pun, Creta lebih besar dari Ativa kerana SUV Perodua itu hanya tampil dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda 2,525 mm. Honda WR-V juga dilihat lebih kecil dengan dimensi panjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Bagi ruang butnya, Creta memiliki kapasiti cecah 416 liter sekiranya tempat duduk dalam keadaan menegak dan 1,384 liter sekiranya tempat duduk dibaringkan.
Imej luaran Creta ditampilkan dengan rekaan yang berani dan bergaya, terutamanya pada bahagian hadapannya yang nampak unik dengan wajah Parametric Jewel, di mana lampu nyalaan siang LED ‘tersembunyi’ di dalam grilnya. Pada waktu malam, lampu nyalaan siang digabungkan dengan lampu hadapan projektor LED yang dipasang pada bampar untuk memberikan kesan visual yang lebih menyerlah. Ia juga diberikan roda aloi 17-inci yang dibaluti tayar 215/60 R17 dengan tayar simpanan juga sama saiz tetapi dengan roda keluli.
Untuk pengendaliannya, Creta digandingkan dengan suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Coupled Torsion Beam Axle (CTBA) di belakang. Manakala cakera brek bersaiz 15-inci di hadapan dan 14-inci dibelakang turut diberikan.
Untuk bahagian kabinnya, Creta menerima bentangan papan pemuka berentuk-T, balutan upholstery fabrik dengan kemasan kulit untuk roda stereng dan tombol gear, tempat duduk balutan fabrik, kluster TFT LCD, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, brek parkir elektronik dengan Auto Hold dan paparan instrumen 10.25-inci untuk bahagian pemandu.
Selain itu, ia turut diberikan empat pembesar suara dengan dua unit tweeter, kawalan audio pada roda stereng, ketersambungan Bluetooth, kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear, kamera pandangan belakang dengan Dynamic Parking Guide, dua unit port punca kuasa, tiga unit USB port, sistem navigasi dan pendingin hawa zon tunggal automatik dengan corong untuk tempat duduk belakang.
Bagi aspek keselamatan, Creta didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara dan set kelengkapan Hyundai SmartSense bagi keselamatan aktif yang merangkumi Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Amaran Ketibaan Kenderaan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Amaran Keluar Selamat dan Bantuan Lampu Tinggi. Dengan adanya ciri keselamatan ini membolehkan Creta menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.
Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Creta menawarkan lima pilihan warna luaran iaitu Galaxy Blue Pearl, Midnight Black Pearl, Titan Gray Metallic, Creamy White Pearl dan Dragon Red Pearl, dengan kesemuanya diberikan tema dalaman dengan rona hitam.
Dengan harga yang ditawarkan iaitu RM149,888 tanpa insurans, setiap pembeliannya juga diberikan waranti lanjutan percuma lima-tahun/300,000 km dan tiga-tahun/50,000 km servis percuma untuk 150 pembeli pertama.
|
Polis sahkan penunggang motosikal melakukan aksi wheelie bersama pembonceng wanita sudah diberkas
|
Polis Kota Bharu telah mengesahkan penunggang motosikal berbaju Melayu yang melakukan aksi wheelie bersama pembonceng wanita baru-baru ini sudah diberkas setelah kedua-duanya hadir menyerah diri selepas dua hari dijejaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bahru, ACP Mohd Rosdi Daud, kedua-dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri berusia 17 tahun dan 16 tahun akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk permohonan tahanan reman.
“Siasatan lanjut akan diteruskan bersama dakwaan di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, pihak polis menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini. “Kegiatan yang tidak bermoral seperti ini wajar dihentikan serta-merta kerana ia boleh membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain serta mengganggu ketenteraman awam,” sambungnya lagi.
Baru-baru ini satu rakaman video berdurasi 28 saat tular di laman Facebook Inforoadblock pada 25 April 2023 yang memaparkan aksi seorang penunggang motosikal berbaju Melayu biru yang membonceng seorang wanita sambil melakukan aksi berbahaya (whelie). Kejadian berkenaan berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kg Peringat, Kota Bharu, Kelantan.
|
JPJ eBid: Siri KFQ kini dibuka untuk dibida
|
Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri plat nombor dari Kedah, KFQ, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 28 April 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 2 Mei ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 3 Mei 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.
Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.
|
Jualan Proton naik 40.9% pada Mei 2023 – X50, Exora kekal sebagai model terlaris segmen masing-masing
|
Proton telah mengumumkan bahawa jualannya untuk bulan Mei meningkat semula selepas permulaan yang perlahan pada suku kedua tahun 2023. Menerusi gabungan bagi pasaran domestik dan eksport, pengeluar kereta nasional ini telah menjual sebanyak 13, 268 unit pada bulan lalu, sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 40.9% berbanding bulan April, serta 35.5% lebih tinggi daripada yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi lima bulan pertama tahun ini, Proton telah mencatatkan jualan mencecah 62,970 unit, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 38.9%, sekaligus mencatatkan penumbuhan tertinggi bagi mana-mana jenama dalam pasaran automotif Malaysia.
Sementara itu, Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan meningkat semula sebanyak 32.2% pada bulan Mei, dengan jualan 61,600 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 21.5% untuk bulan tersebut dan 20.9% untuk tahun ini.
Proton turut berkata, pada bulan lalu juga, pihaknya telah memasuki pasaran eksport baharu iaitu pasaran pertamanya untuk tahun 2023 dan ke-12 secara keseluruhan, dengan memasarkan SUV X70 dan X50 di Mozambique.
Selain memasuki pasaran baharu, bulan Mei juga merupakan bulan terbaik untuk jualan eksport setakat ini untuk tahun 2023 dengan 217 unit dihantar kepada pengedar antarabangsa, yang didahului oleh model Saga. Sorotan pasaran eksport lain untuk bulan itu termasuk jualan 50 unit di Brunei, yang merupakan bulan jualan terbaik di pasarannya, melebihi 43 unit yang dijual pada bulan April 2021
Bagi jualan keseluruhan, Saga turut mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada bulan Mei. Pencapaian itu meletakkannya di tempat kedua secara keseluruhan untuk sedan segmen A dengan 27,214 unit terjual setakat ini, peningkatan yang luar biasa sebanyak 51% berbanding tahun sebelumnya.
Tambah Proton, terdapat tiga modelnya yang masih menerajui jualan keseluruhan segmen iaitu
X50 yang terus mendahului segmen-B dan keseluruhan SUV dengan 2,801 unit terjual pada bulan Mei. Selain itu, Persona pula kekal di tangga teratas sedan segmen-B, walaupun is menduduki tempat kedua untuk jualan dengan 2,290 unit. Manakala MPV Exora pula mencapai 440 jualan untuk kekal di tangga teratas pasaran MPV segmen-C.
Pertumbuhan jualan YTD bagi tiga peneraju segmen ialah 31% untuk X50, Persona mencapai 78% dan 39% bagi Exora, membuktikan permintaan untuk model Proton kekal kukuh walaupun ada saingan daripada pesaing baharu. Selain itu, Iriz pula mencatatkan jualan sebanyak 732 unit pada bulan lalu, sekaligus membantu Proton mencapai peningkatan sebanyak 47% dalam jualan YTD.
Bagi X70 pula, ia telah mencatatkan jualan sebanyak 929 unit pada Mei lalu, manakala X90 yang serba baharu menamatkan tiga minggu pertamanya dengan 257 unit terjual, yang meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran SUV segmen-D.
“Bulan Mei tidak dapat dilupakan oleh Proton bukan sahaja dari segi pencapaian jualan tetapi juga kerana kami melancarkan Proton X90 dan meraikan ulang tahun ke-40 pada bulan yang sama. Kami berasa rendah diri dengan angka yang dipaparkan dan peningkatan 40% dalam jualan adalah ganjaran yang adil untuk usaha kami, tetapi masih ada tujuh bulan lagi bagi tahun 2023 dan syarikat sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi.
“Syarikat juga akan mengadakan lebih banyak pelancaran produk baharu dan memperkenalkan kemas kini kepada model kami yang sedia ada serta membuat penampilan pertama kami dalam pasaran EV melalui anak syarikat kami Pro-Net, jadi terdapat banyak aktiviti untuk sepanjang tahun 2023,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
|
Volvo EX30 diperkenalkan di Eropah – SUV elektrik dengan kuasa sehingga 422 hp, jarak gerak 480 km
|
Awal hari ini Volvo secara rasminya telah mendedahkan Volvo EX30 di Milan, di mana ia adalah model elektrik penuh kedua jenama itu (selepas EX90), yang tidak didatangkan bersama padanan enjin pembakaran dalaman (seperti XC40).
Ukuran sebenar kenderaan terkecil Volvo itu tidak didedahkan, tetapi jika mengikut laporan sebelum ini, EX30 mencatat panjang 4,233 mm, lebar 1,837 mm dan tinggi 1,55) mm. Jarak roda pula adalah 2,650 mm.
Rekaan EX30 ini memang mengikut konsep Volvo sekarang, dengan terdapat lampu hadapan Thor’s Hammer, lengkuk roda yang jelas serta lampu belakang terbahagi dua. Lima warna luaran ditawarkan, termasuk Cloud Blue dan Moss Yellow.
Bagi memastikan pembeli dapat menyesuaikan diri mereka dengan EX30 baru ini, Volvo telah menyediakan tiga variasi penggerak, bermula dengan tetapan satu motor dan bateri lithium iron phosphate (LFP), yang mampu menghasilkan 268 hp (272 PS). Ini adalah untuk mereka yang tidak memerlukan jarak gerak jauh.
Bagi yang mahukan lebih jarak gerak, mereka boleh mendapatkan versi Single Motor Extended Range, yang datang dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC), dan dipadankan dengan motor 268 hp yang sama. Melalui tetapan ini, pengguna boleh mencatat jarak perjalanan sehingga 480 km dengan sekali cas.
Pilihan ketiga adalah Twin Motor Performance, yang menggunakan bateri NMC sama, tetapi dipadankan bersama dua motor elektrik. Tetapan ini dapat menghasilkan 422 hp (315 kW, or 428 PS) dan ia dapat diagihkan kepada semua tayar (AWD), seterusnya membawa kenderaan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat.
Berkenaan pengecasan, selain pengecas 11 kW AC yang diberikan secara standard, EX30 versi asas boleh menerima pengecasan pantas sehingga 134 kW, manakala versi Twin Motor boleh menerima input DC sehingga 153 kW (10-80% dalam masa lebih sedikit daripada 25 minit. Tahap pengecasan, ampere serta bila untuk mula cas boleh ditetapkan melalui skrin di papan pemuka dan juga aplikasi khas.
Masuk ke dalam, EX30 menggunakan rekaan papan pemuka ringkas yang mempunyai corong pendingin hawa menegak, sementara di bahagian tengah tersergam skrin sesentuh 12.3 inci yang memberikan kawalan kepada semua fungsi kenderaan sambil memaparkan informasi penting lain.
Sistem infotainmen kenderaan ini menggunakan Snapdragon Cockpit Platform (dengan sokongan 5G) dan perisian yang berasaskan Android Automotive Operating System (AAOS). Ini bermakna, ia juga datang dengan servis Google seperti Google Assistant dan Google Maps. Pengguna produk Apple masih tidak dilupakan kerana EX30 adalah model Volvo pertama yang diperlengkap dengan Apple CarPlay tanpa wayar.
Ciri simpanan serba boleh diketengahkan pada model ini, dan ia boleh dilihat melalui konsol tengah yang mempunyai sistem lungsur, jadi pemilik boleh memilih bagaimana mereka mahu menggunakan ruang tersebut. Penumpang belakang pula boleh meletakkan telefon mereka di poket khas yang terdapat pada bahagian belakang tempat duduk hadapan, sementara pada konsol tengah terdapat satu lagi bahagian yang boleh dilungsur ke belakang.
Selain lampu suasana pelbagai warna, EX30 juga datang dengan fungsi kunci digital yang boleh disambungkan kepada pelbagai jenis telefon. Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, model ini didatangkan dengan Park Pilot Assist yang boleh digunakan untuk pelbagai keadaan apabila meletakkan kenderaan.
Berkenaan harga, Volvo memberitahu, EX30 akan dijual di Eropah pada harga bermula 36,000 euro (RM177,350) dan juga boleh digunakan melalui pakej langganan yang bermula pada harga 599 euro (RM2,950) sebulan. Satu lagi yang menarik, pada tahun hadapan, EX30 akan ditawarkan dalam versi Cross Country dengan kemasan berkonsepkan lasak.
|
Mitsubishi Motors Malaysia sertai Tokyo Auto Salon KL 2023, pamer Xpander dan Triton yang diubahsuai
|
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia akan turut serta dalam acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula esok hingga 11 Jun nanti. Dalam acara berkenaan, reruai MMM akan mempamerkan dua buah kenderaan ubahsuai iaitu sebuah trak pikap Triton dan juga sebuah MPV Xpander.
MMM tidak menyatakan spesifikasi ubahsuai bagi kedua-dua kenderaan tersebut, namun untuk anda yang berminat untuk melihatnya bolehlah datang ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia yang terletak di Dewan 3, Lot C301 yang berada di Tingkat 1 MITEC.
Antara aktiviti yang boleh anda sertai di reruai MMM ini termasuk sesi pandu uji Triton dan Xpander, di mana pengunjung yang mengambil bahagian akan menerima cenderamata Mitsubishi, serta berpeluang untuk meyertai cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berupa pin isi semula Touch N Go bernilai RM300 setiap satu, untuk lima individu bertuah.
Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi yang akan mula dibuka pada pukul 10 pagi esok, dan berakhir pada pukul 10 malam setiap hari sepanjang penganjurannya. Tiket sudah boleh dibeli secara atas talian menerusi laman web rasmi TASKL, atau anda boleh terus membelinya di kaunter yang disediakan di MITEC esok.
|
Stesen Petronas di R&R Dengkil arah utara, Seremban arah selatan ditutup sementara untuk diselenggara
|
Bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Berhad telah mengumumkan penutupan sementara stesen Petronas di R&R Dengkil (arah utara) dan R&R Seremban (arah selatan) bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran.
Menurut PLUS, stesen Petronas di R&R Dengkil (arah utara) ditutup mulai hari ini (8 Jun) sehingga 16 April 2023. Manakala stesen Petronas di R&R Seremban (arah selatan) juga ditutup hari ini sehingga jam 3 pagi esok (9 Jun).
Penutupan sementara ini hanya melibatkan stesen Petronas sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan R&R berkenaan. Di mana medan selera, tandas, surau dan kemudahan lain di R&R berkenaan masih beroperasi seperti sedia kala.
|
Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia
|
Model kembar kepada Perodua Aruz dan Toyota Rush, iaitu Daihatsu Terios kini diberikan facelift untuk pasaran Indonesia. MPV tujuh tempat duduk ini pertama kali diperkenalkan di negara itu pada tahun 2017 dan pembaharuan ini sememangnya ditunggu-tunggu.
Memandangkan acara pelancarannya baru sahaja berlaku, gambar yang kami sertakan ini adalah tangkap layar daripada siaran langsung yang dibuat, dan melaluinya anda boleh melihat ia sekarang menggunakan gril atas lebih nipis serta lampu dengan bahagian dalam smoked. Pembahagian antara lapisan gril di tengah juga dijadikan lebih jelas manakala bahagian bawah menggunakan warna perak.
Bersama bampar baru ini, perumah untuk lampu kabus juga telah dibentukkan semula dan diletakkan betul-betul di bucu, dengan jalur LED menegak di tepi lampu kabus berbentuk bulat. Bagi varian R, ia mendapat jalur warna merah pada bahagian gril atas, serta kemasan plastik hitam dan krom di bahagian tepi kenderaan.
Rekaan rim juga adalah baru – bersaiz 17 inci dengan warna dua tona pada varian R Custom, dan 17 inci gunmetal bagi pakej ADS – boleh ditambah kepada varian asas X dan R (pertengahan). Pakej ADS ini boleh dianggap sebagai pakej kemasan krom dan rim seperti GearUp oleh Perodua. Ia boleh dikenali secara mudah dengan melihat gril atas berwarna krom serta rim kelabu.
Pada bahagian dalam, Terios sekarang datang dengan tema serba gelap – tempat duduk kombinasi kulit, panel pintu serta lapik bumbung hitam. Tempat duduknya mempunyai jalur merah di bahagian tengah dan beberapa bahagian lain turut menggunakan jahitan merah bagi menampakkan ciri sporty. Varian R Custom turut mendapat pelapik lembut di bahagian papan pemuka bertentangan penumpang hadapan, serta perehat tangan di pintu. Varian ini juga datang dengan pengecas tanpa wayar serta fungsi mirroring kepada telefon.
Untuk ciri keselamatan, Terios facelift pasaran Indonesia kini datang dengan enam beg udara dan VSC masih dikekalkan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021. Secara keseluruhannya ada pilihan enam warna untuk Terios facelift ini, termasuk dua warna baru iaitu Silver Metallic dan Greenish Gun Metal.
Tiada perubahan mekanikal dibuat, dan model ini masih dipacu oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa 104 PS dan 136 Nm. Kesemua varian boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Harga bermula Rp 236,050,000 (RM73,146) untuk X MT dan pergi sehingga Rp 303,250,000 (RM93,970) untuk R Custom AT. Pakej ADS boleh ditambah kepada varian X dan R pada harga Rp 10 juta (RM3,100).
Jadi apa pendapat anda dengan Terios facelift ini? Adakah patut Perodua Aruz juga diberikan pembaharuan sama? Sejak dilancarkan pada Januari 2019, Aruz masih kekal sama dan hanya diberi sedikit peningkatan kelengkapan pada tahun 2021. Versi facelift mungkin akan keluar tidak lama lagi, tapi ia mungkin tidak akan kelihatan seperti Terios ini kerana Perodua mempunyai konsep rekaannya sendiri.
|
BMW R18 100 Years Edition tiba di Malaysia – harga RM159,900, kemasan istimewa, hanya 10 unit
|
Hujung tahun lalu, BMW Motorrad telah memperkenalkan R nineT 100 Years, yang dibuat untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-100. Kini, model tersebut sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan RM159,900 tidak termasuk insurans.
Model ini dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 1,923 unit untuk seluruh dunia, dan hanya 10 akan tiba di Malaysia. Nombor 1923 itu digunakan oleh BMW sebagai memperingati tahun BMW Motorrad mula mengeluarkan motosikal untuk pasaran.
Keistimewaan model ini terletak pada kemasan, bermula dengan penampilan yang menggunakan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih dan lencana “100 Years.” Konsep warna ini digunakan pada seluruh motosikal termasuk fender hadapan dan belakang, serta panel tepi.
Kemudiannya ia ditambah dengan tempat duduk Option 719, yang berwarna hitam/oxblood dan mempunyai jahitan timbul bercorak berlian. Bahagian utama enjin diwarnakan hitam Axus Black, sebagai peringatan kepada litar lumba legenda di Berlin, tempat BMW Motorrad pernah mencatat kegemilangan pada zaman dahulu.
Kemasan krom turut digunakan untuk menyerlahkan motosikal ini, termasuk pada bahagian pemegang, penukar gear, pedal brek, hujung pemegang, cermin sisi, takung minyak brek dan klac, angkup brek, penutup head enjin, penutup enjin utama serta intake manifold.
Melengkapkan ciri istimewa R18 100 Years ini adalah ekzos Akrapovic dengan hujungnya terdapat penutup yang berbentuk kipas, seperti logo BMW. Barangan standard yang diberi pada motosikal ini adalah termasuk lampu membelok adaptif, pembantu undur, cruise control serta pemanas tangan.
|
Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 dilancar di M’sia – sedan EV dengan 687 PS/ 1,000 Nm, dari RM650k
|
Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun memperkenalkan sedan elektrik Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 untuk pasaran tempatan. Pengenalan varian sedan elektrik penuh ini adalah selepas model standard EQE iaitu EQE 350+ dilancarkan di negara kita pada Disember lalu. Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM649,888 tanpa insurans.
Varian tunggal EV bagi EQE ini didatangkan dengan sistem pacuan empat-roda dengan motor elektrik yang ditempatkan pada setiap gandar. Ia mampu memberikan keseluruhan sistem outpun mencecah 625 hp atau 460 kW dan tork 950 Nm. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 3.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 220 km/j.
Walau bagaimana pun, jika dirasakan kuasa tersebut belum cukup padu, dan inginkan prestasi yang lebih menguja, pengeluar kereta ini turut menawarkan pakej pilihan AMG Dynamic Plus yang mampu meningkatkan lonjakan kuasa hingga 687 PS (677 hp atau 505 kW) dan tork 1,000 Nm, dengan pecutan dari titik pegun ke 100 km/j kurang dua saat berbanding unit tanpa AMG Dynamic Plus dan kelajuan maksimum mampu dicapai mencecah 240 km/j.
EQE 53 4Matic+ dengan pakej AMG Dynamic Plus hanya boleh mendapatkan jumlah kuasa yang padu itu apabila sistem AMG Dynamic Select ditetapkan ke mod Race Start dengan mengaktifkan fungsi boost. Jika menggunakan Race Start tanpa fungsi boost dan mod Sport+, anda cuma mendapat kuasa sebanyak 460 kW sahaja. Mercedes-AMG juga berkata dengan mod Sport, Comfort dan Slippery, pemandu boleh mendapatkan jumlah keseluruhan kuasa masing-masing 90%, 85% dan 50%, dan ini diaplikasikan untuk kedua-dua varian.
Model EV EQE ini turut menampilkan bateri lithium-ion 328-voltan dengan kapasiti tenaga 90.6 kWh. Mengikut standard WLTP, EQE 53 4Matic+ ini mampu menawarkan jarak pacuan antara 458 km hingga 527 km. Malahan ia juga dikatakan mampu memberikan penjimatan pacuan elektrik antara 22.7–20.2 kWh bagi setiap 100 km.
Bateri boleh dicas menerusi pengecas onboard AC (sambungan Type 2) sama ada yang berkapasiti 11 kW atau 22 kW (dengan tambahan kos) yang mengambil masa pengecasan penuh selama 9 jam 15 minit. Selain itu, ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (sambungan CCS) sehingga 170 kW, dengan tahap 180 km boleh dicas dalam tempoh 32 minit.
Jentera AMG EQE ini juga mempunyai kuasa pemulihan tenaga hingga 260 kW, yang boleh dilaras oleh pemandu dengan dua fasa sama ada menerusi suis pada roda stereng, one-pedal driving dan kombinasi brek hingga ke pegun bagi sesetengah mod pemanduan.
Sistem pemanduan lain yang turut diberikan termasuklah suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam boleh laras adaptif, yang bukan sahaja menyalurkan dinamik pemanduan, bahkan boleh melaras ketinggian pengendalian untuk memaksimumkan kecekapan bergantung pada program pemanduan terpilih.
Ia juga dilengkapi dengan sistem AMG Sound Experience yang mampu menghasilkan bunyi yang mempersona berdasarkan pemilihan profil spesifik – Authentic, Balanced, Sport dan Powerful. Jika inginkan bunyi yang lebih padu, profil Performance hanya didatangkan dengan pakej AMG Dynamic Plus.
Untuk imej luarannya pula, ia juga menerima sentuhan gaya yang sangat menyerlah dan mempersona yang ditampilkan dengan gril panel hitam spesifik-AMG dengan palang menegak dalam rona krom, disepadukan dengan bintang Mercedes-Benz dan perkataan AMG. Ia juga dipadankan dengan roda aloi pelbagai-jejari AMG 21-inci dalam kemasan matt black dan brek kaliper merah.
Selain itu, ia diberikan lampu utama Digital Light secara standard dan menampilkan unit projektor AMG apabila pemandu membuka dan menutup kunci kenderaan. Rekaan A-wing pada bahagian hadapan mirip dengan model biasa EQE dan ia dihiasi kemasan hitam berkilat dan krom serta splitter. Panel ambang sisi AMG dalam rona hitam berkilat juga diberikan, sementara bahagian belakangnya dilengkapi diffuser yang dioptimumkan secara aerodinamik serta spoiler belakang yang menyerlah.
Di dalamnya, ia diberikan tempat duduk AMG dengan kombinasi kulit Artico dan upholstery gentian mikro Microcut, bersama jahitan merah, manakala kulit Nappa sebagai pilihan. Lencana AMG juga ditampilkan pada roda stereng, pedal dan alas lantai AMG Performance.
|
Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k
|
Selepas didedahkan pada September 2021 menerusi Munish Motor Show, akhirnya Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ 2023 tiba di pasaran negara kita. Malahan ia menjadi model kenderaan elektrik penuh pertama di bawah payung Mercedes-AMG. Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ 2023 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM798,888 tanpa insurans.
Seperti model biasa EQS yang diperkenalkan pada April 2021, model EV bagi AMG EQS ini juga didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ sepenuhnya, hasil janaan dua motor elektrik diletakkan pada setiap gandar. Dalam bentuk asas, keseluruhan output bagi e-motor ini berjumlah 658 hp atau 484 kW dan tork 950 Nm, di mana ia lebih padu daripada yang dihasilkan oleh EQS 580 4Matic dengan hanya 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 855 Nm.
Walau bagaimana pun, EQS 53 4Matic+ menawarkan kuasa pendikitan yang lebih padu, mengambil masa sekitar 3.8 saat untuk pecutan dari 0-100 km/j berbanding EQS 580 4Matic dengan 4.3 saat. Malahan kelajuan maksimumnya juga sedikit tinggi iaitu 220 km/j berbanding 210 km/j.
Bagi mendapatkan daya tarikan atau traction yang lebih optimum, sistem pacuan semua-roda ini akan berterusan memantau situasi permanduan (tork diperiksa 10,000 kali setiap minit) dan pengedaran tork bagi antara gandar. Dalam mod Comfort, sistem menyasarkan penjimatan yang paling maksima, tetapi dengan Sport dan Sport+, pacuannya lebih besar pada bahagian bekakang untuk “sisi dinamik yang lebih terbaik”.
Jika anda mahukan lebih biasa, jenama ini juga menawarkan pakej AMG Dynamic Plus dengan ledakan kuasa yang lebih padu mencecah 761 hp atau 560 kW) dan 1,020 Nm, dan turut diberikan mod Race Start dengan fungsi boost. Di mana pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 3.4 saat dan kelajuan maksimum mampu cecah 250 km/j.
Menurut Mercedes-AMG, output yang padu datangnya daripada e-motor spesifik untuk model ini dengan menampilkan winding baharu, arus yang lebih kuat dan penggerak baharu dengan perisian khas yang dibangunkan. Selain itu, syarikat ini turut mengimplementasikan konsep terma yang lebih mantap untuk memastikan prestasi lebih konsisten dengan kemuncak yang dipanggil “water lance” untuk menyejukkannya dalam aci pemutar (shaft of rotor).
Terdapat juga penyejuk minyak transmisi tambahan yang bukan sahaja memastikan transmisi sejuk semasa pemanduan hardcore, tetapi juga memanaskan cecair jika diperlukan semasa pemanduan sejuk.
Selain menyalurkan kuasa, sistem pacuan juga menawarkan pemulihan tenaga sehingga 300 kW apabila membrek, dengan pemandu dapat melaraskan tahap pemulihan. Terdapat tiga peringkat yang boleh dipilih melalui suis pada stereng, dan dengan pilihan Drive Pilot, nyahpecutan bertindak secara automatik sebagai tindak balas kepada kenderaan yang dikesan di hadapan sehingga ia terhenti, seperti ketika menghampiri lampu isyarat.
Di mana tenaga yang dipulihkan akan dikembalikan kepada bateri lithium-ion 107.8-kWh dengan kuasa 400-voltan, yang menggunakan kandungan cobalt kurang 10%. Walaupun kandungan tenaga boleh guna adalah sama dengan EQS 580 4Matic, model AMG mendapat pendawaian khusus untuk menyokong keupayaan prestasi tingginya, yang mengikut mod pacuan yang dipilih.
AMG EQS turut diberikan pengecas onboard AC 11 kW, yang boleh dinaiktaraf hingga unit 22 kW. Ia mengambil masa sekitar 11 jam 15 minit untuk pengecasan penuh jika menggunakan unit AC. Selain itu, ia turut menyokong pengecas pantas DC sehingga 200 kW, yang mampu megecas untuk jarak pacuan sehingga 300 km dalam 15 minit. Dengan pengecasan penuh, ia mampu memberikan jarak pacuan antara 513 km hingga 571 km mengikut kadar WLTP, kurang berbanding EQS 580 4Matic yang mampu memberikan 676 km.
Lain-lain ciri yang lebih kurang sama dengan model standard ialah larasan suspensi four-link pada bahagian hadapan dan multi-link untuk belakang, namun AMG EQS menerima sistem AMG Ride Control+ yang menggabungkan suspensi udara dengan adaptif dan peredam kawalan elektronik.
Turut disertakan ialah stereng gandar belakang sehingga sembilan darjah, meningkatkan ketangkasan dan pusingan yang lebih ketara untuk sedan besar ini. Ia beroperasi pada kelajuan di bawah 60 km/j, kemudian roda belakang akan menghala ke arah yang sama dengan roda hadapan untuk jarak roda yang dilanjutkan.
AMG EQS turut dilengkapi sistem brek dengan cakera 415 mm dan kaliper enam-omboh di hadapan, dan di belakang diberikan cakera 378 mm dan kaliper omboh-tunggal. Ia turut ditawarkan dengan pakej seramik, di mana cakera depan dipertingkatkan ke diameter 440 mm.
Untuk aspek rekaannya, EQS 53 4Matic+ agak mirip dengan EQS biasa tetapi diberikan pakej AMG Line, yang membuatkannya lebih terserlah. Di hadapannya, rekaan Panamericana ditampilkan pada gril panel hitam, dengan perkataan AMG, sementara fender hadapan diberikan lencana 4Matic+. Ia turut diberikan sistem pencahayaan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.
Selain itu, ia juga diberikan splitter hadapan, corong udara pada bampar, panel ambang sisi AMG, bumbung suria gelangsang panoramik, diffuser belakang dengan enam sirip, spoiler belakang bersaiz besar, serta roda aloi-ringan cross-spoke AMG 21-inci.
Di dalamnya pula, tempat duduk AMG dengan grafik individu ditampilkan bersama balutan kulit Artico, gentian mikro Microcut dan jahitan kontras merah. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa untuk balutan tempat duduk. Lain-lain ciri yang turut diberikan termasuklah roda stereng prestasi AMG, bersama pedal sport, alas lantai dan kemasan ambang pintu dengan pakej AMG.
Ia juga masih diberikan Mercedes-Benz User Experience Hyperscreen (MBUX Hyperscreen) daengan tiga skrin ditempatkan merentasi papan pemuka, selain mod pemanduan AMG Dynamic Select , paparan OLED untuk penumpang hadapan, sistem multimedia MBUX, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengimbas cap jari dan sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D.
Pemandu juga boleh memilih dua versi bagi AMG Sound Experience – Authentic dan Performance (ditawarkan dengan AMG Dynamic Plus) – untuk menghasilkan bunyi yang diingini mengikut status pemanduan semasa.
Untuk aspek keselamatan, ia lengkap dengan pakej Driving Assistance Plus yang merangkumi Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive manoeuvre support,PRE-SAFE® impulse side, penderia belakang untuk bantuan ketibaan lorong, pakej parkir dengan fungsi Remote Parking, kamera 360°, dan Active Parking Assist.
|
Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox
|
Selepas sekitar lapan bulan Ford Ranger Raptor generasi baharu dengan enjin petrol EcoBoost 3.0 liter V6 Twin Turbo diperkenalkan di Malaysia, kini tiba masa varian lebih mampu milik trak pikap prestasi berkenaan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan – ini dia Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L Turbodiesel!
Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM248,888 dan ia lebih murah berbanding versi petrol V6 yang dijual pada harga RM259,888. Sama seperti versi petrol, Ranger Raptor turbodiesel ini turut dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km, yang mana sampai dulu.
Istimewa untuk 300 pelanggan pertama bagi Ranger Raptor Turbodiesel 2023 ini, pengedar Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion menawarkan pemasangan dashcam GPS tanpa wayar Kenwood DRV-A700W WQHD dual channel secara percuma, bersama diskaun RM500 untuk program Ford Ranger Gateway.
Enjin yang dibekalkan pada Ranger Raptor diesel 2023 ini adalah sama dengan model generasi terdahulu, iaitu unit EcoBlue 2.0 liter empat silinder yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Ia menghasilkan kuasa 210 PS pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,750 hingga 2,000 rpm.
Sebagai perbandingan, versi yang dijana oleh enjin EcoBoost V6 menghasilkan kuasa maksima 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm. Model turbodiesel pasaran Malaysia ini juga sebenarnya hanya sedikit kurang berkuasa dari versi EcoBoost V6 pasaran Eropah yang hanya ditala menghasilkan 288 PS dan tork maksima 491 Nm kerana undang-undang emisi lebih ketat di benua berkenaan.
Versi dengan enjin Bi-turbodiesel ini juga, tidak diberikan sistem ekzos dengan injap aktif yang boleh mengawal bunyi. Jadi ia tidak ada mod Quiet yang memberikan bunyi enjin senyap dan juga bunyi lebih garang dan agresif pada mod Sport dan Baja – hanya bunyi sebuah enjin diesel biasa keluar dari corong ekzos.
Kotak gear yang dibekalkan pada versi turbodiesel ini adalah sama dengan versi Ecoboost turbo dan model generasi terdahulu, iaitu transmisi automatik 10-kelajuan automatik dengan mod manual SelectShift. Ia turut menampilkan sistem pacuan 4X4 dengan gear 4A, 2H, 4H dan 4L, kesemuanya boleh ditukar ketika trak pikap ini sedang bergerak menerusi sistem Electronic Shift-On-the-Fly (ESOF).
Gandar belakang trak pikap ini diberikan differential yang boleh dikunci secara elektronik, tetapi tiada LSD diberikan pada gandar hadapan seperti model petrol Turbo V6. Manakala mod pemanduan untuk permukaan jalan tar dan off-road masih disertakan – tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery untuk jalan raya biasa, manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.
Ranger Raptor turbodiesel ini juga masih berkongsi sistem suspensi yang hampir sama dengan versi EcoBoost V6. Berbanding Ranger biasa, suspensi untuk Ranger Raptor ini adalah direka semula sepenuhnya, menampilkan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.
Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran. Walau bagaimanapun, penyerap hentak untuk versi diesel ini tidak diberikan injap aktif seperti pada model EcoBoost V6..
Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.
Set roda untuk versi turbodiesel ini juga masih sama, menampilkan set rim 17-inci dan dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2 bersaiz 285/70R17.
Pada sebelah luar agak sukar untuk membezakan rupa model diesel ini dengan model petrol V6. Ini kerana kedua-duanya menampilkan kit Raptor yang sama terdiri dari lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C bersama fungsi auto levelling, cermin sisi kawalan berkuasa dengan lampu puddle tulisan “FORD” pada gril hadapan serta fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda.
Cara mudah untuk membezakan anatar model petrol dan diesel adalah pada bahagian tip ekzos – model V6 Ecoboost menampilkan dua tip ekzos yang keluar pada kira dan kanan, manakala model turbodiesel ini pula hanya diberikan tip ekzos tunggal pada sebelah kiri yang menghala ke bawah.
Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm.
Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.
Perincian dalam kabin antara model diesel dengan petrol juga serupa di mana Ranger Raptor menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik.
Tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini direka dengan inspirasi dari jet pejuang F22, dan ia boleh dilaras secara elektrik dengan 10-hala untuk bahagian pemandu, serta manual 10-hala pada bahagian penumpang hadapan. Trak pikap ini diberikan sistem pendingin hawa automatik dua-zon.
Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.
Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 petrol dan diesel pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah.
Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif dengan fungsi Stop & Go ketika trafik sesak, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif serta tujuh-beg udara.
Walaupun ia diiktiraf sebagai trak pikap prestasi, Ranger Raptor masih boleh berfungsi sebagai trak pikap yang digunakan untum membuat kerja. Oleh itu ia masih dibekalkan dengan, enam cangkuk untuk kotak kargo serta port kuasa 12V (maksimum 180 W) bersama plag tiga pin AC 230 V (400 W) di bed belakang.
Pelanggan boleh memilih Ranger Raptor ini dalam lima warna berbeza iaitu Code Orange, Absolute Black, Arctic White dan Conquer Grey. Menerusi model turbodiesel ini juga, Ranger Raptor 2023 kini diperkenalkan dengan warna Lightning Blue.
|
Harga minyak 8-14 Jun – Semuanya tiada perubahan
|
Bagi minggu kedua Jun 2023 bertarikh 8-14 Jun, Kementerian Kewangan menetapkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel. Harganya masih sama seperti mana minggu sebelum ini.
Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter, selepas ia dinaikkan sebanyak 2 sen pada minggu sebelumnya setelah 23 minggu tidak mengalami sebarang perubahan harga.
Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.
|
Honda e:NS2 Prototype, e:NP2 Prototype dan e:N SUV buat penampilan pertama di Auto Shanghai 2023
|
Honda e:N SUV Concept
Honda telah membawa tiga model elektrik baru ke Auto Shanghai 2023, dengan dua daripadanya adalah prototaip, iaitu e:NP2 Prototype dan e:NS2 Prototype, sementara satu lagi merupakan model konsep, dipanggil sebagai e:N SUV.
Tema nama e:N untuk kenderaan elektrik penuh seperti yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 melalui e:NS1 dan e:NP1 masih digunakan pada model baru ini dan kita boleh menjangkakan kesinambungan rekaan melaluinya, dengan masing-masing diubah sedikit supaya dapat dibezakan.
Menurut Honda, e:NP2 dan e:NS2 yang menggunakan rekaan ala fastback ini mendapat cermin belakang yang besar, digabungkan bersama utiliti cemerlang SUV serta bentuk kemas sedan, selain dapat menawarkan “kepuasan memandu unik yang membenarkan pemandu menikmati rasa kesatuan bersama kenderaan.”
Honda e:NP2 Prototype
Kedua-duanya juga akan mendapat ruang dalaman yang “menyampaikan rasa pintar dengan bentuk bulat yang kemas, tidak berselerak dan bersih, digabungkan bersama kelengkapan canggih seperti Honda Connect 4.0.”
Perincian kuasa, dimensi atau spesifikasi model-model ini masih belum didedahkan, tetapi Honda memberitahu, ia dirancang memasuki pasaran China awal tahun 2024. Menurut jangkaan kami, ia juga akan dibuat oleh Dongfeng Honda dan GAC Honda seperti e:NP1 dan NS1.
Honda e:NS2 Prototype
Bagi model konsep e:N SUV pula, kajian rekaan yang dibuat adalah berbeza berbanding model yang pernah ditunjukkan dengan nama sama pada tahun 2021 lalu. Sebagai contoh, muka hadapan N SUV sebelum ini telah diganti dengan rekaan yang lebih organik dan tradisional.
Model ini dijangka tiba di pasaran sebelum penghujung tahun 2024, dan akan menjadi model pertama yang menggunakan platform e:N Architecture W khas untuk model siri e:N RWD dan AWD yang lebih premium. Ia juga akan dipasang dengan sistem keselamatan serta bantuan pemandu terkini Honda dan juga teknologi Honda Connect kawalan AI.
|
Suzuki Malaysia siar teaser GSX-8S – bawah RM38k?
|
Pengedar rasmi motosikal Suzuki di Malaysia nampaknya sejak beberapa hari lalu rancak menyiarkan teaser model baru di laman media sosial. Tidak seperti kebanyakan teaser lain, model tersebut tidak disembunyikan, dan sebaliknya jelas menunjukkan ia adalah GSX-8S.
Model naked ini pertama kali didedahkan kepada dunia sewaktu pameran EICMA yang berlangsung di Itali November tahun lalu. Ia dianggap sebagai satu penyambung generasi kepada model naked tahun 70-an dan 80-an Suzuki, dan akan bersaing dalam pasaran antaranya dengan Kawasaki Z650, Yamaha MT-07 dan Aprilia Tuono 660.
Kuasa penggerak GSX-8S datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik. Kotak gear enam kelajuan bersama sistem pacuan rantai digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada roda belakang, dan rim menggunakan saiz 17 inci.
Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, manakala bentuk badannya pula mengikuti model yang lebih besar iaitu GSX-S1000. Model baru ini menyediakan tiga mod tunggangan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C lebih seperti mod hujan.
Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.
Tarikh sebenar model ini akan dilancar atau didedahkan secara rasmi masih belum diketahui. Sekiranya mahu meletakkan jangkaan harganya, kita boleh mengambil contoh di United Kingdom, GSX-8S ini dijual pada harga 7,999 pound (RM44,174) dan lebih murah berbanding V-Strom 650 XT yang berharga 8,799 pound (RM48,592). Di Malaysia V-Strom 650 XT dijual pada harga RM37,989 dan berkemungkinan GSX-8S ini nanti boleh jadi lebih murah daripada harga itu.
GALERI: Suzuki GSX-8S
|
Kerajaan tanggung RM93 juta untuk pemberian Tol Rahmah, anggaplah sebagai duit raya – Ahmad Maslan
|
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa kerajaan menanggung kira-kira RM93 juta bagi pemberian Tol Rahmah percuma kepada pengguna lebuh raya sempena cuti Hari Raya Aidilfitri selama empat hari, yang sudahpun bermula hari ini.
Menurutnya dalam laporan Bernama, jumlah itu adalah anggaran awal oleh Pejabat Belanjawan Negara untuk dibayar kepada konsesi yang terlibat.
“Anggaplah itu (pemberian Tol Rahmah) sebagai duit raya, ini sebahagian daripada duit rakyat juga yang kita berikan semula kepada rakyat bagi memberikan peluang kepada pengguna lebuh raya balik ke kampung halaman atau menziarahi keluarga sempena Aidilfitri,” katanya.
Pemberian Tol Rahmah percuma ini diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim semalam. Ia melibatkan 33 Lebuhraya di seluruh negara dan manfaat tersebut mula diberikan pada tengah malam tadi sehingga 21 April (Jumaat) dan juga pada 24 April (Isnin).
|
JKR sediakan panduan jalan alternatif bagi zon utara, selatan, tengah dan timur sempena sambutan Aidilfitri
|
Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyediakan panduan jalan alternatif untuk kegunaan orag ramai yang mahu pulang ke kampung halaman atau pun mana-mana destinasi sempena sambutan Aidilfitri ini. Jalan alternatif berkenaan melibatkan zon utara, selatan, tengah dan timur.
Untuk zon selatan, ia melibatkan perjalanan dari Seremban melalui Jelebu ke Karak, dari Jempol/Kuala Pilah ke Karak, Temerloh dan Muadzam, serta dari Tol Ayer Keroh ke bandar Melaka. Selain itu, untuk yang ingin ke daerah di Johor, panduan jalan alternatif turut disediakan bagi perjalanan yang menghubungkan daerah Muar, Segamat, Kluang dan Pontian yang melalui Batu Pahat.
Bagi zon tengah dan timur pula, pengguna yang ingin ke Kota Bahru, bolehlah melalui Kuala Lipis dari persimpangan Tol Bentong di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK). Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan laluan FT34 dari persimpangan Tol Bentong (KLK) atau dari Bentong melalui Raub untuk ke Kota Bahru.
Jika anda datang dari arah Gua Musang, jalan alternatif lain untuk ke Kota Bahru ialah menggunakan laluan Kuala Krai. Manakala bagi yang datang dari persimpangan Tol Ajil (di LPT2), boleh menggunakan laluan Hulu Terengganu untuk ke Kota Bahru. Atau pun dari persimpangan Tol Kuala Terengganu (LPT2) untuk Jalan Pantai (Kota Bahru).
Walau bagaimana pun, diingatkan bahawa laluan FT2747 iaitu dari Gua Musang hala ke Kuala Lumpur sedang ditutup untuk kerja-kerja pembinaan projek Central Spine Road Pakej 3. Untuk anda yang menghala ke Kuala Terengganu, bolehlah menggunakan laluan Kuala Ibok jika anda dari Chukai.
Untuk zon Perak tengah, jika datang dari arah Pantai Remis/Persimpangan Tol Ijok (Lebuhraya Latar), anda boleh menggunakan laluan Kuala Selangor untuk ke Sabak Bernam dan Teluk Intan.
Manakala bagi zon utara pula, jalan alternatif yang disarankan oleh JKR melibatkan dari persimpangan Jalan Teluk Intan/Changkat Jong (Hotel Grand Court) melalui Padang Tembak untuk ke Kg Gajah, Ipoh dan Bidor/Lebuhraya PLUS (melalui susur keluar 128 di Sungkai). Untuk ke Sungai Siput dan Batu Gajah, anda boleh melalui jalan alternatif dari Gopeng/Persimpangan Simpang Pulai.
Pengguna yang datang dari arah persimpangan Tol Kuala Kangsar, anda boleh melalui Kuala Kangsar untuk ke Sungai Siput/Ipoh. Anda boleh menggunakan Jalan Gerik-Kuala Kenderung (A 170) dan Jalan Benderiang-Bersia Lama (A 171) ke Jeli, Kelantan atau Jalan Gerik-Ulu Kenderung (A 169) ke Kupang, Kedah.
Untuk yang ingin ke Alor Setar, Kuala Lumpur dan Yan, anda boleh menggunakan Jalan Pulau Bunting sekiranya anda datang dari arah Persimpangan Tol Gurun. Yang menuju ke Tokai, Alor Setar dan Tanah Merah, boleh melalui Bukit Raya jika dari Kobah.
Anda boleh rujuk gambarajah di bawah untuk mengetahui pelan laluan jalan alternatif yang disediakan oleh JKR ini. Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan anda, semua jalan yang terlibat merupakan ‘jalan dalam’, bukannya lebuhraya. Apa pun, diharapkan perjalanan anda lancar dan selamat sampai ke destinasi yang ditujui. Jangan lupa untuk amalkan pemanduan selamat.
Panduan Jalan Alternatif Zon Selatan
Panduan Jalan Alternatif Zon Tengah & Timur
Panduan Jalan Alternatif Zon Utara
|
Nissan GT-R Top Secret TS R35GTR Gold sah akan ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023; 815 PS!
|
Top Secret adalah antara penala dari Jepun yang sah akan menyertai Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023 yang akan berlangsung di Malaysia pada Jun nanti. Dan jentera yang sah akan dipamerkan di reruai Top Secret nanti adalah ini – Nissan GT-R TS R35GTR Gold, iaitu kereta yang sama dipamerkan oleh Top Secret di Tokyo Auto Salon 2023 Januari lalu!
Ini adalah antara unit-unit R35 terbaharu yang dibina oleh pengasas Top Secret, Smokey Nagata. TS R35GTR Gold ini masih dijana oleh enjin VR38DETT 3.8 liter V6, tetapi telah dirombak semula secara keseluruhan membolehkan kuasanya diekstrak sehingga 815 PS, berbanding hanya 570 PS untuk versi standard.
Sistem ekzos juga dipertingkat dengan pemadanan sports catalyzer dari Trust, diadun dengan muffler titanium binaan Top Secret sendiri. Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan GR6 dari Borg Warner, namun ia telah ditingkat taraf dengan penggunaan set klac juga dari Top Secret.
Bagi memastikan kereta ini kekal stabil pada kelajuan lebih dari 300 km/j, ia dipadankan dengan kit aero rekaan Top Secret, terdiri dari set fender lebih lebar, bampar hadapan dan juga komponen-komponen dari material gentian karbon termasuk spoiler hadapan, skirt sisi dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.
Bagi mengurangkan beratnya, penutup bonet hadapan dan juga but belakang turut dihasilkan menggunakan material gentian karbon. Akhir sekali badan kereta ini disudahkan dengan warna emas ikonik Top Secret Candy Gold.
Untuk bahagian roda, GT-R TS R35GTR Gold ini dipadankan dengan set rim O.Z Futura generasi baharu dari versi khas dibuat untuk Top Secret. Set rim berkenaan menampilkan saiz 20-inci dengan lebar 11j pada kesemua bahagian, tetapi dengan offset berbeza iaitu ET33 di hadapan dan ET10 di belakang. Ia dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE71RS bersaiz 285/35R20 di hadapan dan 285/35R20 di belakang.
Manakala untuk pengendalian, suspensi GTR ini ditingkat taraf menerusi pemadanan set coilover Top Secret Dumptronic yang menampilkan penyerap hentak Top Secret Time Attack SPL bersama spring dari Swift. Lengan-lengan suspensi asal juga tidak lagi digunakan dan diganti dengan komponen keluaran Top Secret.
Top Secret biasanya akan menjual kereta-kereta ‘demo car’ mereka pada orang awam, tak terkecuali GT-R TS R35GTR Gold ini. Dan, Smokey Nagata juga sudah diumumkan akan turun sendiri ke TASKL 2023 ini, jadi jika anda berminat untuk membeli kereta ini boleh berunding terus dengannya kelak.
Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Jun 2023. Tiket untuk acara ini sudahpun mula dijual secara atas talian menerusi laman web rasminya.
Selain Top Secret, antara penala Jepun lain yang sudah disahkan akan menyertai acara ini termasuk Trust/Greddy, RE Amemiya, Spoon dan HKS.
|
Nombor plat pendaftaran ‘AMY 1’ dibida dengan nilai RM400k, RM6j diperoleh untuk siri ini – JPJ Perak
|
Ternyata nombor plat pendaftaran kenderaan ‘AMY 1’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menjadi ‘nombor panas’ apabila menerima bidaan tertinggi dengan nilai RM400,000.
Menurut Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan, ia menjadi bidaan tertinggi menerusi sesi yang berlangsung selama lima hari sejak 9 April 2023. Malahan jumlah bidaan itu lebih tinggi berbanding nombor plat kenderaan siri ‘AKU’ termasuk ‘AKU 8055’ (RM74,000) serta ‘AKU 1’ (RM207,898.90) yang dikeluarkan pada Ogos 2017, laporan Berita Harian.
Tambahnya, menerusi sesi bidaan itu yang berakhir 13 April lalu, pihaknya mengutip hasil bidaan sebanyak RM6 juta hanya bagi nombor pendaftaran siri ‘AMY’.
“Selepas ‘AMY 1’, jumlah tertinggi seterusnya disusuli oleh plat ‘AMY 2’ hingga ‘AMY 9’ dengan nilai masing-masing melebihi RM80,000 setiap satu. Dengan siri ‘AMY’ sekarang, saya melihat trend macam orang banyak duit memandangkan hampir semua nombor popular sudah dibida dan dimiliki. Masih ada 16 sahaja nombor berbaki membabitkan nombor popular bagi siri ‘AMY’,” katanya kepada pihak media.
Adakah pembida yang berjaya mendapat ‘AMY 1’ ini bernama Amy (atau mungkin ada Amy yang istimewa di hatinya)? Agak-agak nombor plat ini akan dipadankan dengan model kenderaan apa ya?
|
Kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuhraya dihentikan sementara hingga 7 Mei – Menteri KKR
|
Semalam ramai pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur meluahkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan teruk dari KM20.1 hingga KM30.8 di lebuhraya terbabit, berhampiran dengan Bentong disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya. Apatah lagi sejak semalam lagi, orang ramai sudah mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.
Perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dihentikan sementara serta merta hingga 7 Mei 2023.
Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan tidak mengganggu perjalanan orang ramai sepanjang perayaan Aidilfitri sekali gus memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna lebuh raya, laporan Harian Metro.
“Kerja penyelenggaraan itu perlu bagi memastikan lebuh raya kita berada pada tahap terbaik, tetapi kerja-kerja itu kita boleh tangguh dahulu supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya semasa perayaan ini. Itu yang penting,” katanya.
Tambahnya, pemberhentian kerja penyelenggaraan itu dipersetujui semua syarikat konsensi lebuh raya dan arahan tersebut dikeluarkan berikutan tular video di media sosial berhubung kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak disebabkan penutupan lorong kecemasan dan kiri untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
|
PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 1 Mei 2023
|
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini dan berlangsung sehingga 1 Mei 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
Ini merupakan inisiatif PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Aidilfitri 2023, kata PLUS.
Tambahnya lagi, pengaktifan Smartlane juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Lebuhraya PLUS bergantung kepada keadaan trafik semasa. Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan ini turut menasihati pengguna lebuhrayanya agar patuhi papan tanda trafik dan arahan petugas PLUS ketika melalui lokasi tersebut.
Sebelum ini, PLUS juga pernah mengaktifkan laluan Smartlane di lokasi yang sama sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari lalu.
Pada Oktober 2019, PLUS telah melaksanakan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual di Lebuhraya NKVE iaitu dari laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bagi mengatasi aliran kesesakan trafik. Ujian yang sama turut dilaksanakan pada Januari 2022, juga melibatkan laluan yang sama.
Melihat akan keberkesanan SmartLane ini, PLUS turut mengaktifkan laluan yang sama sewaktu musim perayaan Deepavali pada Oktober tahun lalu. Ia melibatkan dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu di antara persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, arah utara dari KM19.0 hingga KM27.0. Ia turut diaktifkan di laluan dari Port Dickson ke Seremban, arah utara dari KM260 hingga KM263.1.
|
Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat
|
Susulan kes seorang pengguna jalan raya yang mendakwa dia disaman oleh polis kerana memandu kenderaan yang tidak dilekat dengan pelekat cukai jalan semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa kes itu telah diselesaikan dan mengakui ia adalah kesilapan yang dibuat oleh anggotanya.
“Pada 18/04/2023, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah mengesan satu posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook menggunakan pemilik akaun benama “Faiz Sulaiman” yang telah berkongsi satu posting dan gambar sehelai saman POL. 257 yang telah dikeluarkan kepada beliau.
“Semakan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mendapati, saman tersebut telah dikeluarkan oleh anggota polis peronda pada 16/04/2023 atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Petaling Jaya,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Bin Abdul Hamid dalam kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan.
Beliau turut menyatakan bahawa arahan telah dikeluarkan kepada petugas-petugas di lapangan untuk tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan telah diumumkan oleh menterinya, Anthony Loke pada Februari lalu.
Fakhrudin turut mengesahkan siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terlibat atas kecuaian yang dilakukan serta saman berkenaan telah pun dibatalkan.
Terdahulu Faiz Sulaiman telah membuat hantaran di akaun Facebook miliknya menyatakan bahawa dia telah disaman kerana tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin hadapan, serta tidak menunjukkan cukai jalan digital pada aplikasi digital kerana kereta tersebut adalah milik pelanggan.
Ia jelas bercanggah dengan apa yang ditulis dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan sendiri di mana pengguna jalan raya kini tidak lagi diwajibkan menampal pelekat cukai jalan dan tidak wajib menggunakan aplikasi MyJPJ kerana pegawai penguatkuasa boleh memeriksa maklumat tersebut menggunakan peranti yang telah dibekalkan.
Namun siang tadi Faiz telah memadam hantaran tersebut dan menyatakan bahawa pihak berkuasa telah menghubunginya dan mengakui kesilapan yang dibuat oleh anggota terbabit.
|
PDRM beri kadar khas RM50 untuk saman trafik 2022 dan sebelumnya mulai 21 April 2023 selama sebulan
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kadar khas bayaran saman mulai 21 April 2023 selama sebulan. Ia adalah bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya.
Menurut Anwar, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada 2023.
“Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan. Maka, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
“Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April ini bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’. Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan hotspots seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang media hari ini.
|
Lesen PSV bagi pemandu e-hailing dipercepatkan dan boleh diperoleh dalam tempoh seminggu – Loke
|
Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan jaminan urusan mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi pemandu e-hailing kini dipercepat dan boleh diperoleh dalam tempoh seminggu.
Menurut menterinya, Anthony Loke, keputusan ini dibuat selepas pemansuhan ujian teori bagi PSV yang mula berkuat kuasa sejak 10 April lalu.
“Sebelum ini, setiap pemandu perlu menunggu antara dua hingga tiga bulan bagi mendapatkan lesen PSV. Malah, kapasiti untuk meluluskan lesen PSV amat terhad iaitu sekitar 200 ke 300 pemandu seminggu disebabkan pelaksanaan ujian teori berkenaan,” katanya selepas Majlis Majlis Penyerahan Lesen PSV kepada 300 calon pemandu e-Hailing Grab pagi tadi.
Tambahnya, “Sebelum ini syarikat pengendali e-hailing (EHO) memaklumkan lebih 2,000 permohonan bagi mendapatkan lesen PSV tertangguh terutama di Lembah Klang. Menerusi kerjasama dengan EHO ini, kita berjaya menyelesaikan lebih 2,000 permohonan lesen PSV yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.”
Pada majlis berkenaan, Loke turut menyampaikan lesen PSV kepada pemandu e-hailing orang kelainan upaya (OKU) pekak. Di mana seramai 210 daripada 2,295 calon pemandu e-hailing Grab adalah pemandu OKU.
“Sebelum ini pemandu e-hailing OKU pekak tidak dibenarkan memandu, namun kini dibenarkan oleh kerajaan. Data daripada EHO menunjukkan pemandu pekak boleh memandu dengan baik dan tidak timbul isu keselamatan kepada penumpang, malah mereka adalah pemandu yang berhemah,” katanya.
|
PM umum ‘Tol Rahmah’ percuma sempena Hari Raya Aidilfitri; 19-21 & 24 April 2023 di 33 Lebuhraya
|
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan tol percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebentar tadi.
Untuk tahun ini, buat pertama kali tol percuma yang digelar sebagai inisiatif Tol Rahmah berkenaan pengecualian bayaran selama empat hari iaitu dari 19 hingga 21 April dan 24 April di 33 Lebuhraya seluruh negara.
Senarai kesemua lebuhraya tersebut adalah seperti berikut:
Dalam pengumuman yang dibuat sebentar tadi itu, PM turut mengumumkan kerajaan turut memberikan tambahan satu hari cuti Hari Kelepasan Am untuk raya tahun ini. Sekiranya 1 Syawal jatuh pada Hari Sabtu, cuti tambahan tersebut akan diberikan pada 21 April 2023 (Jumaat), manakala jika 1 Syawal pada Hari Jumaat, maka cuti tambahan akan diberi pada 24 April 2023 (Isnin).
|
Pemandu Honda Civic yang kemalangan di jalan Genting Highlands ada rekod 11 saman — PDRM
|
Awal minggu ini tular sebuah video yang menunjukkan sebuah Honda Civic FD berlumba haram dan terbabas di tepi jalan ketika ingin mengambil selekoh dalam perjalanan naik Genting Highlands.
Kemalangan yang hanya melibatkan kereta itu berlaku Ahad lepas di KM 14.6 di jalan berkenaan menunjukkan kereta itu dipandu dengan cara merbahaya dan laju ketika memasuki selokoh yang agak tajam, yang mana pemandunya kemudian menekan brek ketika di dalam selekoh dan menyebabkan kereta itu terbabas kemudiannya.
Terbaru, PDRM mendedahkan maklumat tambahan berkaitan kejadian yang berlaku jam 7.25 pagi itu, yang menyaksikan pemandu berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketika dalam siasatan berkaitan kejadian itu, pemandu berkenaan didapati memiliki 11 saman trafik di bawah namanya.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pemandu itu telah dipanggil untuk soal siasat dan pemeriksaan lanjut mendapati beliau memiliki rekod saman lampau. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas sebab pemandu secara merbahaya.
Untuk semua pengguna di jalan raya, berhati-hatilah dan jangan pentingkan diri sendiri. Jika rasa hebat untuk berlumba, masuklah ke litar dan lumpa sepuasnya. Malang tidak berbau.
|
Sebastien Loeb kembali ke Kejohanan Rallycross Dunia dengan Lancia Delta Evo-e RX musim ini!
|
Juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) sembilan kali, Sebastien Loeb diumum akan kembali untuk berlumba dalam musim penuh Kejohanan Rallycross Dunia (World RX) bermula tahun ini bersama pasukan Special One Racing.
Bagi yang belum mengetahui, World RX kini menampilkan kelas RX1e bagi menggantikan kategori RX1 Supercar sebelum ini, menyaksikan kesemua jentera yang bertanding dalam kelas tertinggi tersebut dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya. Untuk itu Special One Racing memilih Lancia Delta Evo-e RX binaan GCK Motorsport untuk bertanding dalam WRX kali ini.
Dua buah Delta Evo-e RX akan digunakan oleh pasukan tersebut, di mana sebuah lagi akan dipandu oleh pemilik pasukan Special One dan GCK Motorsport sendiri iaitu Guerlain Chicherit.
GCK Motorsport menggunakan asas Lancia Delta Integrale sebenar sebagai asas Delta Evo-e RX ini, dan bukannya sebuah jentera baharu yang kelihatan seperti kereta klasik tersebut. Sama seperti jentera-jentera RX1e yang lain, Delta Evo-e RX turut menerima kit rangkaian kuasa dua motor elektrik pacuan empat roda yang dibangunkan oleh Kreisel Electric dari Austria, menghasilkan 500 kW atau 680 hp.
Selain dari jentera rallycross sebenar ini, GCK Motorsport turut menghasilkan Lancia Delta Evo-e untuk dijual dalam pasaran umum, iaitu model restomod Delta Integrale yang masih nampak seperti model asal, tetapi enjin 2.0 liter turbo telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.
Ini bukan penampilan pertama Loeb dalam WRX. Sebelum ini Loeb pernah menyertai kejohanan berkenaan bermula musim 2016 sehingga 2018 dengan memandu Peugeot 208. Sepanjang tempoh tersebut Loeb telah memulakan 36 perlumbaan, dan 15 daripadanya ditamatkan dengan kedudukan podium.
“Saya dari generasi yang menyaksikan Lancia Delta menang dalam banyak perlumbaan rali, jadi secara semula jadi saya mempunyai kelemahan terhadap kereta ini,” kata Loeb yang kini sudahpun berusia 49-tahun.
“Tetapi Guerlain yang mula-mula bercakap dengan saya berkenaan berlumba dalam musim penuh menggunakannya, saya ingat dia gila! Selepas itu saya cuba kereta ini Disember lalu dan terus yakin dengan kualiti dinamiknya. Saya mempunyai kepercayaan yang besar terhadap projek ini dan saya tak sabar untuk menang dengannya di litar seluruh dunia.
“Saya sangat bermotivasi untuk cabaran ini, dan saya rasa rallycross merupakan disiplin yang sesuai untuk elektrifikasi kerana ia mempunyai kuasa yang banyak dan perlumbaannya singkat. Kereta-kereta ini sangat mengujakan untuk dipandu, dan World RX merupakan platform yang sempurna untuk menunjukkan evolusinya. Persembahan di litar sangat menakjubkan, dengan persaingan sengit dan aksi lebih menarik dari sebelum ini, dan sekarang kita ada peluang untuk menarik peminat generasi baharu,” jelas Loeb.
World RX untuk musim 2023 ini akan bermula Jun nanti dengan pusingan pertama akan dilangsungkan di Montalegre, Portugal pada 3 hingga 4 Jun, diikuti pusingan-pusingan Eropah yang lain. Ia kemudiannya akan di bawa ke Cape Town, Afrika Selatan dan Hong Kong untuk perlumbaan musim bunga nanti.
|
Jualan kenderaan di Malaysia pada Mac 2023 naik 24%
|
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Mac 2023, menyaksikan sebanyak 78,849 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Jumlah tersebut ternyata melebihi apa yang dicapai pada Februari 2023 iaitu sebanyak 15,339 unit dengan 63,510 unit yang direkodkan pada bulan lalu, mewakili peningkatan sebanyak 24.15%.
Rekod jualan yang dicatatkan pada Mac 2023 menjadi prestasi terbaik bagi jumlah keseluruhan jualan (TIV) bulanan setakat ini, melepasi pencapaian yang dicatatkan pada Disember lalu dengan 76,657 unit.
Persatuan ini berkata lonjakan angka tersebut disebabkan syarikat pengeluar kereta yang bertungkus lumus memenuhi tempahan yang dibuat dalam tempoh pengecualian cukai jualan yang berakhir pada hujung Mac. Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh usaha syarikat pengedaran dalam menghantar tempahan pelanggan sebelum tahun kewangan berakhir pada 31 Mac.
Berbanding bulan yang sama pada 2022, Mac tahun ini merekodkan angka yang lebih tinggi cecah 7.64% (atau 5,599 unit) berbanding 73,250 unit yang dicapai tahun lalu. Manakala TIV untuk tiga bulan pertama tahun 2023 pula kini cecah 192, 474 unit, lebih 32,628 unit (atau 20.4%) berbanding 159,846 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
MAA turut meramalkan jualan untuk April lebih rendah berbanding Mac disebabkan waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.
|
Sime Darby Motors masuk pasaran Indonesia bagi BMW, MINI bersama PT Performance Motors Indonesia
|
Sime Darby telah memasuki pasaran kereta penumpang Indonesia dengan PT Performance Motors Indonesia, kerjasama antara anak syarikat Sime Darby, Sime Singapore dan Galeon Group. PT Performance Motors Indonesia memasuki Jakarta dan Medan dengan dua pengedaran yang mewakili jenama BMW dan MINI.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat terbabit, pembukaan kedua-dua lokasi di Jakarta dan Medan merupakan titik permulaan bagi perkembangan Sime Darby Motors bagi pasaran Indonesia, dan ia akan diperkembangkan ke jajahan lain termasuk di Jawa dan Sumatera seperti mana sasaran BMW Group yang ingin memperluaskan pasarannya di negara berkenaan.
Ditubuhkan lebih 22 tahun yang lalu, BMW Group Indonesia yang dimiliki sepenuhnya oleh BMW AG, dan kini mengalu-alukan kedatangan Sime Darby Motors menyertai rangkaian pengedaran BMW Group Indonesia serta menjalinkan kerjasama dengan Galeon Group sebagai keyakinan yang tinggi terhadap kehadiran syarikat berkenaan di Indonesia, sekaligus memperkukuhkan lagi prestasi jualan kedua-dua jenama berkenaan di pasaran ini, ujar presiden BMW Group Indonesia, Ramesh Divyanathan.
“Menyertai perniagaan automotif sejak tahun 1989, Galeon mempunyai kepakaran dan kefahaman kritikal tentang persada automotif tempatan. Kami berharap untuk terus berkembang bersama BMW Group Indonesia sebagai rakan kongsi strategik, dan bekerjasama rapat untuk mengembangkan jenama BMW dan MINI di Indonesia,” kata CEO Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Jeffri Salim Davidson.
“Sime Darby mempunyai pengalaman berharga dalam sektor automotif merentasi rantaian nilai dan akan menjadikan rakan kongsi yang hebat untuk berkembang bersama. Dengan pengalaman automotif dan BMW yang kukuh Sime Darby, sistem back-end yang kukuh dan kapasiti kewangan yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan, kami yakin perkongsian ini akan membawa kejayaan,” kata ketua Galeon Grouo Leonel Gozali.
Minggu lalu, BMW Indonesia telah terpilih sebagai rakan kongsi mobiliti mampan untuk KTT ASEAN 2023 yang akan berlangsung di Labuan Bajo pada 9 hingga 11 Mei ini, dan menyumbangkan sebanyak 13 unit kenderaan elektrik BMW iX untuk digunakan oleh pemimpin dari 10 buah negara yang akan ke sana bagi menghadiri persidangan tersebut.
|
Pengguna keliru masih kena saman kerana tidak pamerkan pelekat cukai jalan pada cermin kereta
|
Kemaskini: Faiz telah mengesahkan bahawa wakil dari pihak berkuasa sudahpun memberikan penjelesan kepadanya serta mengakui kesilapan yang berlaku dari pihak mereka. Kenyataan oleh pihak polis pada PAUTAN INI
Seorang pengguna Facebook dengan akaun bernama Faiz Sulaiman membuat hantaran semalam menyatakan dia telah disaman oleh polis kerana tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin hadapan, walaupun pada Februari lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke sudah mengumumkan bahawa pelekat berkenaan tidak perlu lagi dipamerkan.
Faiz yang juga salah seorang pelumba yang mengendalikan Perodua Myvi pasukan JV Motorsport pada perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K) tahun lalu menyatakan bahawa dia disaman ketika sekatan jalan raya yang dibuat berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada Sabtu lalu atas alasan gagal mempamer cukai jalan.
Menurutnya ketika itu dia memandu kenderaan milik pelanggan yang tidak menampalkan pelekat cukai jalan berkenaan pada cermin hadapan. Alasan diberikan oleh polis bertugas yang mengeluarkan saman tersebut adalah kerana Faiz bukan sahaja tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin, malah tidak menunjukkan cukai jalan digital pada aplikasi MyJPJ.
Polis berkenaan turut menyatakan bahawa pemilik kenderaan yang tidak dilekat dengan pelekat cukai jalan tersebut perlu memberikan ID aplikasi MyJPJ kepada pemandu bagi membolehkan pemandu masuk ke akaun aplikasi MyJPJ di telefon bimbitnya.
Anggota berkenaan turut bertegas sekiranya pemandu tidak berjaya mengakses ke aplikasi MyJPJ, ia perlu dirujuk terus ke JPJ.
Apa yang dijelaskan oleh anggota polis tersebut nampaknya bercanggah dengan apa yang diumumkan oleh Anthony Loke tempoh hari. Menteri berkenaan menjelaskan bahawa aplikasi MyJPJ tidak wajib digunakan oleh mana-mana pengguna jalan raya kerana pihak penguatkuasa mempunyai peranti khas mereka bagi memeriksa rekod cukai jalan dan juga lesen pemandu.
Tangkap layar dari laman sesawang Kementerian Pengangkutan berkenaan cukai jalan digital
Malah dalam laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan sendiri dengan jelas ditulis aplikasi MyJPJ tidak diwajibkan untuk pengguna jalan raya, dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka yang memandu kenderaan milik orang lain dan tidak menunjukkan cukai jalan digital tersebut kerana penguatkuasa mempunyai peranti khas bagi memeriksa rekod yang diperlukan.
Diharapkan kekeliruan ini dapat diatasi antara JPJ dan Polis kerana ia boleh menyusahkan pengguna.
|
Chevrolet panggil semula 3,725 unit kenderaan di Malaysia berhubung inflator beg udara Takata
|
Walaupun sudah tidak lagi bertapak di Malaysia, jenama automotif dari Amerika Syarikat iaitu Chevrolet tetap menjalankan tanggungjawabnya untuk memanggil semula sejumlah 3,725 unit kenderaan keluarannya yang telah dijual di sini berkenaan masalah inflator beg udara yang dibekalkan syarikat Jepun, Takata.
Panggilan semula ini dibuat oleh Chevrolet Thailand dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan ia melantik Honda Malaysia untuk melakukan kerja-kerja pembaikkan di cawangan-cawangan pusat servis terpilih. Kumpulan kali ini bukan hanya melibatkan kenderaan dengan jenama Chevrolet, malah sebilangan kecil kereta berjenama Saab.
Model-model yang terlibat dalam panggilan semula ini adalah seperti berikut:
● Chevrolet Cruze: model tahun 2010–2015
● Chevrolet Orlando: model tahun 2013–2015
● Chevrolet Sonic: model tahun 2013–2014
● Chevrolet TRAX model tahun 2017
● SAAB 9-3: model tahun 2007
“Kadar sambutan di Malaysia adalah di bawah jangkaan. Ini membimbangkan kerana kematian mungkin berlaku jika beg udara yang rosak teraktif ketika berlakunya. Kami berharap masyarakat membantu menyebarkan peringatan ini, atau memaklumkan segera kepada rakan dan orang tersayang yang mungkin memiliki kenderaan Chevrolet yang tersenarai,” kata jurucakap Chevrolet Thailand dalam kenyataan yang dikeluarkan.
“Pemilik kenderaan Chevrolet yang terlibat yang tidak menerima makluman atau panggilan kerana data pemilikan dalam sistem yang sudah lapuk, adalah digalakkan untuk menghubungi pasukan petugas kami atau log masuk ke laman web kempen panggilan balik untuk mendapatkan butiran lanjut. Demi untuk keselamatan anda dan insan yang anda sayangi, kami menggesa para pemilik kenderaan yang masih belum tampil untuk segera menukar beg udara sebelum memulakan perjalanan di musim perayaan kelak,” tambahnya lagi.
Chevrolet turut menambah bahawa memandangkan kenderaan yang terlibat bukan baharu, sukar untuk mengesan pemilik yang terkini oleh kerana data pelanggan yang sudah lapuk. Ini ditambah lagi dengan ketiadaan pejabat rasmi Chevrolet di Malaysia.
Bagaimanapun, memandangkan penggantian beg udara percuma itu dikendalikan oleh pengedar sah Honda terpilih, Chevrolet berharap para pemilik kenderaan akan memanfaatkan kemudahan rangkaian pusat servis Honda yang komprehensif. Walaupun tarikh akhir untuk kerjasama itu belum diumumkan, pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini secepat mungkin, kerana kerjasama antara Chevrolet dan Honda Malaysia ini hanya untuk tempoh yang terhad.
Ia turut menjelaskan kerja-kerja untuk mendapatkan khidmat menukar beg udara secara percuma ini mungkin akan menjadi sangat sukar sebaik sahaja kerjasama dengan Honda Malaysia berakhir.
Kempen panggilan balik untuk penukaran beg udara Takata di bahagian pemandu ini berpunca daripada inflator beg udara yang mengandungi tablet pendorong (propellent) Ammonium Nitrat Stabil Berfasa (Phased Stabilized Ammonium Nitrate atau PSAN) yang tidak kering.
Ia mungkin terjejas setelah mengalami perubahan akibat terdedah kepada suhu tinggi dan kitaran suhu siang dalam persekitaran kelembapan tinggi. Ketika beg udara diaktfikan ketika kemalangan berlaku, inflator mungkin meletup dan pecah jika penjanaan gas melebihi keupayaan inflator untuk mengeluarkan gas.
Letupan itu boleh menerbangkan serpihan tajam lagi berbahaya ke arah pemandu dan juga penumpang, yang bukan hanya mengakibatkan kecederaan serius malah maut.
Kempen panggilan semula untuk menggantikan inflator beg udara ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun lalu. Selain Honda Malaysia, Chevrolet turut melantik Saphan9 Engagement, iaitu firma perundingan komunikasi dan kandungan untuk mengendalikan hal-hal berkaitan yang mencakupi pengumuman rasmi, khidmat pelanggan, pengurusan aset digital, maklumat dan data pelanggan.
Pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk melayari laman web kempen ini di www.chevrolettakatarecallmy.com di mana mereka akan dibimbing bagaimana untuk membuat tempahan slot penggantian, melalui tiga langkah mudah:
1. Cari nombor VIN: Panduan untuk mengenalpasti nombor VIN kenderaan anda juga tersedia dalam laman sesawang tersebut. Nombor VIN adalah penting untuk mengesahkan status kenderaan yang terlibat.
2. Panggilan untuk temujanji: Senarai pengedar sah Honda yang terpilih akan turut dipaparkan. Pemilik kenderaan boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Honda yang berdekatan dari senarai yang disediakan tersebut dengan menyatakan nombor VIN kenderaan untuk diperiksa status kenderaan mereka dan membuat tempahan slot penggantian secara percuma jika terlibat.
3. Pemilik kenderaan akan diminta untuk berkongsi butiran mereka bagi membolehkan Chevrolet membuat pemakluman dan kemaskini yang penting berkenaan dengan kempen panggilan semula ini.
Selain hebahan media, Chevrolet turut berusaha untuk menghubungi pemilik kenderaan-kenderaan yang terlibat dengan pelbagai cara lain termasuk jangkauan melalui platform media sosial, SMS dan e-mel. Pasukan panggilan juga telah disediakan untuk menghubungi pemilik kenderaan yang mungkin mengalami kesukaran sambungan internet.
Untuk pertanyaan lanjut, pemilik-pemilik kenderaan boleh menghubungi talian 011 3129 9963 atau 011 3129 9965.
|
Nissan Fairlady RZ34 Greddy Stance sah ke Tokyo Auto Salon KL 2023 – 659 ps, kit badan Rocket Bunny
|
Nissan Fairlady Z (atau Nissan Z di Amerika Syarikat) generasi baharu dengan kod casis RZ34 telah didedahkan untuk peringkat global pada Ogos 2021. Model ini nampaknya hanya dijual di pasaran Jepun dan AS, dan langsung tiada bayang bahawa ia akan turut dipasarkan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Jadi jika anda nak lihat ‘Devil Z’ versi moden ini, jangan lupa untuk datang ke Tokyo Auto Salon KL yang berlangsung pada Jun nanti, kerana penala Jepun Trust/Greddy sudah mengesahkan bahawa ia akan turut ke KL membawa Greddy Stance RZ34!
Kereta ini masih digerakkan enjin asal RZ34 iaitu unit VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo. Namun berbanding versi standard yang menjana 400 hp dan tork maksima 475 Nm, enjin pada Greddy Stance RZ34 ini telah diubahsuai bagi mengekstrak kuasa maksima sehingga 652 ps.
Tiada perincian apa yang dibuat pada enjin tersebut, namun ia disahkan menerima sistem ekzos lengkap GReddy Power Extreme R.
Kuasa masih disalurkan ke gandar belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan manual. Namun bagi menyampaikan kuasa berkenaan dengan lebih efisien, ia kini telah menggunakan set klac yang masih dalam peringkat prototaip OS Giken, serta unit LSD asal juga telah dibuka dan digantikan dengan komponen dari OS Giken.
Bahagian paling menyerlah pada Greddy Stance Z34 ini sudah tentulah pada penampilan luarannya kerana ia dipadankan dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny rekaan Kei Miura dari Tra Kyoto. Kit ini hadir dengan bampar hadapan bersama dengan muncung lebih rendah, bersama gril bawah yang kini berbentuk trapezoid terbalik.
Bampar berkenaan turut datang dengan spoiler bawah dan juga canard udara yang agresif. Walaupun ia masih menggunakan lampu hadapan standard, rekaan bampar ini telah pun menghilangkan rupa sebuah Fairlady S30Z klasik yang menjadi inspirasi pereka Nissan dalam menghasilkan model generasi baharu ini.
Di belakang, bamparnya dirombak semula bagi memberikan diffuser yang lebih agresif bersama ruang untuk menempatkan sepasang tip sistem ekzos GReddy Power Extreme R. Manakala spoiler ‘ekor itik’ asal turut telah dibuka dan diganti dengan unit lebih besar.
Keempat-empat ruang roda Fairlady ini diberikan overfender yang lebih lebar. Namun sedikit berbeza dari rekaan-rekaan Kei Miura sebelum ini, ia tidak mendedahkan bahagian rivet cantuman, dan pada bahagian atas ruang roda tersebut kini direka lebih rata. Skirt sisi juga telah dipadankan dengan unit lebih lebar bagi disesuaikan dengan kesemua fender berkenaan.
Rupa luaran kereta ini dilengkapkan dengan set rim Work Meister S1 berdiameter 19-inci, dengan lebar 10.5J (offset -46) di hadapan serta 12j (offset -65) di belakang, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 265/30R19 di hadapan dan 295/30R19 di belakang.
Berbeza dengan demo car Trust/Greddy lain yang lazimnya akan dipadankan dengan penyerap hentak boleh laras keluaran mereka sendiri, Greddy Stance RZ34 ini diberikan suspensi udara yang dihasilkan oleh Air Lift Performance. Ini membolehkan badan kereta ini bebar-benar rapat ke permukaan tanah apabila sedang parkir, dan ditinggikan semula untuk berjalan.
Pada sebelah dalam, ubahsuai yang dibuat agak ringan. Tempat duduk asal Nissan Fairlady Z ini telah dicabut dan diganti dengan tempat duduk bucket Bride edrib, dan ia turut dilengkapkan dengan set tali pinggang perlumbaan dari Greddy.
Jadi jika anda nak lihat Greddy Stance RZ34 ini, jangan lupa untuk dapatkan tiket Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang telah pun mula dijual di laman web rasminya. Acara ini akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Jun 2023.
Selain Trust/Greddy, antara penala Jepun lain yang sudah disahkan akan menyertai acara ini termasuk Top Secret, RE Amemiya, Spoon dan HKS. Malah pengasas Top Secret, Smoky Nagata juga merupakan antara ikon penala JDM yang dijangka akan turun ke TASKL 2023 ini.
|
MBPJ batalkan pelan aliran trafik kontra Petaling Jaya
|
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan pelan aliran trafik kontra di Petaling Jaya akan dibatalkan mulai 19 April ini, laporan The Star.
Keputusan untuk tidak meneruskan pelan ini diambil selepas ujian percubaannya. Pada Februari lalu, majlis bandaraya berkenana telah mengumumkan mulai 1 Mac, beberapa jalan dan persimpangan akan ditutup mulai 5 petang hingga 7.30 malam pada hari biasa untuk menguji laluan aliran kontra selama tiga bulan.
Jalan dan persimpangan yang terbabit ialah persimpangan Jalan Othman–Jalan Templer, persimpangan Jalan Gasing–Jalan Templer, persimpangan Jalan Templer–Jalan 6/29, dan setiap pembukaan median di Jalan Templer.
Sewaktu ujian percubaan berkenaan, pengguna jalan raya yang datang dari arah Jalan Gasing menghala ke Jalan Othman diminta untuk menggunakan Jalan Changgai 6/22 atau Jalan Anak Gasing 6/5-Jalan Tinggi 6/12-Jalan Selangor. Sementara yang datang dari arah Jalan Othman menghala ke Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) pula perlu membuat pusingan-U di bulatan Hospital Assunta.
Walau bagaimana pun, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata pada hari pertama ujian percubaan tersebut dilaksanakan telah menyebabkan kesesakan teruk di bulatan Assunta, di mana ada pengguna jalan raya yang membuat pusingan-U secara salah di jalan median di sepanjang Jalan Templer.
|
BMW K1600 GT, GTL tiba di Malaysia – dari RM175k
|
Dua motosikal touring terbaru daripada BMW Motorrad, iaitu K1600 GT dan K1600 GTL 2023 kini sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan masing-masing RM174,500 dan RM183,500. Harga ini tidak termasuk insurans dan diberikan bersama jaminan serta bantuan tepi jalan tiga tahun.
K1600 GT ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Black Storm Metallic dan Style Sport yang menampilkan warna BMW Motorsport yang terdiri daripada gabungan warna putih, bitu dan merah. Sementara itu, K1600 GTL pula ditawarkan dalam warna Black Storm Metallic dan Gravity Blue Metallic (Style Exclusive). Jika mahukan sesuatu yang lebih istimewa, pembeli kedua-dua model ini boleh memilih warna Meteoric Dust Option 719.
BMW K1600 dipacu oleh enjin enam silinder sebaris 1,649 cc dengan sistem penyejukan cecair, dan boleh menghasilkan kuasa sehingga 160 hp pada 6,750 rpm dan tork maksimum 180 Nm pada 5,250 rpm. Menurut BMW, K1600 boleh mencecah laju maksimum 200 km/j.
Kelebihan model GTL berbanding GT biasa adalah sistem Audio System 2.0, yang memberikan fungsi radio, equaliser, pembesar suara hadapan yang terletak pada fairing serta beg barangan belakang. Pelbagai kelengkapan lain turut disediakan termasuk pemanas tempat duduk untuk penunggang dan penumpang, serta pemanas tangan.
Turut disediakan adalah tuil brek dan klac boleh laras, cruise control, beg barangan tepi dengan warna sama seperti badan, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta tempat meletak telefon bimbit bersama soket USB. Barangan yang sebelum ini disediakan sebagai pilihan tambahan, iaitu Keyless Ride, sistem kunci bersepadu, penggera keselamatan dan quickshifter kini diberikan secara standard.
Motosikal ini juga datang dengan pelbagai sistem elektronik termasuk Integral ABS Pro, tiga mod tunggangan (Rain, Road dan Dynamic), Dynamic Traction Control (DTC), Engine Brake Control (MSR), Hill Start Control Pro, suspensi Dynamic ESA Next Generation dengan fungsi larasan rata automatik serta sistem bantuan undur.
Suspensi motosikal ini terdiri daripada tetapan Duolever dengan spring tengah di hadapan dan Paralever di belakang dengan pelarasan lantunan dan prabeban. Brek terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di belakang.
Kelengkapan lain yang disediakan pada K1600 adalah skrin TFT-LCD 10.25 inci, lampu utama LED adaptif serta tangki bahan api 26.5 liter. Tinggi tempat duduk model ini adalah 750 mm dan beratnya adalah 358 kg.
GALERI: BMW K1600 GT 2023
GALERI: BMW K1600 GTL 2023
|
Mercedes-Benz E-Class W214 2024 – Hibrid ringkas, jarak EV hingga 115 km; MBUX Superscreen
|
Generasi terkini Mercedes-Benz E-Class telah pun diperkenalkan, dan sedan saiz pertengahan ini sudah menjejaki generasi ke-10. Dengan kod nama W214, model terbaharu ini berukuran 4,949 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,468 mm tinggi dengan jarak roda 2,961 mm, menjadikan ia lebih besar sebanyak 20 mm berbanding model sebelumnya generasi W213. Sekaligus memberikan kelebihan pada ruang penumpang, dan meningkatkan kapasiti ruang penyimpanan barang mencecah 540 liter.
E-Class W214 ini juga masih menggunakan banyak elemen yang sama seperti mana model terdahulu, termasuklah bahagian hadapan yang menampilkan kemasan hitam berkilat di antara gril dan lampu utama. Manakala bagi versi elektrik, ia diberikan penggayaan ala barisan EQ.
Untuk lampu hadapannya, ia turut hadir dengan lampu nyalaan siang LED yang mirip dengan bentuk kening, menurut Mercedes-Benz dan bahagian bonet pula menampilkan bentuk permukaan ‘power dome’. Pemegang pintu ‘ke dalam’ juga diberikan, sama seperti model lain termasuk EQE – yang ditawarkan sebagai pilihan, sementara lampu belakang hadir dengan motif tiga bintang bagi setiap dua unitnya.
Barisan penjana kuasa bagi E-Class W214 ini terdiri daripada tiga enjin hibrid ringkas (satu petrol dan dua diesel), bersama tiga hibrid elektrik petrol; yang kesemua diberikan konfigurasi empat-silinder sebaris.
Bagi enjin PHEV elektrik-petrol, ia dibarisi E 300 e, E 300 e 4Matic dan E 400 e 4Matic. Untuk E 300 e, bersama pek 4Matic (AWD) diberikan unit petrol 1,999 cc dengan hamburan kuasa 204 hp dan tork 320 Nm, dan dipadankan bersama motor elektrik yang mampu memberikan 129 hp dan 440 Nm, menjadikan kuasa keseluruhannya mencecah 308 hp dan 550 Nm.
Manakala untuk varian E 400 e 4Matic pula, ia mampu menghasilkan 252 hp dan tork 400 Nm dari enjin petrol, dipadankan dengan motor elektrik yang sama dengan E 300, namun dapat memberikan kuasa keseluruhan cecah 375 hp dan 650 Nm.
Bagi penjana kuasa hibrid ringkas, ia menampilkan pilihan dua enjin diesel dan satu enjin petrol. Untuk varian E 220 d yang turut diberikan pek 4Matic AWD, ia hadir dengan unit 1,993 cc turbodiesel dengan hamburan kuasa 197 hp pada 3,600 rpm dan 440 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Varian petrol untuk pasaran Eropah pula ialah E 200 dengan enjin petrol 1,999 cc turbo bersama kuasa 204 hp pada 5,800 rpm dan 320 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,000 rpm.
Manakala pasaran Amerika Utara pula menerima varian E 350 4Matic, dengan enjin 2.0 liter turbo petrol dengan kuasa 255 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 2,000–3,000 rpm, bersama varian E 450 4Matic petrol enam-silinder dengan kuasa 375 hp dari 5,800–6,100 rpm dan 500 Nm dari 1,800–5,000 rpm.
E 220 d mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 7.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 238 km/j (7.8 saat dan 234 km/j untuk 4matic), sementara E 200 petrol pula dengan 7.5 saat bagi 0-100 km/j dan kelajuan tertinggi cecah 240 km/j.
Manakala E 300 pula, untuk pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 6.4 saat dan kelajuan maksimum cecah 236 km/j. Sementara versi 4Matic pacuan-semua roda pula lebih perlahan dengan 6.5 saat bagi 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 234 km/j. Untuk E 400 e 4Matic pula, ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat, dan kelajuan maksimum cecah 250 km/j.
Untuk ketiga-tiga varian PHEV elektrik-petrol, ia diberikan bateri 25.4 kWh, dengan kedua-dua varian 4Matic boleh mencapai 109 km bagi jarak elektrik, sementara E 300 cecah 115 km; kesemua angka itu berdasarkan protokol EAER WLTP.
Bagi casis pula, E-Class W214 menggunakan konfigurasi empat topang bagi suspensi hadapan, dan roda belakang dengan bentangan suspensi lima-sambungan. Kelengkapan standard bagi penjana kuasa hibrid ringkas termasuklah Agility Control steel-sprung suspension dengan peredam boleh laras dan lebih rendah sebanyak 15 mm berbanding varian PHEV.
Kit suspensi udara pilihan pada W214 termasuklah pek Teknologi, merangkumi larasan Airmatic dengan ADS+ continuously variable damping. Larasan stereng gandar belakang turut diberikan sebagai pilihan dengan menawarkan 4.5 darjah bagi sudut stereng untuk roda belakang, dengan mengurangkan kitaran pusingan sehingga 90 cm, menurut Mercedes-Benz.
Di dalamnya, E-Class W214 diberikan paparan infotainmen pelbagai-skrin yang dipanggil Superscreen. Ia merangkumi skrin penumpang hadapan dan paparan utama dengan resolusi tinggi di tengah untuk pemandu sebagai instrumentasi.
Superscreen ini juga menawarkan kamera video dengan fungsi selfie yang diletakkan di atas papan pemuka, dilengkapi ciri hiburan dengan aplikasi pihak-ketiga. Untuk pasaran Eropah, aplikasi yang diberikan termasuklah TikTok, permainan Angry Birds, Webex, Zoom dan juga enjin pencari Vivaldi.
Walaupun penumpang hadapan boleh menonton kandungan dinamik pada skrin penumpang, pemandu akan disekat daripada melihat kandungan pada paparan penumpang hadapan untuk mengelakkan gangguan berasaskan skrin.
Kemudahan untuk E-Class W214 termasuk Digital Vehicle Key, yang boleh digunakan bersama Apple iPhone dan Apple Watch, yang boleh dikongsikan sehingga 16 orang dalam satu masa. Pemilik juga boleh memilih operasi berbeza untuk setiap individu berbeza, seperti hanya memberi akses statik kepada kenderaan atau membenarkan ia dipandu.
Ketika kenderaan bergerak, penumpang juga boleh menggunakan program kesihatan Energizing Comfort yang bertujuan untuk mengurangkan gejala mabuk (motion sickness), sementara program Energizing Coach pula menawarkan cadangan kepada pengguna bagi kemudahan lain. Sebagai sebahagian daripada pilihan kawalan suhu Thermotronic, Digital Vent Control membolehkan corong udara untuk dilaraskan secara tatapan digital kepada program pengudaraan tertentu, dan boleh dilakukan untuk setiap tempat duduk melalui profil pengguna. Muncung penghawa dingin masih boleh dilaraskan secara manual.
Kelengkapan ADAS bagi E-Class W214 ini termasuk Active Distance Assist, Attention Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Parking Package dengan kamera undur dan Speed Limit Assist. Attention Assist kini ditambahkan dengan amaran gangguan pemandu dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara visual dan akustik. Sekiranya pemandu gagal memberikan respons terhadap amaran berkenaan, kenderaan akan berhenti secara kecemasan menerusi fungsi Active Emergency Stop Assist.
Pilihan lain yang turut diberikan termasuklah Driving Assistance Plus yag menambah Active Steering Assist serta fungsi kekal lorong. Bagi W214, apabila tanda lorong tidak lagi jelas kelihatan, dan Active Steering Assist tidak berfungsi, sistem akan memberikan amaran kepada pemandu menerusi getaran pada roda stereng.
Untuk pasaran Eropah, Mercedes-Benz E-Class generasi W213 akan mula dijual di bahagian utara mulai musim panas ini, dan kumpulan pertama dijangka akan tiba di bilik pameran pada musim luruh 2023.
|
PLUS aktifkan SmartLane di beberapa laluan tertentu pada 29 April-1 Mei 2023 bagi tambah kapasiti lorong
|
Menjangkakan lonjakan trafik pada hujung minggu ini berikutan berakhirnya cuti persekolahan dan cuti am Hari Pekerja, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan SmartLane, iaitu pembukaan sementara Lorong Kecemasan di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya untuk menambah kapasiti lorong. Pengaktifan SmartLane di laluan tersebut akan dilaksanakan pada 29 April hingga 1 Mei 2023.
Menurut PLUS, sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini, SmartLane telah pun diaktifkan di dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara iaitu antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (Arah Utara) bagi membantu melancarkan pergerakan trafik.
Pelaksanaan SmartLane di dua laluan di wilayah selatan tersebut telah menerima maklum balas yang positif dan disambut baik oleh pengguna lebuh raya kerana inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan.
“Ketika laluan SmartLane ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah bagi menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.
“Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Selain dua laluan tersebut, PLUS juga telah mengenalpasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan SmartLane iaitu laluan Gua Tempurung-Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (arah utara), Slim River-Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (arah utara) dan Rawang-Sungai Buaya antara KM439.9 – KM435.5 (arah utara).
“Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan SmartLane di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan,” tambahnya.
Pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan SmartLane ini melalui papan tanda laluan SmartLane serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.
“PLUS juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa yang terlibat terutamanya pihak PDRM yang telah membantu menyuraikan dan mengawal trafik di lokasi laluan SmartLane dan di sepanjang lebuh raya pada musim perayaan ini,” katanya,
|
JPJ keluarkan 14,514 notis pelbagai kesalahan dari 18-24 April menerusi Op Motosikal sempena Aidilfitri
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 14,514 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari 18 hingga 25 April menerusi Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023. Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 500 motosikal telah disita dalam operasi tersebut.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara, laporan Bernama.
Katanya, enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu membabitkan 4,583 notis, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).
“Menurut kajian, penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan 25 peratus kepada pengguna motosikal. Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya.
Dalam masa yang sama, Lokman turut berkata dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.
Jelasnya, ia berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60%.
Justeru, melalui Op Bersepadu peringkat kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.
“Dipohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” katanya.
|
Harga minyak 27 April-3 Mei – Semuanya masih kekal
|
Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan, bagi minggu bertarikh 27 April hingga 3 Mei 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-18 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.
Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan
|
Polis KB cari penunggang motosikal berbaju Melayu melakukan aksi wheelie bersama pembonceng wanita
|
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang penunggang motosikal berbaju Melayu biru yang membonceng seorang wanita sambil melakukan aksi berbahaya (whelie) dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kg Peringat, Kota Bharu (KB), Kelantan.
Menurut Polis KB, aksi berkenaan dikesan menerusi satu rakaman video tular berdurasi 28 saat yang tersebar menerusi laman media Facebook Inforoadblock pada 25 April 2023 jam 1 tengahari.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dijalankan. Bertindak atas maklumat pada 25 April, kira-kira jam 5.50 petang, sepasukan polis dari IPS Kota Bharu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Machang Bubok, Peringat dan telah berjaya merampas sebuah motosikal Honda C-110B berwarna putih dan sepasang baju kurung serta sepasang baju Melayu berwarna biru yang dipercayai digunakan semasa melakukan aksi berbahaya tersebut.
Klik untuk besarkan
“Kedua-dua suspek gagak ditemui dan telah melarikan diri serta dikenalpasti akan disenaraihitamkan. Usaha mengesan sedang dijalankan untuk diambil tindakan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000,” kata ACP Mohd Rosdi Daud, Ketua Polis Daerah Kota Bahru.
Tambahnya, pihak polis menggesa kedua-dua suspek dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Bharu, ASP Ahmad Adnan Mohamad di talian 09-7752200 atau tampil di IPD Kota Bharu atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
“Jangan bersubahat untuk melindungi keberadaan suspek kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah,” kata polis daerah berkenaan.
|
KTM 890 SMT Supermoto Tourer diperkenal – 105 hp
|
Setelah sekian lama 990 SMT tidak mempunyai penyambung generasi, KTM akhirnya memperkenalkan sebuah model baru penggantinya, dipanggil sebagai 890 SMT 2023. Nama SMT tersebut bermaksud Supermoto Tourer dan model ini dianggap sebagai sebuah model gabungan antara motosikal adventure dan streetfighter,
Menggunakan asas daripada model naked 890 Duke R, 890 SMT juga menggunakan enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 899 cc LC8c bersama transmisi enam kelajuan, tetapi kuasanya direndahkan sedikit menjadi 105 hp pada 8,000 rpm dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm.
Suspensi lebih tinggi, dengan jarak gerak 180 mm (hadapan dan belakang) digunakan pada 890 SMT, dan ia terdiri daripada fork WP 43 mm dengan pelarasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock WP dengan pelarasan lantunan dan prabeban spring di belakang.
Tetapan suspensi ini, apabila digabungkan bersama rim 17 inci hadapan dan belakang menghasilkan tinggi tempat duduk 860 mm, sementara jarak dari tanah pula adalah 227 mm. Berat keseluruhan model ini adalah 194 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 15.8 liter.
Tiga mod tunggangan disediakan secara standard pada 890 SMT, iaitu Rain, Street dan Sport, manakala mod Track disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem elektronik lain yang dapat membantu penunggang adalah termasuk Cornering ABS dengan mod Supermoto serta sistem kawalan cengkaman Motorcycle Traction Control (MTC). Quickshifter dan cruise control disediakan sebagai pilihan tambahan.
|
Chery Tiggo 7 Pro PHEV dan 8 Pro PHEV sah untuk Malaysia — akan tiba tahun depan dalam versi CKD
|
Sempena jenama Chery yang akan kembali ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini, khalayak akan dapat mendekati model SUV Omoda 5 dan dan Tiggo 8 Pro ketika ia dipertontonkan bulan depan, sebelum dilancarkan secara rasmi pada Jun/Julai nanti.
Tiggo 8 Pro akan hadir dalam versi Max yang baru saja dijual di China, sementara Omoda 5 versi elektrik yang baru saja dipertontonkan di Shanghai akan tiba di Malaysia hujung tahun nanti. Jadi, model dengan enjin biasa yang akan tiba dahulu di sini, dan model EV akan memanfaatkan pengecualian cukai dan di bawa masuk dalam bentuk CBU.
Tidak ketinggalan, model plug-in hybrid juga ada dalam perancangan, dengan dua varian telah disahkan untuk pasaran Malaysia. Yang dimaksudkan ialah model Tiggo 7 Pro PHEV lima-tempat duduk dan Tiggo 8 Pro PHEV. Nama untuk pasaran tempatan belum diketahui, tetapi ia dijangka sampai di sini awal tahun depan.
Dengan unit enjin yang sama dengan Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro — masing-masing dengan unit 1.5T dan 2.0T — versi PHEV ini akan dipasang di sini di kilang Inokom, Kulim. Kilang tersebut akan menjadi yang pertama di dunia memasang model CKD terkini Tiggo Pro Max dalam pemanduan sebelah kanan.
Sistem janaan e+ PHEV Kunpeng oleh Chery menggabungkan enjin 1.5 liter turbo (154 hp/230 Nm) dengan transmisi hibrid (DHT), bateri 19.27 kWh dan dua motor untuk menghasilkan 241 hp/510 Nm. Bagi Tigo 8 PHEV, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.0 saat dengan jarak elektrik 100 km, dan jarak keseluruhan mampu dicapai ialah 950 km.
Chery memaklumkan unit PHEV ini ada sembilan mod operasi — elektrik motor tunggal, elektrik dua motor, mode series dan extended, pacuan langsung enjin dan pacuan selari. Empat mod lagi berkaitan dengan janaan semula tenaga — mod parkir dan caj, memandu dan caj, janaan semula tenaga brek motor tunggal dan janaan semula kuasa brek dua motor. PHEV ini bagaimanapun akan beroperasi sama sahaja dengan kenderaan PHEV yang lain, cuma nama yang diberikan sahaja berbeza.
Bila model ini sampai di Malaysia nanti, ia akan mengisi penawaran yang agak unik dalam pasaran kerana SUV PHEV jarang ada — segmen SUV di sini umumnya datang dengan enjin biasa. Rekaannya bagaimanapun nampak menarik, dan senarak kelengkapan dan teknologi tentunya banyak. Maka, harga dan jaminan akan memainkan peranan yang penting juga.
Chery Tiggo 7 Pro PHEV 2023
Chery Tiggo 8 Pro PHEV 2023
|
Chery Omoda 5 versi EV didedahkan perincian – bateri 61 kWh, bakal dilancarkan di Malaysia hujung 2023
|
Minggu lalu, kami telah memaparkan SUV Omoda 5 EV yang turut mengambil bahagian dalam Auto Shanghai 2023. Kami turut memaklumkan bahawa Omoda 5 ini bakal tiba di pasaran Malaysia pada akhir tahun ini. Namun tika itu, tidak banyak info yang dapat kami kongsikan bersama anda.
Kini, kami mempunyai beberapa info mengenai Omoda 5 EV selepas menghadiri program Omoda & Jaecoo (O&J) yang dianjurkan oleh Chery di ibu pejabatnya yang terletak di Wuhu, China. O&J merupakan sub-jenama bagi Chery Group, yang diwujudkan setelah Chery mendapat tempat di pasaran arus perdana. Omoda disasarkan untuk golongan muda, manakala sub-jenama baharu Jeacoo pula lebih kepada mereka yang gemarkan gaya hidup yang lebih sofistikated. Untuk pasaran Malaysia, kita akan menerima Omoda 5 dengan logo Chery, namun di beberapa pasaran lain, ia diberikan lencana Omoda sendiri.
Omoda 5 EV ini diberikan bateri berkapasiti 61 kWh yang menjanakan 221 hp (165 kW) untuk motornya. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia mampu dilakukan dalam 7.8 saat, dan Chery mendakwa penjimatan kuasanya ialah 15 kWh bagi setiap 100 km. Untuk pengecasan pantas DC, Chery berkata ia mengambil masa sekitar 35 minit untuk mencapai status pengecasan (SOC) dari 0-80%. Manakala jarak pacuan elektrik yang boleh dicapai adalah sekitar 450 km bagi setiap pengecasan penuh, tetapi tidak dipastikan adakah ia mengikut kitaran NEDC atau WLTP.
Angka ini sepadan dengan kaji seluduk yang Chery Malaysia edarkan pada Julai 2022, di mana ia menyebut, output bagi EV ini ialag 150 kW (204 PS) dan tork 400 Nm, bateri 64 kWh dan jarak pacuan 450 km mengikut WLTP. Turut disebut ialah pengecas pantas DC dengan SOV 0-80% sekitar 40 minit dan pengecas AC pula lebih kurang lima jam.
Omoda 5 EV ini mengadaptasikan SUV segmen-B janaan-enjin pembakaran dalaman (ICE), dan baterinya ditempatkan di bawah lantai. Berbanding Omoda 5 versi ICE, EV ini memiliki wajah yang sangat berbeza. Tidak diberikan gril gril depan yang besar dan tanpa bingkai, EV ini tampil dengan imej lebih bersih, dengan muncung tertutup yang lebih konvensional. Ia juga diberikan roda aero dua-tona.
Di dalamnya, model yang dipamerkan di Shanghai ini memiliki skim warna yang sangat menarik dengan biru sebagai rona utama, bersama jahitan kuning sebagai kontras dan kemasan kayu pucat. Steringnya juga diberikan logo Omoda, dan papan pemukanya lebih moden yang bersambung dengan skrin dan slot telefon bimbit bersudut masih dikekalkan. Tuil gear pada versi ICE telah disingkirkan.
Menurut Chery Malaysia, Omoda 5 EV ini bakal tiba di negara ini, dengan pengenalannya dirancang bakal dilaksanakan pada hujung 2023. SUV elektrik ini akan memasuki pasaran kita sebagai model CBU dari China, mengambil manfaat dari pemberian insentif bebas-cukai oleh kerajaan Malaysia bagi EV yang dimport. Ia berlawanan dengan Omoda versi ICE yang akan dipasang di sini (CKD), yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Untuk persaingannya, kami menjangkakan ia bakal ‘berlawan’ dengan Ora Good Cat dan BYD Atto 3. Bagi Ora Good Cat, ia ditawarkan pada harga dari RM139,800 untuk 47.8 kWh Pro (jarak pacuan 400 km NEDC) hingga RM169,800 untuk 63.1 kWh Ultra (500 km, NEDC). Sementara itu, BYD Atto 3 pula dijual pada harga dari RM149,800 untuk 49.92 kWh Standard Range (410 km, NEDC) hingga RM167,800 untuk 60.48 kWh Extended Range (480 km, NEDC).
Apa pendapat anda mengenai imej yang diperagakan oleh Omoda 5 EV ini, dan jika dibandingkan dengan versi ICE yang memiliki muncung lebih menyerlah? Selain spesifikasi tekninal, Omoda 5 EV juga memiliki gaya yang lebih ranggi, lebih kurang seperti Atto 3, berbanding Ora yang lebih comel dan lebih sesuai untuk pemandu wanita.
GALERI: Chery Omoda 5 EV di Auto Shanghai 2023
|
JPJ tiada akaun media sosial TikTok – @jpjebidofficial yang jual nombor pendaftaran kenderaan adalah palsu
|
Berikutan isu tular mengenai penjualan nombor pendaftaran dan penggunaan logo JPJeBID melalui platform Tiktok, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menegaskan bahawa akaun media sosial berkenaan adalah palsu.
“JPJ mengambil berat mengenai isu tular ini dan untuk makluman, jabatan tidak mempunyai akaun Tiktok @jpjebidofficial serta mengeluarkan apa-apa risalah berhubung penjualan nombor pendaftaran seperti di akaun tersebut.
“Penggunaan logo rasmi Jabatan tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan dan jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan logo rasmi jabatan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan diminta untuk menghubungi JPJ berdekatan bagi memperoleh maklumat yang lebih tepat. “JPJ sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya demi kesejahteraan orang awam khususnya pengguna jalan raya,” sambungnya lagi.
|
Selamat Hari Raya dari paultan.org & Honda Malaysia!
|
Selamat Hari Raya Aidilfitri semua pembaca paultan.org! Bersempena dengan hari yang mulia ini, kami bersama dengan Honda Malaysia telah menyediakan satu drama pendek menggambarkan antara senario yang kerap berlaku apabila berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara.
Dalam pada semua seronok menyambut lebaran, mereka yang masih belum berumah tangga biasanya tidak dapat lari daripada soalan berkenaan pasangan. “Bila nak kahwin?” “Mana teman wanita?” “Seorang lagi tahun ni?”
Itulah yang terjadi pada Jo sewaktu saudara dan rakan-rakan datang untuk beraya di rumah beliau. Semua mereka teringin untuk berjumpa pasangan Jo tetapi teman wanita beliau, Janice masih belum mempunyai keberanian untuk datang menyambut Hari Raya bersama.
Walaubagaimanapun, ada kejutan yang berlaku. Untuk mengetahuinya, saksikan sendiri video yang telah kami sediakan ini.
Dalam masa sama, kami juga ingin mengingatkan anda supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Pastikan semuanya tersedia untuk perjalanan yang lancar dan juga menggembirakan. Pasangkan lagu raya dan nikmati perjalanan anda. Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami dan Honda Malaysia!
|
Honda Civic Type R FL5 rampas semula takhta kereta FWD produksi terpantas di Nürburgring; 7:44.881!
|
Honda Civic Type R kini secara rasmi dinobatkan semula sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) produksi terpantas di litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife! Takhta berkenaan diserahkan semula ke Civic Type R selepas model generasi terbaharu FL5 mencatatkan masa 7 minit 44.881 pada litar sepanjang 20.832 km berkenaan 24 Mac lalu.
Ia sekaligus memadamkan rekod terpantas produksi FWD sebelum ini dengan masa 7 minit 45.39 saat (7:40.1 pada laluan 20.600 km yang lebih pendek) yang dicatatkan oleh Renault Mégane R.S. Trophy-R pada 2019. Ketika itu, Megane merampas gelaran tersebut dari Civic Type R FK8 yang dinobatkan sebagai model produksi FWD terpantas di Nürburgring dengan rekod 7:43.8 pada laluan 20.6 km pada 2017.
Bagi mencatatkan rekod terbaharu ini, Honda menggunakan versi produksi sebenar FL5. Tiada sebarang ubahsuai dibuat kecuali tayar standard Michelin Pilot Sport 4 S digantikan dengan tayar opsyen (ditawarkan pada pasaran seperti Amerika Syarikat) Michelin Pilot Sport Cup 2 Connect yang dihasilkan lebih fokus untuk kegunaan dalam litar.
Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.
Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi menghasilkan kuasa 330 PS (326 hp) pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm – 10 PS (10 hp) dan 20 Nm lebih berkuasa dari FK8.
Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.
Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.
Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.
Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.
“Kepada peminat Civic Type R kami di seluruh dunia: Di bawah konsep ‘Ultimate SPORT 2.0,’ kami membangunkan Civic Type R serba baharu dengan semangat ‘melampaui pencapaian masa lalu’ dan berusaha untuk menghasilkan kereta sport FWD yang sebenar dengan memperhalusi ‘nilai penting’ dan ‘daya tarikan emosi’ unik hanya untuk Type R kami” kata Ketua Pembangunan Civic Type R, Hideki Kakinuma.
“Sejak jualannya bermula di Jepun pada September 2022, kami telah menerima banyak maklum balas pelanggan dari seluruh dunia yang penuh dengan kekaguman dan kegembiraan, jauh melebihi jangkaan kami. Bagaimanapun, kami masih mempunyai satu lagi misi yang perlu dipenuhi, iaitu untuk merampas semula gelaran sebagai kereta FWD terpantas di dunia dengan catatan masa pusingan Nürburgring.
“Enam tahun selepas rekod pusingan dibuat oleh Civic Type R (FK8) generasi sebelumnya, kami mencapai dimensi baharu ini hasil daripada semua keghairahan yang kami curahkan dan semua kemajuan yang kami lakukan untuk model Type R ini. Akhirnya, hasrat kami untuk berkongsi tajuk ini dengan semua peminat Type R di seluruh dunia menjadi kenyataan.
“Kami amat berharap semua pemilik semasa dan bakal pemilik Type R akan menikmati dan menyukai kenderaan mereka dengan kebanggaan yang kami kongsikan dengan anda,” tambah Kakinuma-san.
Rekod yang dibuat oleh Civic Type R FL5 ini mungkin adalah rekod mutlak untuk model petrol penuh FWD produksi terpantas di litar berkenaan. Ini kerana Renault tidak lagi akan menghasilkan Megane R.S selepas produksinya tamat pada penghujung tahun ini dan ia akan digantikan dengan model berkuasa elektrik sepenuhnya (EV).
Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.
Seperti yang diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini, Honda Civic Type R FL5 turut akan dilancarkan di sini tahun ini. Melihat trend harga jualannya yang sememangnya lebih mahal dari model FK8 untuk setiap negara yang sudah dipasarkan, FL5 juga dijangka akan dijual lebih mahal di sini.
Namun ia mungkin tidak semahal di Indonesia (Rp 1,399,000,000 atau sekitar RM412k) dan Thailand (3,990,000 baht atau sekitar RM520k). Kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k. Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k?
|
Great Wall Motor Haval B07 dan A07 tampil sulung di Shanghai — SUV PHEV, jarak 100 km, 279 PS, 585 Nm
|
Di Auto Shanghai 2023, Great Wall Motor (GWM) mempamerkan beberapa model kenderaan tenaga baru (NEV); di bawah jenama Haval, ada dua model yang terlibat — dengan kod nama A07 dan B07.
Pertama kali ditampilkan ialah B07 atau Xialong Max menggunakan platform LEMON GWM dengan ukuran dimensi 4,758 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,725 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. B07 adalah sebuah SUV yang saiznya lebih besar daripada Honda CR-V terkini, yang mempunyai ukuran 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,700 mm.
B07 yang mirip model H6 tetapi dalam saiz lebih besar hadir dengan rekaan gril tanpa bingkai dan corak mesh di bawah lencana Haval. Lampu utama pula bersegi, dengan DRL yang jelas kelihatan. Di belakang, lampunya menyeluruh. Bukaan udara hiasan dengan kemasan krom juga ada menghiasi kawasan apron bawah di bampar belakang.
Di dalam, B07 sarat teknologi. Ini termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh infotainmen 12.3-inci dan paparan depan penumpang. Sebuah head up display 10-inci juga ada tersedia untuk pemandu. Haval turut menyatakan terdapat 32 ruang simpanan dalam kabin, termasuk satu di bawah konsol tengah. Ada juga dua platform untuk mengecas telefon, satu daripadanya dengan ciri tanpa wayar sehingga 50 watt. Terdapat sistem bantuan pemandu maju untuk B07, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, peninjau perhatian pemandu dan banyak lagi.
Sistem janaan pula baru dan dikenali sebagai Hi4 (Hybrid intelligent 4WD). Sistem plug-in hybrid yang ada menawarkan kecekapan tenaga sebanyak 41.5% dan memberikan 462 PS (456 hp atau 340 kW). Dua tetapan ditawarkan untuk model ini: yang pertama dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol kitaran Atkinson yang menjana 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 135 Nm tork.
Kedua, enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan kitaran Miller dengan janaan puncak 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 240 Nm. Kedua-duanya digandingkan dengan dua elektrik motor, dengan yang didepan membekalkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) yang diletakkan di antara enjin dan Direct Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan.
Motor kedua pula diletak di belakang dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 350 Nm untuk melengkapi sistem pacuan semua roda. Ini disertakan juga dengan Torque Vectoring Control (iVTC) pula mengawal agihan tork antara dua gandar berkenaan dengan sembilan mod pemanduan.
Kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh bateri dalam dua pilihan kapasiti — 19.94 kWh dan 27.5 kWh — dengan jarak elektrik 100 km. Dalam tetapan tertinggi, output sistem keseluruhan B07 ialah 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan 585 Nm.
Bagi A07 atau turut dikenali dengan nama Xiaolong, ia sebuah SUV yang lebih kecil dengan ukuran 4,600 mm panjang, 1,877 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak antara roda 2,710 mm — menjadikannya pengganti H6 yang paling hampir.
Rekaannya luarannya lebih menonjol dengan imej EV — ia sebetulnya sebuah model plug-in hybrid seperti yang dinyatakan pada lencana DHT-PHEV yang tertera di belakang. Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 101 PS (99 hp atau 74 kW), sebuah motor elektrik dan pek bateri sama ada dengan unit 9.41 kWh (jarak 45 km, WLTP) atau 19.27 kWh (96 km).
Di dalam, A07 menampilkan kurang skrin paparan berbanding B07, dengan hanya ada dua di papan pemukanya. Konsol tengah tetap dengan rekaan dua lapisan dan dilengkapi ciri pemanduan autonomous Tahap 2.
Haval B07
Haval A07
|
Chery Tiggo 8 Pro akan dilancar di Malaysia Jun ini – versi Max yang dipertingkat bakal tiba secara CKD
|
Ini ada sedikit berita dari Chery bersempena dengan Auto Shanghai 2023. Setakat ini kita sudah tahu Omoda 5 akan dilancarkan pada bulan Jun, tapi nampaknya SUV itu juga akan disertai oleh Chery Tiggo 8 Pro semasa majlis pengenalannya. Kedua-dua model ini akan dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah yang akan menjadi kilang pertama di dalam dunia yang memasang model ini secara CKD, dalam versi pemandu sebelah kanan.
Tiggo 8 Pro sebenarnya sudah dipertontonkan di Malaysia Oktober tahun lalu, tetapi kereta CKD sebenar yang akan dijual nanti adalah versi yang dipertingkat, dan wakil kami yang berada Wuhu, China telah terserempak dengannya. SUV tiga baris tempat duduk ini menampilkan gril “galaksi” baru dengan bahagian dalam yang lebih menyerlah serta lambang Chery yang menyala. Bahagian belakang mempunyai jalur lampu LED penuh serta lampu brek berbentuk T, manakala rim pula bersaiz 19 inci.
Walaupun bahagian luar sudah cukup menarik, Tiggo 8 Pro Max sebenarnya lebih menyerlah dengan bahagian dalamnya. Ia mendapat rekaan yang lebih kemas dan moden, dengan perincian yang hampir seperti yang digunakan oleh Mercedes-Benz, skrin bersambung, konsol tengah tinggi serta corong pendingin hawa seakan tersembunyi.
Roda stereng juga adalah baru, dengan terdapat tulisan Chery dan bukan setakat logo. Berkenaan logo, terdapat lencana Tiggo di beberapa bahagian termasuk tepi skrin tengah serta corong pendingin hawa belakang. Jumlah beg udara serta pembesar suara juga telah ditingkatkan.
Di China, Tiggo 8 Pro Max dijual dengan pilihan enjin 1.6T dan 2.0T, tetapi negara kita cuma akan menerima enjin 2.0T. Nama juga akan jadi berbeza di mana model ini nanti akan dipanggil cuma sebagai Tiggo 8 Pro untuk pasaran Malaysia, dan tidak mempunyai tambahan Max di belakangnya, seperti model China. Kita boleh jangkakan harganya berada sekitar harga Honda CR-V ataupun Mazda CX-8.
Wakil daripada Chery Malaysia juga ada memberitahu kami bahawa Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro versi PHEV sah akan tiba di Malaysia dan kita boleh menjangkakan pelancarannya awal tahun hadapan. Apa pandangan anda dengan Tiggo 8 Pro ini? Adakah ia lebih menarik berbanding Proton X90 atau Mazda CX-8?
|
Neta V EV dari China dilancarkan di Malaysia bulan hadapan – Intro Synergy dilantik sebagai pengedar
|
Pengeluar kereta elektrik China, Neta, telah merancang untuk memasuki Malaysia bulan hadapan, dengan memperkenalkan crossover Neta V sebagai model pertamanya bagi pasaran sini, seperti yang dinyatakan sebelum ini melalui laman web Neta Malaysia. Perkara ini didedahkan oleh Intro Synergy, yang dilantik sebagai pengedar di negara ini.
Merupakan anak syarikat GoAuto Group, Intro Synergy berkata, ia telah menandatangani perjanjian lima tahun dengan Hozon New Energy Auto, dan bersama rakan kongsinya akan melabur sekitar RM300 juta untuk membangunkan rangkaian jualan dan selepas jualannya serta kilang pembuatan untuk pemasangan tempatan.
“Kami teruja untuk mengumumkan kerjasama kami dengan Neta, yang akan membolehkan kami membawa kenderaan elektrik inovatif kami pada harga yang berpatutan dan kompetitif kepada lebih ramai pelanggan di Malaysia. Kami berharap jenama ini akan diterima baik oleh orang ramai dan seterusnya meningkatkan penerimaan EV di negara ini,” kata pengerusi kumpulan GoAuto Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.
Neta V dipertontonkan di Thailand awal bulan lepas. Crossover semua-elektrik ini diperkenalkan pada tahun 2020 dan menggunakan platform HPC yang sama digunakan untuk Neta U-II. Di Thailand, Neta V menampilkan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik di depan dengan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork.
Dengan jarak perjalanan 384 km mengikut standard NEDC (kadar WLTP biasanya 20% lebih rendah), model ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, dengan laju maksimum 101 km/j dan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat.
Untuk pengecasan, Neta V menerima input AC maksimum (Type 2) 6.6 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa lapan jam. Turut ada pengecasan DC dengan maksimum 100 kW yang membekalkan bateri dari 30-80% dalam masa 30 minit. Sementara itu, output sistem vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW untuk kegunaan peranti luaran.
Neta V di Bangkok International Motor Show 2023
Neta S di Bangkok International Motor Show 2023
|
JPJ Selangor kenalpasti 23 lokasi yang kerap berlaku kemalangan untuk dipantau sepanjang Aidilfitri
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengenal pasti 23 lokasi hotspot yang kerap berlaku kemalangan jalan raya untuk dipantau menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 18 April lalu.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Kamarunzaman Ahmad berkata, antara lokasi tersebut ialah Lebuhraya Persekutuan, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dan Kilometer (KM) 9 hingga KM 16 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), laporan Utusan Malaysia.
“Kita dapat maklumat mengenai kawasan kerap kemalangan ini berdasarkan data daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain pemantauan, kita juga mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka melakukan kesalahan di bawah bidang undang-undang JPJ,” katanya.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan hingga 27 April 2023 melibatkan 325 anggota anggota penguatkuasa JPJ negeri. Untuk Ops kali ini juga pihaknya akan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal, antaranya yang berkaitan dengan lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan teknikal.
“Saya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil gambar dan merakam video sekiranya mereka nampak ada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. Mereka boleh menghantar gambar dan video tersebut di talian hotline 03-55669442 atau emel [email protected],” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamarunzaman memaklumkan kenderaan membawa barangan seperti lori dan traktor tidak dibenarkan menggunakan jalan persekutuan dan negeri di dalam Selangor pada empat hari yang ditetapkan iaitu 20 hingga 21 April dan 24 hingga 25 April.
|
Kadar khas saman RM50 untuk semua jenis kesalahan kecuali yang belum selesai bicara mahkamah – JSPT
|
Bagi memberikan penjelasan yang lebih tepat mengenai penawaran kadar khas saman trafik RM50 seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri ANwar Ibrahim baru-baru ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik berkata, semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya layak menikmati kadar berkenaan kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana di luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, tawaran yang diumumkan oleh PM itu adalah berbeza dengan tawaran diskaun saman PDRM sehingga 60% sempena Peringatan Hari Polis ke-216 baru-baru ini.
Katanya, diskaun sempena Hari Polis sebelum ini mempunyai beberapa jenis saman yang tidak layak untuk diberikan diskaun pengurangan antaranya kes kemalangan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak patuhi isyarat lampu merah dan saman berstatus waran, laporan Harian Metro.
“Tetapi bagi Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin, ia berbeza dan lebih berbaloi daripada diskaun 60%itu kerana orang awam hanya perlu bayar RM50 untuk satu saman.
“Orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara bermula 21 April hingga 21 Mei 2023,” katanya.
Tambah beliau lagi, PDRM juga tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.
|
LLM jangka 2.3 juta kenderaan sehari guna tiga lebuhraya utama hingga 7 Mei 2023 sempena Aidilfitri
|
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuhraya utama mulai hari ini hingga 7 Mei 2023 sempena perayaan Aidilfitri. Tiga lebuhraya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, LLM berkata, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, pihaknya telag mengarahkan syarikat konsesi lebuhraya mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut. Ini termasuklah menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula semalam hingga 7 Mei ini.
Syarikat konsesi juga disarankan mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pengguna lebuh raya utama berkenaan untuk membantu mereka merancang perjalanan, serta memaparkan maklumat trafik dan peringatan menambah nilai Touch n’ Go atau e-Wallet sebelum memulakan perjalanan di papan tanda elektronik (VMS).
Malahan syarikat konsesi juga diminta untuk membuka lorong tol tambahan di lokasi yang dikenalpasti mempunyai trafik tinggi, selain menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna dalam memastikan kelancaran trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa pada 19-21 April dan 24 April 2023.
“Bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma yang bermula hari ini hingga 21 April serta 24 April, kad Touch n’ Go atau SmartTAG perlu disentuh di plaza tol manakala pengguna Radio Frequency Identification (RFID) perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID,” kata LLM.
LLM juga memaklumkan akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) secukupnya bagi menangani sebarang insiden, selain menyediakan kemudahan tambahan di tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat sepanjang PLUS serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
|
Harga minyak 20-26 April – Tiada perubahan
|
Bagi minggu bertarikh 20 hingga 26 April 2023, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-17 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.
Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan
|
Chery Omoda 5 EV tampil di pameran Shanghai Auto Show 2023, bakal tiba di Malaysia hujung tahun ini
|
Di Auto Shanghai 2023 ketika ini, antara model yang mendapat perhatian ialah Chery Omoda 5 EV. Ia versi elektrik bagi SUV Omoda 5, dan kini kelihatan seperti menghampiri peringkat akhir pengeluarannya. Lebih menarik, Omoda 5 EV ini juga akan masuk ke pasaran Malaysia, dengan pengenalannya dijangka berlangsung pada penghujung 2023.
Hal ini dikongsikan oleh pegawai Chery Malaysia yang ditemui di sana, yang menambah bahawa SUV EV berkenaan akan dibawa masuk sebagai unit CBU dari China. Ini berbeza daripada Omoda 5 enjin petrol yang dipasang di sini, dan akan dilancarkan tak lama lagi sebagai unit CKD.
Perincian rasmi tentang Omoda 5 EV masih samar-samar, tetapi pada Julai 2022, Chery Malaysia pernah mengeluarkan borang kaji selidik berkaitan Omoda 5 EV, menyatakan perincian seperti output 150 kW (204 PS) dan 400 Nm, dengan bateri 64 kWh dan jarak perjalanan WLTP sejauh 450 km. Turut disebut ialah pengecasan pantas DC dari 0-80% SOC dalam masa 40 minit dan pengecasan AC dalam masa lima jam.
Berbanding Omoda 5 versi biasa, model EV mempunyai wajah depan yang berbeza: tiada corak gril yang menonjol, yang digantikan dengan penampilan lebih ringkas yang tertutup. Omoda, sub-jenama Chery di China, nampak dieja dengan jelas di situ. Rim aero juga mengenakan penyudah dua-tona.
Di dalam, unit yang dipamerkan ini menunjukkan skim warna yang menarik dengan biru menjadi warna utamanya, dan kontras dengan jahitan kuning serta kemasan kayu yang nampak segar. Di setereng masih menampakkan nama Chery, serta papan pemuka moden disediakan dengan skrin besar dan slot telefon. Tiada tuil gear yang sama seperti model bukan EV-nya yang kelihatan.
Berapa agaknya harga Omoda 5 EV ini bila sampai di Malaysia nanti?
|
JPJ senarai tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun, penguatkuasaan ketat sepanjang 18-27 April ini
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan senarai tujuh kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Dimaklumkan, mereka yang didapati melakukan semua kesalahan ini dalam tempoh 10-hari operasi Hari Raya yang akan berlangsung dari 18-27 April ini akan dikemukakan saman dan pesalah perlu ke mahkamah untuk penyelesaian lanjut.
Tujuh kesalahan yang tidak boleh dikompaun yang dimaksudkan termasuklah: menggunakan telefon bimbit ketika memandu; melanggar lampu isyarat; memandu dalam lorong kecemasan; memandu melebihi had laju; memotong di garisan berkembar; memotong barisan dan tidak menggunakan tali keledar (atau helmet). JPJ juga akan menjalankan penguatkuasaan yang ketat untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan.
Ini adalah susulan daripada pengumuman Menteri Pengangkutan berkaitan pengharaman kenderaan berat daripada berada di atas jalan sepanjang empat hari, dari 20 dan 21 April serta 24 dan 25 April bagi mengelakan kesesakan trafik dan risiko kemalangan. Pengurangan had laju kebangsaan kepada 80 km/j di seluruh negara juga akan dilaksanakan.
|
Mitsubishi masih pengeluar bukan nasional ke-3 terlaris di Malaysia; jualan naik 27% untuk TK22
|
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 24,315 unit kenderaan sepanjang Tahun Kewangan 2022 (TK22 iaitu April 2022 hingga Mac 2023). Ini menunjukkan bahawa syarikat tersebut berjaya menjual 27% lebih banyak kenderaan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Angka jualan ini juga merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan oleh MMM sejak ia ditubuhkan pada 2005. Ia juga membolehkan MMM memegang bahagian pasaran sebanyak 3.2%, menjadi jenama bukan nasional ketiga paling laris di Malaysia.
Mitsubishi Xpander masih kekal sebagai MPV bukan nasional paling laris dalam pasaran tempatan, terjual sebanyak 13,794 unit sepanjang TK22. Angka tersebut dilihat naik 52.2% berbanding TK21, dan ia menjadi penyumbang utama jualan keseluruhan dengan mewakili 57%.
Jualan selebihnya adalah disumbangkan oleh trak pikap Mitsubishi Triton yang berjaya dijual sebanyak 10,520 unit. Angka jualan yang dicatatkan Triton ini juga adalah 12% lebih tinggi dari Tahun Kewangan sebelumnya. Dan dengan bahagian pasaran 18% yang dipegang, Triton adalah trak pikap nombor dua paling laris di Malaysia.
“Triton dan Xpander telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan jualan kami pada TK22. Untuk menamatkan tahun kewangan yang berjaya, kami akan terus fokus terhadap penambahbaikan pengalaman pembelian dan perkhidmatan pelanggan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang, memastikan pengalaman yang lancar,” kata CEO MMM, Shinya Ikeda.
Beliau turut mengumumkan bahawa untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini, Mitsubishi Ralliart akan bertanding menggunakan trak pikap Mitsubishi Triton generasi baharu bagi mempertahankan gelaran juara yang telah dirangkul dalam AXCR 2022.
Model produksi Triton generasi kelima berkenaan dijadualkan akan diperkenalkan untuk peringkat global di Thailand tidak lama lagi, dan ia adalah versi produksi untuk trak pikap Mitsubishi XRT Concept yang telah didedahkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 bulan lalu.
Trak pikap perlumbaan sebenar yang bakal dihasilkan dalam spesifikasi FIA T1 Cross Country Prototype itu kelak mungkin akan tampil dengan rupa serupa seperti XRT Concept kerana ia dilihat telahpun menerima perincian seperti rim aloi Work Crag T-Grabic II bersama tayar mud-terrain, dua set tayar gantian pada bed belakang dan juga unit snorkel untuk ‘menyelam’ merentas sungai.
“Penyertaan kami dalam perlumbaan rali bukan hanya akan mencerminkan model Triton baharu tetapi juga merentasi rangkaian luas kenderaan Mitsubishi. Kami optimis tentang masa depan jenama Mitsubishi Motors dan kehadirannya di Malaysia,” tambah Ikeda.
|
PDRM laksana Op Lancar pada 18-19 April dan Op Selamat 20 pada 20-27 April sempena Aidilfitri
|
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan Op Lancar dan Op Selamat 20 bagi memastikan kelancaran trafik serta penekanan pada pencegahan jenayah pecah rumah menjelang Aidilfitri. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Op Lancar akan dilaksanakan bermula 18 hingga 19 April bagi memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
Manakala menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 hingga 27 April 2023 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
“Fokus utama operasi ini untuk memastikan aliran trafik yang lancar, meminimakan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau lagi, sepanjang Op Selamat 20 ini juga, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut akan dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi-lokasi titik panas yang telah dikenalpasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan penyuraian trafik.
“Pengguna jalan raya juga diminta peka dengan info trafik terkini menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya. Pengguna jalan raya boleh bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pesalah trafik yang melanggar undang-undang melalui rakaman video atau gambar agar tindakan dapat diambil,” katanya.
Acryl Sani berkata, bagi kedua-dua operasi berkenaan, pihaknya menggerakkan seluruh jentera PDRM membabitkan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), rondaan bit, risikan dan operasi yang akan digerakkan secara sistematik. Bahkan PDRM turut bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik terutama di jalan-jalan negeri dan perbandaran.
“PDRM menasihatkan pengguna jalan raya bertimbang rasa dalam pergerakan, sentiasa berhemah, berhati-hati, dan fokus dalam pemanduan agar Aidilfitri dapat disambut dalam kesejahteraan,” katanya.
|
ANIH jangka Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 bakal sesak sempena Aidilfitri – saran pengguna rujuk TTA
|
Peringatan: Elakkan guna lorong kecemasan
ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), menjangkakan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya itu sempena Aidilfitri.
Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula dari 19 hingga 21 April. Manakala kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei ini.
“Peningkatan kenderaan itu memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Pekerja. Kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan lebih tiga juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya ini pada musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Klik untuk besarkan imej
Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) (seperti yang dipaparkan pada imej di atas) dan mula mengedarkannya di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong sejak 16 April lalu. Selain itu, ANIH Berhad turut memuat naik maklumat di laman sosial sebagai rujukan kepada pengguna lebuh raya.
Bagi mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan, ANIH turut menambah sehingga 30% bilangan kakitangan sokongan di plaza tol dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan. Manakala
lebih 140 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya.
Selain itu, jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik juga ditingkatkan sebanyak 20% dan memperbanyakkan rondaan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebelum memulakan perjalanan, ingatan penting untuk pengguna agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol.
“ANIH Berhad juga bersiap sedia memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya jika ada berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diduga dengan bantuan dan kerjasama daripada pasukan Emergency Response Team (ERT) iaitu daripada pasukan St John Ambulance, bomba dan polis,” katanya.
Katanya, maklumat tepat dan terkini, pengguna boleh mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur), Twitter, (@LPTTrafik) Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).
|
MOT umum larangan kenderaan barangan dari 20-21 April dan 24-25 April 2023 sempena Hari Raya Aidilfitri
|
Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan larangan kenderaan barangan (road-ban) berada di jalan raya khususnya lebuhraya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.
Larangan ini akan dikuatkuasakan pada 20-21 April (sebelum perayaan) dan 24-25 April 2023 (selepas perayaan) bagi mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya kenderana persendirian yang pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut MOT, kategori 1 melibatkan larangan sepanjang masa iaitu dalam tempoh yang dinyatakan. Ia melibatkan kenderaan berat termasuk car carrier, tipper, dumper, dan tiping yang yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), low loader, pole trailer, bulk cement tanker, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda dan traktor.
Bagi kategori 2 pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya. Serta lori mengangkut hasil pengeluaran kelapa sawit, dan getah, serta lori kargo tanpa muatan.
Seterusnya bagi kategori 3 pula membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.
Bagaimana pun, menurut MOT, jentera berat beroda dan kren bergerak diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan. “Manakala kenderaan barangan atau jenis barangan yang tidak dinyatakan dibenarkan untuk berada di jalan raya pada tempoh waktu larangan ini,” tambahnya lagi.
|
Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984
|
Tahun ini merupakan ulangtahun ke-40 untuk syarikat automotif nasional pertama negara, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton). Macam-macam yang akan Proton buat tahun ini untuk merayakan sambutan tersebut, antaranya bakal memperkenalkan model skala kecil Hot Wheels Proton Saga, dan melancarkan SUV tiga baris tempat duduk serba baharu Proton X90.
Sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang akan disambut umat Islam tidak sampai seminggu lagi, Proton menayangkan video iklan istimewa yang turut menyelitkan tema ulangtahun empat dekadnya – mempersembahkan, video raya bertajuk “Sarjan Saga”.
Video raya ini diinspirasikan dari kisah Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang, iaitu individu yang dipilih sebagai pemenang ‘Pertandingan Menamakan Kereta Nasional’ pada tahun 1984. Sarjan Ismail menang pertandingan berkenaan bukan sahaja nama ‘Saga’ yang diberikan tersebut mudah disebut, malah ia adalah akronim yang padat serta memberikan makna yang baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Sarjan Ismail menerangkan bahawa Saga adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (Pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan). Beliau mendapat idea untuk menghasilkan akronim ini ketika dia dan rakan-rakannya bermain permainan ‘Scrabble’ dan ternampak empat perkataan tersebut.
Bukan sahaja nama berkenaan berasal dari akronim yang sangat bermakna, malah ‘Saga’ turut mempunyai maksud yang begitu baik – dalam bahasa melayu ia adalah nama biji keras berwarna merah dari pokok Saga (abrus precatorius) yang banyak terdapat di Malaysia, manakala dalam bahasa inggeris pula Saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa.
Staf Sarjan Ismail Jaafar menerima sebuah Proton Saga sebagai hadiah kemenangannya itu setelah model berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 1 September 1985.
Walau bagaimanapun, Saga tersebut terpaksa dijual oleh Sarjan Ismail bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan – babak berkenaan turut dilakonkan semula dalam video raya Proton ini.
Sarjan Ismail telah meninggal dunia pada 12 Januari 2018 ketika berusia 71 tahun. Beliau sempat mengerjakan ibadah haji bersama isterinya pada tahun 2017 dan menghembuskan nafas terakhir dirumahnya sendiri yang terletak di Sungai Petani, Kedah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya. Sebelum meninggal dunia, allahyarham disahkan menghidap sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga diabetis.
Menurut balu Sarjan Ismail, Sariah Abdul Rahman, sebelum meninggal dunia juga Sarjan Ismail pernah berhasrat untuk menjejak semula Proton Saga yang diterimanya tersebut kerana amat menyayanginya. Malah anak bongsu mereka, Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) juga telah membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun sebelum itu untuk ayahnya.
Nama Saga terus digunakan oleh Proton untuk model sedan paling mampu milik yang sentiasa menghuni bilik pamerannya dari 1985 sehingga kini. Selepas model generasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore ditamatkan pengeluarannya pada 2008, ia digantikan pula dengan model generasi kedua, kali ini dihasilkan sepenuhnya oleh Proton dari casis hingga ke enjin.
Model generasi ketiga Proton Saga pula diperkenalkan pada 2016, dan ia sebenarnya masih diasaskan dari kerangka model sebelumnya tetapi diberikan kejuteraan semula bagi memberikan kualiti yang lebih baik. Versi facelift untuk model ini muncul pada 2019 menampilkan pelbagai penambah baikkan termasuk kotak gear CVT digantikan dengan transmisi 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai.
Ia sekali lagi diberikan kemaskini pada tahun lalu menerusi Saga MC2, yang menerima perincian lebih baik seperti sistem ESC yang standard untuk semua varian, diberikan butang penghidup enjin untuk varian paling tinggi dan pelbagai lagi.
GALERI: Proton Saga generasi pertama (versi Megavalve)
GALERI: Proton Saga generasi kedua (versi FLX)
GALERI: Proton Saga 1.3L Premium AT 2019
GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022
|
Lelaki bakar mercun di tepi MRR2 sudah ditahan polis
|
Susulan video memaparkan seorang lelaki yang membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sudahpun pun menahan individu terlibat.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam laporan Bernama, lelaki warga tempatan berusia 35 itu ditahan pada jam 10 malam semalam di Jalan Dagang, Kuala Lumpur.
Hasil siasatan mendapati suspek, seorang pemandu lori membakar mercun jenis cake (138) shot berhadapan stesen minyak Petronas Lotus Ampang atas permintaan pelanggan premis milik kawannya.
“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta negatif ujian saringan dadah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini dan dibenarkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga Rabu depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menggunakan apa-apa bahan letupan yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau kerosakan harta atau kecederaan pada orang,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.
Mohamad Farouk menyatakan bahawa suspek juga disiasat mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana bermain dan membakar mercun dan bunga api. Beliau turut memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menggunakan bahan letupan membahayakan nyawa atau kerosakan atau kecederaan.
|
PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!
|
Kita di Malaysia bila sebut sahaja MPV Premium, tiadalah model lain yang akan terungkap dari mulut selain kembar Toyota Alphard dan Vellfire. Namun akhir-akhir ini, ada satu MPV Premium yang dilihat semakin ‘bersepah’ di atas jalan raya, dan apa yang menarik ia bukan jenama Jepun, tetapi adalah Kia Carnival dari Korea Selatan!
Seperti yang kita tahu, jenama Korea bukanlah sesuatu yang popular di Malaysia. Berbagai alasan diberikan oleh pengguna tempatan untuk tidak memilih Kia dan Hyundai di sini, antaranya ada yang masih risau tentang isu alat ganti dan juga nilai jualan balik yang rendah.
Jadi apa yang menyebabkan Kia Carnival generasi terkini ini boleh menongkah arus walaupun pelbagai persepsi negatif berkenaan model-model dari Korea? Kalau nak tahu, baca pengalaman penulis yang berpeluang menguji MPV ini.
Baca lanjut di sini
|
KTMB tawar tambang percuma hingga 16 April 2023 dari Stesen Kajang 2 ke mana-mana destinasi
|
Orang ramai berpeluang menikmati tambang percuma dengan menaiki tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) dari Sstesen Kajang 2 mulai hari ini sehingga Ahad, 16 April 2023.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tawaran perkhidmatan percuma itu terpakai dari stesen berkenaan ke mana-mana stesen KTM menghala ke stesen Batu Caves atau stesen Pulau Sebang, laporan Malaysia Gazette.
“Sempena pelancaran KTM yang baru ini, esok hingga Ahad boleh pakai (perkhidmatan dari KTM Kajang 2) untuk pergi membeli-belah sebelum raya Aidilfitri. Tren boleh sampai ke Midvalley, KL Sentral,” katanya.
Anthony turut berkata, pembinaan stesen Kajang 2 meningkatkan kebolehhunian di kawasan tersebut sekaligus mewujudkan gaya hidup berkualiti.
“Ia boleh diakses melalui beberapa lebuh raya utama antaranya SILK Highway, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuhraya SKVE. Saya optimis pembinaan stesen Kajang 2 ini akan merubah wajah Kajang 2 ini kepada kawasan yang berdensiti tinggi dan lebih baik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Dilancarkan pada 13 Mac 2023, Stesen KTMB Kajang 2 melibatkan 46 perkhidmatan tren beroperasi pada hari bekerja dan 33 perkhidmatan pada hari minggu dan hari kelepasan am. Perkhidmatan tren pertama adalah pada 6.15 pagi dari Stesen Kajang 2 menuju stesen KL Sentral dan tren terakhir dari KL Sentral ke Kajang 2 pada 10.45 malam hari bekerja.
Manakala pada hari minggu dan kelepasan am, tren pertama dari Kajang 2 ialah 7.11 pagi dan tren terakhir dari KL Sentral pada 10.43 malam manakala kekerapan tren adalah 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.
|
CFMoto Papio XO-1, X0-2 diperkenal – minibike 125 cc
|
CFMoto telah memperkenalkan dua model mini bike yang dipanggil sebagai Papio XO-1, dan XO-2. Sementara dua model ini cuma diperkenalkan untuk pasaran China, CFMoto memberitahu masih terdapat kemungkinan ia akan dieksport ke negara lain yang dilihat bersesuaian.
Patio XO-1 dan XO-2 digerakkan oleh enjin satu silinder penyejukan udara 125 cc, bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 9.5 hp pada 8,500 rpm dan tork 7.8 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api.
Walaupun dengan enjin yang sama, XO-1 dan XO-2 dibuat mempunyai penampilan yang berbeza. XO-1 lebih kepada motosikal sports retro dengan fairing jenis separuh, tempat duduk rata serta cermin sisi di hujung pemegang.
XO-2 pula membawa gaya scrambler retro, dengan hanya mempunyai perumah untuk lampu (tiada fairing), penghadang lumpur yang terletak tinggi, tempat duduk yang bersambung antara hadapan dan belakang, serta pemegang yang kelihatan seperti lebih tinggi.
Kelengkapan lain yang ada pada dua motosikal ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, lampu hadapan dan belakang LED, panel meter bulat ringkas dan rim 12 inci.
|
Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baru
|
Kali terakhir diberikan perubahan pada bulan Mac tahun lepas, Honda RS150R kini diperkenalkan dalam warna baru yang dipanggil sebagai Mat Charcoal Gray Metallic. Ia akan mula berada di wakil pengedar Boon Siew Honda bermula 3 Jun 2023 dan dijual pada harga RM8,299 tidak termasuk insurans (tidak berubah berbanding tahun lepas).
Selain warna dan grafik, tiada perubahan lain yang diberi pada motosikal ini dan ia masih lagi mempunyai kelengkapan yang sama, bermula dengan enjin satu silinder DOHC 149.16 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.
Enjin ini hanya boleh dihidupkan menggunakan pemula elektrik dan ia dipadankan bersama transmisi enam gear serta klac yang perlu ditarik dengan tuil di tangan. Panel meter yang memaparkan informasi penting termasuk kedudukan gear menggunakan jenis LCD digital.
RS150R datang dengan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan ia disambungkan kepada badan motosikal melalui fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.
Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.5 liter serta lampu utama LED. Setiap motosikal datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
|
Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km
|
Neta, sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari China mula masuk ke Malaysia dengan menawarkan model Neta V, yang sekarang merupakan kereta elektrik (EV) paling murah, dengan harga jualan RM99,800 tidak termasuk insurans. Menurut syarikat pengedar Neta di sini, iaitu Intro Synergy, ini cuma baru permulaan dan ia seterusnya akan diikuti pula dengan ketibaan Neta U dan Neta S.
Di sini, kita ingin melihat lebih lanjut kepada Neta S, yang mana sebuah unit telah tiba di negara kita untuk tujuan pra tonton, dari China. Ia bagaimanapun tidak menggambarkan spesifikasi model yang akan dilancarkan di negara kita, dan sebab itulah sistem infotainmennya juga dilihat masih tidak menggunakan Bahasa Inggeris dan soket pengecasnya adalah berbeza.
Neta S adalah sebuah sedan elektrik penuh yang pertama kali ditunjuk kepada dunia sewaktu Auto Shanghai 2021. Ia membawa kesinambungan daripada model Eureka 03 Concept, dan dijual pada harga antara 189,800 hingga 341,800 yuan (RM123,138 hingga RM221,753) di China.
Mempunyai ukuran panjang 4,980 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,450 mm dan jarak roda 2,980 mm, Neta S mempunyai saiz lebih besar berbanding Honda Accord yang ada sekarang dan menggunakan bentuk licin beralun yang mampu memberikan kecekapan rintangan udara serendah 0.216 Cd.
Bagi ciri rekaannya, selain penggunaan lampu DRL LED nipis dan bukaan udara hiasan besar di hadapan, ia juga lebih menyerlah kerana menggunakan pintu hadapan yang terbuka ke atas. Jalur lampu di belakang pula bersambung dari kiri ke kanan.
Di dalam kereta ini terdapat banyak skrin, bermula dengan panel instrumen digital 13.3 inci di hadapan pemandu, skrin sesentuh 12.3 inci bertentangan penumpang hadapan, dan yang paling besar, skrin 17.6 inci menegak di bahagian tengah papan pemuka yang juga digunakan untuk kawalan fungsi kenderaan termasuk pendingin hawa.
Kelengkapan lain yang ada pada Neta S adalah termasuk bumbung panoramik, tempat duduk larasan kuasa, pengecas tanpa wayar di konsol tengah, head-up display, pengawal suhu tiga zon, panel sesentuh untuk mengawal cermin, tempat duduk belakang boleh sandar serta pelbagai sensor dan kamera untuk sistem bantuan pemandu ADAS.
Neta S yang anda lihat ini mempunyai dua soket pengecas yang mengikut standard GB/T. Soket di bahagian kanan yang nampak seperti Type 2 biasa tetapi pinnya adalah berlainan berbanding Type 2 Eropah, adalah untuk pengecasan AC, sementara satu lagi soket untuk pengecasan DC hanya boleh menerima sambungan GB/T dan tidak bukannya CC2 atau CHAdeMO.
Di China, Neta S ditawarkan dengan penggerak elektrik penuh dan juga range extender. Model range extender menggunakan bateri lithium ion 43.88 kWh atau 43.51 kWh, dan mendapat sokongan daripada enjin pembakaran dalaman 1.5 liter, memberikan jarak gerak CLTC sehingga 1,160 km. Model ini hanya datang dengan tetapan pacuan roda belakang, dengan motor elektrik itu boleh menghasilkan kuasa 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 310 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum adalah 185 km/j.
Untuk model elektrik penuh pula, dua jenis bateri disediakan dengan kapasiti yang pelbagai, termasuk lithium iron phosphate (64.46 kWh) dan ternary lithium ion berkapasiti 84.5 kWh, 85.11 kWh dan 91 kWh. Bateri LFP boleh memberikan jarak gerak sehingga 520 km dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, sementara bateri yang berikutnya, dalam kapasiti 84.5 dan 85.11 kWh boleh memberikan jarak gerak sehingga 715 km sekali cas dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.
Pek bateri paling besar hanya ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda, yang mempunyai dua motor elektrik dan output keseluruhan 462 PS (456 hp atau 340 kW) dan tork 620 Nm. Model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km dan membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.
Meskipun Neta S ini nampak menarik, ia sebenarnya masih lambat lagi untuk tiba dan dijual secara rasmi di Malaysia kerana menurut Intro Synergy, ketibaan sedan EV ini hanya dijangka berlaku pada suku pertama tahun 2025. Anda mahu tunggu?
|
Tengku Zafrul ditunjukkan prototaip Daihatsu Mira EV di Jepun – Perodua Axia elektrik untuk Malaysia?
|
Selepas menghadiri mesyuarat dengan pembekal komponen kenderaan D-ACT di Jepun baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut berkesempatan mengunjungi kilang produksi Daihatsu Motor Co. Ltd. (DMC) di Kyoto. Ia bertujuan untuk melihat kilang Daihatsu yang direka berasaskan agenda ESG.
Selain itu, beliau turut berkata, lawatan ini juga untuk mendalami pelan pelaburan jangka panjang DMC di Malaysia terutamanya untuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).
Seperti mana yang kita semua tahu, Daihatsu memiliki hubungan rapat dengan Perodua, dan baru-baru ini Perodua juga telah mempertontonkan model EV dengan konsep Electric Motion Online (EMO) pada bulan lalu.
Walau bagaimana pun, Perodua pernah berkata, pihaknya akan membawa model hibrid terlebih dahulu ke pasaran, walau pun sebelum ini, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya telah bersedia untuk menerokai potensi bagi kerjasama strategik dengan pembekal dan vendor tempatan termasuk dalam menghasilkan komponen EV.
Namun buat masa ini, Perodua masih belum mengesahkan jenis EV keluarannya yang akan diperkenalkan di sini, namun kebarangkalian Axia elektrik penuh mempunyai potensi ke arah itu, berdasarkan model prototaip yang ditunjukkan kepada menteri MITI ini. Berdasarkan foto yang dimuat naik oleh beliau menerusi Facebook, ia merupakan model asas bagi Daihatsu Mira e:S generasi kedua.
Daihatsu Mira e:S
Butiran mengenainya adalah terhad, namun model yang ditunjukkan ini merupakan pacuan roda-hadapan, dengan enjin KF-VE 658 cc naturally-aspirated tiga-silinder petrol dan CVT digandingkan dengan motor elektrik. Imej dalamannya nampak biasa-biasa saja, namun berdasarkan unit utamanya yang agak spesifik yang menunjukkan status penjana kuasa dan juga kluster instrumen yang disemak semula.
Model asasnya diperkenalkan pada tahun 2017, dan nampak gayanya ia berkemungkinan digunakan untuk membangunkan teknologi EV yang boleh diaplikasikan pada model masa depan yang dibina dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang direka dengan CASE (Connected, Automated Driving, Sharing and Electrification). Model semasa Axia turut menggunakan platform ini, dan kita juga pernah melihat model elektrifikasi DNGA dalam bentuk hibrid bagi Rocky, Ativa dan Toyota Raize.
|
BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023 di Malaysia – PHEV CKD; 489 PS, 87 km jarak EV; dari RM613k
|
Seperti mana yang kami laporkan hujung bulan lalu, BMW 7 Series G70 in 750e xDrive Pure Excellence serba baharu telah pun berada di pasaran Malaysia. Untuk itu, kami membawakan pula galeri foto penuh untuk salah satu dari dua varian yang ditawarkan ini, manakala satu lagi varian yang ditawarkan ialah 750e xDrive M Sport. Untuk pasaran Malaysia, kedua-duanya adalah pemasangan tempatan (CKD), dan model yang dipaparkan dalam galeri foto ini berharga RM612,700 tanpa insurans.
Ia turut didatangkan dengan waranti standard dua-tahun, tetapi jika ingin menambah pilihan waranti lanjutan lima-tahun dengan pakej servis, harganya melonjak menjadi RM649,800. Bagi varian M Sport, buat masa ini, ia hanya diberikan harga jangkaan iaitu RM700,000 dengan waranti lanjutan dan pakej servis.
Penjana kuasa 750e xDrive ini ditampilkan dengan plug-in hybrid dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol, yang mampu menghamburkan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 450 Nm tork. Ia diganding bersama motor elektrik dengan kuasa 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 280 Nm, yang disepadukan ke dalam transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan, yang disertai juga dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive. Jumlah keseluruhan sistem kuasa yang terhasil mencecah 489 PS (483 hp atau 360 kW) dan 700 Nm.
Bersama sistem pacuan semua roda BMW xDrive, limo bersaiz besar ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Dengan kuasa elektrik sepenuhnya, laju maksimum dihadkan kepada 140 km/j dengan jarak perjalanan 87 km.
Antara penambahbaikan utama yang dilakukan berbanding model G12 740Le xDrive sebelumnya adalah pek bateri lithium-ion baru yang terletak di bahagian bawah lantai, kini dengan kapasiti tenaga boleh guna sebanyak 18.7 kWh (22.1 kWh kasar). Input pengecasan AC maksimum pula digandakan kepada 7.4 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa kurang tiga jam.
Tidak seperti 7 Series sebelum ini, G70 terkini ini tidak lagi ditawarkan dengan pilihan versi jarak antara roda yang lebih pendek, membuatkan tiada ‘L’ lagi pada namanya.
Untuk aspek rekaannya, 7 Series terkini diberikan bingkai kidney grille dengan lampu Iconic Glow, lampu utama kristal dengan lampu nyalaan siang LED yang nipis. Selain itu, bahagian hadapannya turut menampilkan air curtain menegak yang ditempatkan pada sudut bampar dan corong pengambilan udara yang rendah.
Bukan itu sahaja, pemegang pintu jenis ‘flush’ serta lampu belakang bentuk-L turut menambahkan lagi gaya luaran model ini. Sementara gaya bagi varian M Sport pula lebih agresif dengan bampar baharu yang kini ditampilkan dengan seksyen yang lebih besar dalam rona hitam.
Varian Pure Excelllence juga diberikan kelengkapan standard termasuk roda aloi-ringan 903 jejari-berkembar 19-inci, bumbung panoramik Sky Lounge, pintu automatik dan juga suspensi udara adaptif dua-gandar.
Di dalamnya, ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah upholstery kulit Merino dalam rona Hitam atau Tartufo, kemasan cermin kayuan oak dengan serlahan kelabu metalik, anthracite headliner, kaca kristal Crafted Clarity, kawalan suhu empat-zon, BMW Interaction Bar pencahayaan belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, tempat duduk belakang dengan fungsi mengurut dan tirai suria untuk kesemua tingkap belakang.
Turut diberikan sistem BMW Live Cockpit Professional, dengan BMW Curved Display yang menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen di tengah 14.9-inci, yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8, sistem infotainmen dengan Connected Package Professional berserta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay support, Intelligent Personal Assistant dan sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 21-speaker.
Penumpang belakang juga kini diberikan panel kawalan sentuhan pada pintu serta tablet dengan larasan media. Untuk pemandu, Iconic Sounds Electric diberikan jika ingin ditemani dengan bunyi yang mengikut citarasa sendiri bagi pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan.
Risalah spesifikasi BMW 750e xDrive Pure Excellence 2023; klik untuk besarkan imej
Varian Pure Excellence juga didatangkan dengan kelengkapan Driving Assistant Professional untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, termasuklah Lane Change Warning, Rear Collision Prevention, Exit Warning, Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go function, Speed Limit Info, Automatic Speed Limit Assist, Lane Departure Warning, Front/Rear Crossing Traffic Warning dan Evasion Assistant.
Selain itu ia turut diberikan Parking Assistant Plus dengan fungsi seperti Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Lateral Parking Aid, Surround View System dan Parking: Start-Up Monitoring.
BMW Malaysia berkata Pure Excellence akan ditawarkan dengan kuantiti terhad, cuma 48 unit sahaja. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan Group Loyalty+ Mobile App – Kad Keistimewaan BMW.
Spesifikasi BMW 750e xDrive G70:
Jumlah keseluruhan sistem kuasa : 489 PS (483 hp atau 360 kW)
Jumlah keseluruhan sistem tork: 700 Nm
Enjin: 3.0 liter enam-silinder sebaris petrol
Kuasa enjin: 313 PS (308 hp atau 230 kW)
Tork enjin: 450 Nm
Induksi enjin: Pengecas turbo
Kuasa motor elektrik: 197 PS (194 hp atau 145 kW)
Tork motor elektrik: 280 Nm
Kelajuan tertinggi motor elektrik: 140 km/j
Jarak elektrik: Sehingga 87 km
Transmisi: Automatik Steptronic lapan-kelajuan
Penjana pacuan: Pacuan semua-roda
0-100 km/j: 4.9 saat
Kelajuan maksimum: 250 km/j
Dimensi BMW 750e xDrive G70:
Panjang:5,391 mm
Lebar: 1,950 mm
Tinggi: 1,544 mm
Jarak roda: 3,215 mm
Harga untuk 7 Series G70 ini adalah seperti berikut:
BMW 750e xDrive Pure Excellence – RM649,800 harga atas jalan tanpa insurans
BMW 750e xDrive M Sport – RM700,000 harga atas jalan tanpa insurans (jangkaan)
|
K’jaan bakal benarkan rakyat mohon peruntukan kecil untuk baiki lubang, longkong tersumbat – Rafizi Ramli
|
Jika anda berhajat mahu membaiki lubang di jalan raya tetapi tidak sanggup mengeluarkan bajet sendiri untuk berbuat demikian, tidak lama lagi kerajaan bakal bantu untuk membiayai kerja-kerja pembaikian berkenaan. Menurut laoporan oleh Malaysiakini, Kementerian Ekonomi bakal membuka peluang kepada rakyat untuk membuat permohonan peruntukan bagi sebarang projek pembangunan dan infrastruktur kecil awam secara terus kepada kementerian.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sistem permohonan itu kini dalam persediaan akhir dan kementeriannya akan menerangkan secara lanjut mengenai bentuk permohonan projek yang dibenarkan serta syarat yang berkaitan apabila diperkenalkan nanti, dijangka dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu nanti. Ini termasuklah untuk kerja-kerja baiki jalan berlubang dan atasi masalah longkang tersumbat.
“Kerajaan persekutuan sedang membuat perubahan bagi menyalurkan peruntukan kecil untuk rakyat. Selama ini, sebagai wakil rakyat, saya terpaksa melakukan pelbagai perkara seperti membaiki longkang dan sebagainya.
“Kita merancang supaya selepas ini peruntukan untuk projek rakyat boleh dipohon terus kepada kementerian oleh sesiapa sahaja dan tidak perlu melalui semua lapisan (birokrasi),” kata Rafizi.
Beliau turut berkata, peluang itu turut dibuka bagi memberi ruang kepada rakyat memberi input dan cadangan pembangunan kepada kerajaan yang kemudian akan dipadankan dengan perancangan jabatan berkaitan.
|
Dua lorong di Lebuhraya PLUS di Pulau Pinang bakal ditutup secara berasingan pada minggu hadapan
|
Untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di Pulau Pinang, PLUS telah mengumumkan bahawa dua lorong bakal ditutup secara berasingan minggu hadapan dan ia mungkin bakal menambahkan kesesakan trafik.
Penutupan pertama membabitkan lorong kiri di Line N (CH 0.4 – CH 0.7) bagi kerja-kerja pembinaan di persimpangan Bayan Lepas – Georgetown oleh IJM Corporation Berhad. Tarikh penjadualan kerja-kerja pembinaan tersebut bermula pada 6 Jun (Selasa) sehingga 10 Jun 2023 (Sabtu), mulai jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.
Justeru, pengguna lebuh raya bagi laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan lorong kiri di antara CH 0.4 hingga CH 0.7 (arah Georgetown) sepanjang tempoh tersebut.
Manakala penutupan lorong kanan dan lencongan laluan kenderaan akan diaktifkan di KM138.50 – KM139.30 (arah selatan) dari laluan Sungai Dua ke Juru bagi kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan bermula 9 Jun (Jumaat) hingga 10 Jun 2023 (Sabtu), dari jam 8 malam hingga 10 pagi.
Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.
|
Motosikal milik JSPT KL disaman kerana letak kenderaan di kawasan parkir OKU – IPD PJ
|
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (IPD PJ) ACP Mohamad Fakharudin Abd.Hamid mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan saman ke atas sebuah motosikal Honda ST 1300 milik Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) atas kesalahan meletak kenderaan di kawasan petak parkir OKU di Apartmen Flora Damansara.
“Kesalahan tersebut dikesan selepas terdapat satu video dan gambar yang tular menerusi laman media sosial Twitter yang dimuat naik oleh pemilik akaun @nanmanjoi8715 pagi tadi. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 29 Mei lalu lebih kurang 11.30 pagi. Satu laporan polis telah dibuat pada hari ini dan siasatan di bawah Seksyen 79 (2) APJ 1987. Tindakan saman telah dikeluarkan kepada anggota polis yang menunggang motosikal terbabit.
“Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan dan tidak berkompromi kepada mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasaan yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
Menerusi video yang tular, kelihatan anggota polis berkenaan menunggu motosikalnya yang dikunci oleh seorang pengawal keselamatan apartmen berkenaan. Selepas kunci terbabit dibuka, anggota polis terbabit terus beredar dari kawasan parkir berkenaan.
|
Porsche Cayenne CKD – 1k unit telah dikeluarkan dari fasiliti produksi Sime Darby di Kulim, Kedah; RM575k
|
Sebanyak 1,000 unit Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) telah dikeluarkan dari kilang pemasangan Sime Darby di Kulim, Kedah, seperti mana yang diumumkan oleh Porsche Malaysia menerusi laman Facebook rasminya.
Sejarah ini tercipta selepas lebih kurang setahun dua bulan unit CKD SUV mula dihasilkan dari pusat pemasangan pertama Porsche di luar Eropah pada Mac tahun lalu. Cayenne pemasangan tempatan dilancarkan pada November 2021 pada harga RM550,000, termasuk duti dan cukai tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Ditawarkan dengan versi asas, Cayenne CKD ini adalah lebih murah sebanyak RM115,000 berbanding model CBU, dan harga yang dinyatakan adalah berdasarkan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD pada waktu itu. Menurut laman web Porsche Malaysia, harga runcitnya telah dinaikkan menjadi RM575,000 mulai 1 Julai 2022.
Di bawah bonetnya, Cayenne diberikan enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa 340 PS (335 hp) pada 5,300 rpm hingga 6,400 rpm dan tork 450 Nm pada 1,340 hingga 5,300 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik Tiptronic lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda aktif, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan kelajuan maksimum cecah 245 km/j.
Ciri standard yang diberikan termasuklah lampu utama LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, kawalan suhu empat-zon, Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 12-inci, perkhidmatan Porsche Connect dan kesepaduan Apple CarPlay, Porsche Advanced Cockpit, roda stereng sport, pedal penukar gear, konsol tengah dilengkapi Direct Touch Control dan Comfort Access.
Versi CKD juga menerima lebih banyak kelengkapan berbanding CBU, termasuk roda rekaan RS Spyder 21-inci, sistem bunyi sekeliling Bose, tempat duduk larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, Park Assist dengan pandangan sekeliling, belakang dan hadapan. Pembeli juga boleh memilih antara tiga warna luaran – Carrara White Metallic, Jet Black Metallic dan Quartzite Grey Metallic – bersama dua pilihan warna kulit untuk dalaman – Hitam dan dua-tona Black-Bordeaux Red.
Pelanggan juga boleh terus memilih beberapa pakej tambahan, temasuk Porsche Exclusive Manufaktur yang ditambah dengan pakej penggayaan SportsDesign (apron hadapan yang unik dan gerbang roda yang lebih menyerlah), sistem ekzos sport, kluster pencahayaan lapisan gelap, projektor pintu LED dengan logo jenama dan key fob yang sepadan dengan warna luaran dengan kesemuanya bernilai RM52,000 (sebelum ini ia berharga RM58,000). Selain itu, ia turut ditawarkan pakej personalisasi Porsche Design berharga RM38,888.
Pilihan kelengkapan lain yang turut disenaraikan menerusi laman web Porsche Malaysia termasuk
Porsche Tequipment yang merangkumi jaring tempat simpan barang RM536), boot liner (RM842), alas lantai untuk semua-cuaca (RM1,027), produk penjagaan kereta (RM1,095) dan rak basikal (RM3,032).
GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022
|
GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia – SUV 3 baris tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm
|
SUV segmen-D tujuh tempat duduk dari Chery iaitu Tiggo 8 Pro sudah disahkan akan dilancarkan antara bulan ini atau bulan hadapan di Malaysia. Dan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow di MAEPS bulan lalu, model dalam versi spesifikasi pasaran tempatan sudahpun didedahkan.
Dan kalau anda rasa tidak puas melihat SUV berkenaan hanya di dalam dewan, ini dia kami sajikan untuk anda galeri penuh SUV ini yang dibuat secara outdoor, memberikan gambaran sebenar bagaimana rupanya.
Model pasaran Malaysia ini tidak diberikan perkataan “Max” supaya namanya lebih ringkas. Walaupun unit ini merupakan versi pemanduan sebelah kanan dengan spesfikasi penuh pasaran Malaysia, ia sebenarnya masih lagi unit yang diimport sepenuhnya (CBU), tetapi menampilkan perincian-perincian terkini yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro Max pasaran China, dan sama dengan versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dijual kelak.
Untuk enjin, Tiggo nampaknya bakal menjadi antara model yang paling berkuasa dalam kelasnya – dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Dari segi rupa, model sebenar spesifikasi tempatan ini agak sedikit berbeza dari versi yang dipratonton di Malaysia pada tahun lalu. Tiggo 8 Pro 2023 ini menampilkan gril “galaxy’ baharu pada sebelah muka, manakala di belakang ia hadir dengan lampu bar LED yang merentangi sepenuhnya bersama lampu brek ketiga berbentuk-T. Set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.
Bahagian dalam Tiggo 8 ini juga dilihat menerima perincian yang agak mewah. Ia menerima papan pemuka dengan elemen melintang, bersama skrin gergasi berkembar dengan saiz 24.6-inci secara keseluruhan untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh.
Imej ‘mewah’ pada Tiggo 8 ini juga sebenarnya datang dari rekaan yang nampak dinspirasikan dari model-model dari Mercedes-Benz – cuba lihat pada bahagian-bahagian seperti suis-suis kawalan, kemasan kayu pada papan pemuka dan juga gril pembesar suara dengan gaya Burmester pada pintu serta jalur LED untuk lampu suasana kabin.
Ia juga menerima roda stereng baharu, menampilkan tulisan ‘Chery’ bagi menggantikan logo rasmi. Kabin Tiggo 8 Pro 2023 pasaran Malaysia ini juga menerima lapan-pembesar suara dari Sony serta sembilan beg-udara.
Antara perincian lain yang turut dibekalkan untuk Tiggo 8 Pro pasaran Malaysia ini termasuk brek parking elektonik bersama fungsi auto-hold, lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu selamat datang bersama lampu suasana kabin pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan pemanas/liang udara, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang kabin belakang, pintu tailgate berkuasa, bumbung suria panaromik elektrik, pengecas tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Manakala untuk keselamatan, model ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.
Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah yang bukan sahaja memberikan pantauan sekeliling kereta, malah turut dilengkapi dengan kamera di bawah lantai kenderaan.
Chery Malaysia masih belum memberikan sebarang bayangan berkenaan harga jualan bagi Tiggo 8 Pro ini. Namun dengan saiz serta kelengkapan yang diberikan, kami angggarkan ia mungkin dijual pada harga sekitar RM160k. Jadi anda rasa bagaimana? Adakah Tiggo 8 ini merupakan alternatif yang baik sekiranya anda tidak gemar dengan enjin 1.5L T-GDI bersama sistem hibrid ringkas pada Proton X90?
|
Yadea F200 didedah di Eropah – skuter elektrik yang dibangunkan bersama Porsche, tork sehingga 236 Nm
|
Pengeluar motosikal elektrik dari China iaitu Yadea telah mendedahkan sebuah model baru yang dipanggil sebagai F200 untuk pasaran Eropah. Bila waktu tepat ia akan dilancarkan masih belum diberitahu, tetapi beberapa perincian awal didedahkan bersama gambarnya.
Sebelum pergi ke bahagian teknikal, antara perkara paling menarik bagi Yadea F200 ini adalah bentuknya, yang diberitahu dibangunkan bersama dengan bahagian rekaan dari Porsche dan mendapat inspirasi daripada bentuk kereta sports.
Menurut Yadea, F200 boleh menghasilkan kuasa seperti motosikal berenjin pembakaran dalaman 125 cc, dengan kuasa datang daripada pek bateri berkembar dan motor elektrik 11 kW. Tork sehingga 236 Nm boleh dihasilkan sejak ia mula memecut, seterusnya membawa kepada laju maksimum 100 km/j. Jarak gerak dengan sekali cas penuh adalah 128 km.
Harga F200 masih belum didedah, tetapi kita boleh melihat ia dilengkapi dengan barangan seperti panel meter TFT, lampu LED, sistem tanpa kunci, brek cakera di hadapan, ruang simpanan yang boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk serta dua penyerap hentak di belakang.
Untuk negara kita, Yadea baru sahaja melantik pengedar rasminya, iaitu MForce Bike Holdings Sdn Bhd, dan mereka sudah membuat penampilan pertama melalui satu ruang pameran di Malaysia Autoshow. Pada waktu itu, beberapa model dipamerkan, dan model pertama dirancang akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran pada bulan ini.
|
BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa
|
Bulan lalu Honda Malaysia telah mengesahkan bahawa ia tidak akan membawa model generasi kedua untuk Honda BR-V ke pasaran tempatan, dan jualan untuk SUV tujuh-tempat duduk berkenaan akan dihentikan selepas tiada lagi produksi bagi model generasi sedia ada. Menerusi tinjauan kami di laman web rasmi syarikat tersebut, kini BR-V tidak lagi disenaraikan, menandakan hayatnya di pasaran Malaysia sudahpun berakhir.
Honda Malaysia tidak memberikan jawapan rasmi mengapa jualan BR-V tidak diteruskan, namun dari sumber dalaman yang kami dapat, ini adalah kerana syarikat berkenaan kini mengubah startegi mereka untuk mengundur diri dari saingan model tujuh-tempat duduk segmen-B, yang kini agak padat dengan model seperti Perodua Alza, Perodua Aruz, Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander.
Syarikat tersebut nampaknya lebih berminat untuk masuk ke dalam persaingan untuk SUV kompak segmen-B menerusi Honda WR-V yang disahkan akan dilancar di Malaysia pada suku ketiga tahun ini, dengan saingan utamanya hanya Perodua Ativa.
Model generasi pertama Honda BR-V tiba di Malaysia pada awal 2017. Ia diasaskan dari MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio dan menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 120 PS/145 Nm yang sama, diberikan perincian unik untuk menjadikan ia lebih seperti sebuah SUV.
Bagi model generasi kedua, BR-V masih diberikan enjin 1.5L NA tetapi dengan kemaskini termasuk kepala silinder DOHC i-VTEC memberikan kuasa keseluruhan 121 PS/145 Nm. Ia juga menerima tingkat taraf casis serta pelbagai perincian baharu termasuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.
GALERI: Honda BR-V generasi kedua pasaran Indonesia
|
Subsets and Splits
No community queries yet
The top public SQL queries from the community will appear here once available.